Dunia Sistem (Systemworld) yang Menguasai Dunia Kehidupan (Lifeworld)

Saya terimbau kenangan mengikuti pembentangan Kertas Kerja Ucap Utama Dr Amin Senin, bekas boss saya di Institut Aminudin Baki (IAB) yang sekarang Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM) Dasar semasa Seminar Kebangsaan ke-19 di IAB. Beliau membentang kertas pada hari yang sama saya membentang kertas kerja di sebelah petangnya dan keesokan harinya 4 Julai 2012 saya tumbang hingga terpaksa ke HUSM menjalani pembedahan spine.

Sejak awal perkenalan denganya saya mengagumi pemikiran Dr Amin walaupun usianya tiga tahun lebih muda daripada saya dan saya memperoleh PhD lebih dahulu daripadanya. Sanjungan saya lebih lagi apabila saya berpeluang bekerja di bawah pimpinannya. Saya pernah menulis “Membaca pemikiran Amin Senin dalam pemikiran semula kepimpinan sekolah” untuk Majalah Swakarya IAB.

Beliau membentang tajuk “Educational Laedership a neglected dimension”. Sebagai pengucap utama beliau diberi masa satu setengah jam. Saya rasakan baru setengah jam sudah tamat walaupun pada masa itu sakit belakang, pinggul dan kaki saya sudah amat terasa sekali hampir tak tertanggung. Tak puas rasa mengikuti pembentanganya hari itu.

Dalam masa 90 minit itu beliau sempat membincang tiga isu besar iaitu

1. Penguasaan dunia kehidupan oleh dunia sistem terutama dalam pendidikan.

2. Kepimpinan pendidikan sebagai proses mengurus (managing), memimpin (leading) dan memupuk (cultivating).

3. Pembangunan modal profesional yang terdiri daripada modal insan, modal sosial dan modal decisional.

Untuk kali ini saya akan hanya menulis tentang perkara pertama. Mudah-mudahan saya mampu menulis untuk yang dua perkara lagi. Untuk tulisan ini, terus terang saya katakan saya hanya berpandu pemahaman saya berdasarkan catatan dalam galaxy note saya dan powerpoint yang diguna Dr Amin. Kertas kerja penuh dan buku-buku yang dirujuk Dr Amin belum sempat saya miliki apatah lagi baca.

Apabila memperkatakan tentang lifeworld dan systemworld, Dr Amin merujuk Sergiovanni (2004) The lifeworld of leadership. Menyetujui Sergiovanni, Dr Amin menghujah pendidikan seharusnya memfokus kepada usaha membangun murid untuk dunia kehidupan ysng terbentang luas dan bukan untuk dunia sistem yang sempit. Namun dunia sistem lebih kuat dari dunia kehidupan sehingga yang satu telah dijajah oleh yang satu lagi.

Penjajahan mula berlaku apabila dunia sistem mendominasi keperluan dalam dunia kehidupan. Prosesnya berlaku secara berperingkat selari dengan perkembangan sistem dan merebak tanpa disedari seperti tidak terkawal apabila sistem berkembang dalam bentuk jaringan atau rangkaian yang walupun sempit tapi berselirat sukar untuk dirungkai. Akhirnya dunia kehidupan yang terbentang luas terbelenggu oleh dunia sistem yang sempit.

Dunia kehidupan menyediakan asas bagi pembangunan sosial, intelektual dan berbagai bentuk pembangunan modal insan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat madani. Hal ini dapat difahami apabila pada zaman awal kebangkitan tamadun manusia sama ada pada zaman Greek dan Yunani atau zaman zaman keagungan Mesopotamia, China dan India atau zaman kebangkitan Islam, pendidikan adalah dalam bentuk asas atau umum yang mampu membangun bukan sahaja insan dan masyarakatnya malahan satu tamadun besar.

Apabila zaman pembaharuan industri eropah berlaku pada abad ke-19, bermulalah dunia sistem. Pelbagai sistem diwujudkan pada mulanya untuk memudah kehidupan yang sememangnya serba mencabar. Namun lama kelamaan oleh kerana sudah terlalu biasa dengan kemudahan yang disediakan oleh sistem dalam dunia kehidupan yang tidak mencabar pun, kerana inginkan kesenangan, manusia jadi malas berusaha.

Dunia sistem adalah dunia alat yang diguna untuk memudah kehidupan dengan cara yang sangat berkesan mencapai matlamat. Matlamat yang dimaksudkan bukanlah matlamat kehidupan yang lebih hakiki dan abadi tetapi matlamat jangka pendek. Terkadang matlamat yang hendak dicapai bukan pun matlamat yang nyata sebaliknya maya seperti dalam permainan video game.

Walaupun tidak nyata, pencapaian matlamat dalam dunia sistem masih mampu menghasilkan keuntungan material. Manusia boleh jadi kaya raya hanya dengan mencipta permainan video game. Untuk keperluan menjaga keuntungan material daripada hilang, rosak atau susut nilai, sistem direka cipta untuk tujuan itu. Kata kuncinya ialah menjaga, mengawal atau mengekal atau maintain dalam bahasa Inggeris yang disimpulkan sebagai mengurus (manage). Dalam erti kata lain istilah pengurusan iaitu kata nama terbitan bagi kerja-kerja mengurus (managing) lahir dari perut dunia sistem.

Dalam bidang pendidikan, penjajahan dunia kehidupan oleh dunia sistem telah mempengaruhi bukan sahaja cara dan amalan malahan objektif dan matlamatnya. Hal ini berlaku tanpa kecuali sama ada pendidikan umum atau pendidikan khusus, pendidikan duniawi atau pendidikan ukhrawi.

Matlamat dan objektif pendidikan dalam dunia kehidupan yang lebih umum dan luas skopnya telah disempitkan oleh dunia sistem. Cara dan amalan pendidikan yang dipengaruhi dunia sistem lebih sempit lagi. Akibatnya daya kreativiti dan inovasi serta tasawur anak didik turut terjejas.

Advertisements

2 thoughts on “Dunia Sistem (Systemworld) yang Menguasai Dunia Kehidupan (Lifeworld)

  1. Satu Kritikan terhadap dunia sistem dalam pendidikan telah dilontarkan oleh Ivan Illich pada suatu ketika dulu terhadap kegagalan sistem pendidikan yang bobrok serta menghasilkan manusia yang gagal dalam dunia kehidupan. Beliau mengkritik sistem pendidikan yang telah dipakejkan atau dipaten kepada suatu bentuk tertentu dan ditawarkan serta diwajibkan dalam pelaksanaannya. Sistem ini juga memaksa pelajar untuk menerima atau belajar sekalipun ia bukan suatu yang diingini atau diminati untuk dipelajari apatah lagi ia tidak mengambilkira fitrah, bakat dan potensi individu pelajar. Sistem yang mempakejkan dan memaksakan kurikulum yang tidak bermakna dan tidak berguna untuk mereka. Sistem yang gagal memberikan kefahaman yang jelas tentang kepentingan kurikulumnya dalam kehidupan dan akhirnya menghasilkan pelajar yang gagal dalam memberikan terjemahan bermakna dalam kehidupan mereka. Hal ini memberikan natijah penolakan, keciciran, pengabaian terhadap kepentingan ilmu dalam arkitek kehidupan dan akhirnya melahirkan manusia yang gagal dalam hidup. Manusia yang tidak dapat membangunkan diri serta menyumbang dalam masyarakat. Akhirnya, fenomenom kegagalan melahirkan manusia yang bercirikan modal insan tinggi adalah suatu indikator kegagalan dunia sistem khususnya sistem pendidikan yang sempit.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s