Memahami Teori-teori Pembelajaran

Erti pembelajaran sangat luas seluas hazanah ilmu yang disediakan Tuhan untuk dipelajari. Manusia dituntut mempelajari dan mengajarkan ilmu supaya proses pembelajaran berlaku semudah dan sebaik mungkin. Tulisan kali ini cuba menghuraikan pembelajaran dari sudut pengertian dalam beberapa konteks mengikut teori pembelajaran Behaviorisme, Constructivisme, Pembangunan Sosial, Humanisme dan Kognitivisme.

Teori Behaviorisme

Secara mudah proses pembelajaran behaviorisme yang dibina berdasarkan teori pelaziman operan Skinner dan Pavlov seperti berikut:

1. Tindakan, proses atau pengalaman yang disukai seperti pemberian ganjaran secara berulang-ulang akan menjadi galakan atau motivasi untuk penguasaan pengetahuan dan kemahiran.

2. Pengetahuan dan kemahiran diperoleh melalui persekolahan atau latihan kursus yang terancang.

3. Modifikasi tingkahlaku psikologi seseorang boleh dilakukan khususnya melalui pengalaman latihan, pekerjaan dan program khas yang berstruktur.

Dari sudut pandang behaviorisme, pembelajaran ialah suatu proses perubahan tingkahlaku yang boleh diukur dan secara relatif kekal wujud dalam diri orang yang melalui proses itu. Bagi Thorndike, apabila sesuatu perkara itu wujud, ia wujud dalam suatu kuantiti yang kekal sekurang-kurangnya dalam satu tempoh tertentu yang boleh diukur.

Pengukuran atau pentaksiran kuantiti pembelajaran atau kuantiti perubahan tingkah laku itu tentunya hanya boleh diukur melalui hasilnya yang boleh dicerap secara langsung atau tak langsung. Walaupun ia bukan ukuran sebenar (true measure) kerana tidak bebas dari ralat pengukuran, ukuran pencerapan (observed measure) memberi gambaran sejauh mana tingkah laku berubah dalam proses pembelajaran.

Proses perubahan tingkah laku dalam pembelajaran behaviorisme berlaku melalui pengalaman, instruksion atau pengajian (study) dan pemberian biasiswa. Pembelajaran individu behaviorist berbeza antara seorang dengan seorang yang lain dari segi input, proses dan outcomenya. Sebaliknya pembelajaran berkumpulan mazhab ini banyak dipengaruhi faham politik, komposisi kaum dan sistem pentadbiran negara.

Oleh itu, pada umumnya input, proses dan outcome pembelajaran setiap individu dalam kumpulan itu adalah sama. Namun ada juga perbezaan outcome dalam pembelajaran kumpulan ini bergantung sejauh mana kekuatan pengaruh ketua kumpulan yang mengurus, memimpin, mengawal dan mengorganisasi kumpulan.

Perubahan tingkah laku berbeza yang dilihat dalam pembelajaran individu atau kumpulan behaviorisme mengikut pakar psikologi Hacard Business School Chris Argyris, kerana baginya pembelajaran ialah “detection and correction of error” where an error means “any mismatch between our intentions and what actually happens.”

Orang yang belajar sentiasa memperbaiki pembelajarannya. Lebih-lebih lagi apabila pembelajaran dianggap sebagai proses berterusan mentransformasi maklumat dan pengalaman menjadi ilmu (ilmu pengetahuan dan ilmu pengalaman: Amin Senin, 2012), kemahiran, tingkahlaku dan sikap yang berbeza antara seorang dengan seorang yang lain atau kumpulan dengan kumpulan yang lain.

Teori Constructivisme

Constructivism adalah cara seseorang membina makna terhadap sesuatu yang ada di alam luas terbentang melalui beberapa siri konstruk individu. Konstruk diibaratkan sebagai pelbagai jenis penapis yang digunakan untuk mendapatkan air bersih mengikut makna tersendiri air bersih yang dimaksudkan. Jika yang dimaksudkan sebagai air bersih ialah air tanpa bahan-bahan kotor terampai, tiada kuman dan selamat dimnum begitu sahaja, maka diusahakan mencari penapis yang sesuai dan betul supaya proses penapisan (pembelajaran) dapat dilakukan. Tujuan konstruk atau penapis yang dipilih adalah untuk menempatkan realiti pada diri seseorang supaya perubahan daripada keadaan yang tidak baik kepada sebaliknya boleh dibuat oleh orang itu sendiri.

Von Glasersfeld menggambarkan constructivism sebagai “a theory of knowledge with roots in philosophy, psychology, and cybernetics”. Baginya proses pembelajaran constructivism yang membenarkan murid mengalami sendiri apa yang berlaku di sekitarnya secara first-hand akan memberi peluag kepadanya memperoleh pengetahuan yang boleh dipercayai dan diyakini. Murid atau pelajar dikehendaki untuk bertindak ke atas apa yang berlaku di persikitarannya untuk memperoleh dan menguji sendiri pengetahuan baru.

Pemerhatian saintifik banyak menunjukkan bahawa pendidikan bukan merupakan apa yang guru beri. Pendidikan merupakan proses semula jadi yang spontaneous dialami oleh individu. Pendidikan diperoleh bukan melalui pendengaran perkataan atau frasa tentang sesuatu perkara tetapi melalui pengalaman individu itu terhadap persekitarannya.

Tugasan guru adalah menyediakan “a series of motives of cultural activity, spread over a specially prepared environment, and then refraining from obtrusive interference”. Insan guru hanyalah membantu murid membuat kerja mereka seperti seorang pembantu membantu tuannya melaksanakan kerja besar untuk menghasilkan sesuatu dengan laba yang besar juga. Jika ini dapat dilaksanakan, pembinaan sebuah generasi dsn bangsa yang bebas daripada menjadi mangsa kepada sesuatu kejadian yang tidak diingini oleh generasi itu sendiri kemudiannya dapat direalitikan.

Murid yang belajar dengan teori constructivism leih self-directed, kreatif dan inovatif sesuai dengan kehendak dunia pendidikan semasa. Hal ini demikian kerana tujuan pendidikan mutakhir ini adalah untuk menjadikan generasi pewaris bangsa yang kreatif dan inovatif melalui analisis, membina konsep (conceptualization) dan mensintesisnya dalam pengalaman kendiri agar apa yang diperolehi dijadikan sebagai ilmu baru yang dipelajari.

Sekali lagi peranan pendidik adalah sebagai mentor kepada pelajar apabila penyelesaian masalah  heuristik bagi masalah-masalah yang sukar didefinisikan dapat dirungkai bersama supaya pembelajaran dengan ilmu baru diperoleh pelajar.  Dalam hal ini matlamat pembelajaran adalah pembelajaran peringkat tinggi, heuristik, penyelesaian masalah, pengetahuan metakognitif, kreativiti dan keaslian.

Teori Pembanguan Sosial (Social Development Theory)

Teori ini lebih dikenal dengan Teori Pembelajaran Vygotsky kerana diasaskan oleh pakar psikologi pendidikan Rusia Lev Vygotsky (1896-1934). Teori ini menyatakan interaksi sosial yang mendahului pembangunan, kesedaran dan kognition adalah matlamat akhir sosialisasi dan tingkahlaku soasial.

Teori ini menjadi batu asas kepada constructivism. Ia menyimpulkan tiga tema utama:

1. Interaksi sosial memainkan peranan asas dalam proses pembangunan kognitif. Berbeza dengan fahaman Piaget yang berpendapat sebaliknya. Vygotsky berpendapat pembelajaran sosial mendahului pembangunan. Dia menyatakan “Every function in the child’s cultural development appears twice: first, on the social level, and later, on the individual level; first, between people (interpsychological) and then inside the child (intrapsychological).” (Vygotsky, 1978).

2. The More Knowledgeable Other (MKO) yang merujuk kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kefahaman atau kebolehan yang lebih tinggi ke atas sesuatu tugasan, proses atau konsep daripada orang yang hendak mempelajarinya. Oleh itu MKO boleh jadi guru, coach, orang dewasa, rakan sebaya, rakan yang lebih muda atau mungkin juga komputer asalkan boleh menjadi sumber pembelajaran.

3. The Zone of Proximal Development (ZPD) yang merupakan jarak antara kebolehan murid untuk melaksanakan tugasan di bawah bimbingan orang dewasa (sama ada dengan kolaborasi bersama rakan sebaya atau tidak) dan kebolehannya menyelesaikan masalah secara bersendirian. Mengikut Vygotsky, pembelajaran berlaku di dalam zon ini.

Vygotsky memfokus hubungan antara manusia dalam konteks sosiokultur dimana mereka saling bertindak sesama mereka untuk memperoleh ilmu pengetahuan, kebolehan dan kemahiran. Pemerolehan ilmu berlaku sama ada secara lisan atau bertulis dalam set kelas formal atau tak formal, dalam pelbagai hala interaksi sebagai perkongsian maklumat dan pengalaman sosial. Vygotsky percaya lisan dan tulisan boleh dijadikan alat komunikasi untuk membina kemahiran berfikir aras inggi (high order thinking skills atau HOTS).

Banyak sekolah mengguna dan mengamalkan model pembelajaran tradisional di mana guru menyampaikan ilmu atau mengajar secara kuliah. Sebaliknya, dengan teori Vygotsky pembelajaran berlaku secara aktif dimana murid memainkan peranan mereka melaksana tugasan pembelajaran. Peranan guru adalah pemudah cara bagi murid membina makna kepada sesuatu perkara yang dipelajari. Hubungan guru-murid berlaku secara pengalaman timbal balik (reciprocal) sesama mereka sebagai sebahagian daipada entititi sosial atau masyarakat.

Teori Humanisme

Teori Humanisme dengan paradigma, falsafah dan pendekatan pedagogi ini mempercayai bahawa pembelajaran adalah kerja individu untuk memenuhi keperluan kemanusiaan ciptaan Tuhan yang dibekalkan dengan daya emosi, rohani dan intelek. Teori ini muncul sekitar 1960an apabila Maslow memperkenalkan teori lima peringkat keperluan individu. Teori ini memberi fokus kepada kebebasan, digniti dan potensi diri manusia yang perlu dihormati. Persoalan pokok yang menunjangi teori ini mengikut Huitt (2001) adalah manusia bertindak ke atas sesuatu dengan niat dan nilai. Hal ini bercanggah dengan teori behaviorism yang meletakkan pelaziman operan sebagai cara pembelajaran. Teori ini juga bercanggah dengan teori psikologi kognitif yang mempercayai bahawa ilmu pengetahuan diperoleh atau ditemui atau melalui pembinaan makna kepada sesuatu perkara.

Humanists juga percaya bahawa kajian ke atas manusia keseluruhannya adalah penting untuk mengetahui bagaimana manusia tumbuh membesar dan berkembang dalam satu tempoh tertentu. Hal ini diikuti dengan kajian tentang diri manusia itu sendiri dari segi motivasi, matlamat hidup dan perkara-perkara yang menjadi kegemaran manusia keseluruhannya.

Secara mudah, teori yang berpaksikan fahaman Maslow dan Carl Rogers ini mendokong kempen kemanusiaan yang bermatlamatkan pembangunan harga diri manusia sebagai insan atau sel-actualization. Manusia walau sekecil atau sebesar mana pun ada keinginan untuk tahu dan boleh membuat sesuatu yang daripadanya kepuasan dalaman diperoleh.

Teori Kognitivisme

Teori Psikologi Kognitif atau lebih mudah Kognitivisme sahaja ini telah mengambil alih dominasi bahaviorism dalam tahun 1960an. Ia memberi fokus kepada aktiviti dalaman mental manusia yang diibaratkan sebagai kotak hitam yang sangat bergarga dan mustahak untuk memahami bagaimana manusia belajar. Kotak hitam itu mesti dibuka untuk mengetahui rahsia yang tersembunyi di dalamnya.

Proses mental seperti pemikiran, ingatan, mengetahui dan menyelesaikan masalah perlu dikaji dengan teliti. Mengikut teori ini, pengetahuan boleh dilihat sebagai skema atau binaan mental yang simbolik di dalam fakulti otak manusia. Pembelajaran didefinisikan sebagai perubahan skemata diri pelajar yang berlaku di dalam otak.

Pengemuka teori ini mengibaratkan proses pembelajaran yang banyak berlaku dalam bentuk aktiviti otak seperti komputer yang menyimpan ingatan (memory) dalam bentuk data, fakta dan informasi yang daripadanya informasi itu diproses untuk menghasilkan maklumat baru dinamakan ilmu.

Kemunculan teori ini telah membuka ruang penerokaan alam mental dengan lebih luas lagi sehingga muncul bidang-bidang seperti psikometrik, psikiatrik dan cybernatic. Perkembangan teori kognitivism telah menghasilkan banyak penemuan tentang ciri, mekanisma dan kerja otak sehingga apa yang berlaku dalam jaringan neuron-neuron otak berjuta-juta bilangannya dapat dikaji dan diketahui permasalahan mental yang disebabkan olehnya.

Penutup

Penjelasan saya tentang teori-teori pembelajaran seperti di atas tidaklah lengkap. Banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang teori-teori pembelajaran yang saya rujuk berdasarkan teori pembelajaran barat. Saya tidak menyentuh teori pembelajaran timur dan Islam. Mudah-mudahan saya dapat melakukannya di masa yang lain.

Tulisan saya dibuat berdasarkan bacaan, rujukan dan kefahaman saya ke atas apa yang saya baca. Mungkin ada di antaranya yang tidak menepati kefahaman sebenar teori-teori tersebut dari perspektif penyelidikan, perbincangan kuliah di universiti di kalangan pensyarah yang mendalaminya dan pendapat individu yang lebih pakar daripada saya. Saya dengan lapang dada menerima teguran dan pandangan sesiapa sahaja yang ingin berbuat demikian.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s