Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025: Suatu Analisis

Sambil baring melalui cuti sakit lepas pembedahan spine pada 29 Ogos 2012 dan diberi cuti oleh doktor hingga 6 November 2012, saya berkesempatan mengikuti ucapan YAB Perdana Menteri dalam Pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. Saya hampir pasti bersama rakan-rakan lain di KLCC hari ini 11 September 2012 jika sihat. Ada perasaan sedih, terharu dan bangga bercampur baur saat itu kerana dalam beberapa bengkel dan perbincangan penyediaan pelan, saya turut sama tetapi saat pelancaran saya hanya mampu baring di depan televisyen.

Saya terus menghantar mesej kepada Y.Bhg. Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dan Dato’ Dr Rosli Muhamad, KSU KPM mengucapkan tahniah. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YAB Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Menteri Pelajaran atas kejayaan melancarkan Pelan atau Blueprint Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Seperti disebut beberapa rakan, tugas semua pihak terutama peneraju pendidikan banyak lagi yang boleh disumbang untuk mendaging dan mengisi segala mekanisma kerangka pelan itu sehingga dapat bergerak lancar dalam tempoh 13 tahun mendatang.

Syukur, saya diberi kesempatan bersama sejak awal perbincangan dengan YAB Tan Sri Haji Muhyidin Yasin dan pegawai-pegawai tinggi KPM di Melaka sebaik sahaja YAB Tan Sri memasuki pejabat di KPM. Tiga atau empat tahun sebelum itu pun semasa YB DS Hishamuddin Tun Hussein Menteri Pelajaran, perkara mengubah sistem pendidikan kebangsaan telah dibincang.

Walaupun tidak dapat mengikutinya di KLCC, saya masih berpeluang mendapat salinan digital executive summary dan buku untuk pembentangan YAB Menteri dalam kedua-dua versi bahasa. Terima kasih kepada penghantarnya melalui email saya pada hari yang sama dengan pelancaran.

Sedikit penilaian awal saya terhadap laporan awal yang dapat saya ikuti melalui siaran televisyen dan executive summary setebal 48 muka surat sahaja. Laporan penuh setebal 248 muka surat belum sempat baca. Saya akan menulis beberapa artikel mengenainya untuk beberapa keluaran.

Saya tertarik untuk mengulas tentang kedudukan Malaysia dalam pendidikan dalam ranking antarabangsa berdasarkan laporan McKinsey yang diketuai Sir Micheal Barber. Kedudukan Malaysia telah jatuh dari kategori Fair dengan markah 470 dalam laporan yang sama yang dikeluarkan 2010 kepada kategori Poor dengan markah 410 yang dikeluarkan 2012. Standard pendidikan antarabangsa ukuran McKinsey dibuat berdasarkan lima kategori iaitu excellent (>560), great (520-560), good (480-520), fair (440-480) dan poor (<440). Laporan yang dikeluarkan 2012 adalah berdasarkan pengukuran 2009+ sedangkan laporan 2010 berdasarkan pengukuran 2006+ semasa kita belum menyertai PISA.

Ukuran di atas adalah skor universal ciptaan McKinsey berdasarkan kaedah Hanushek R. Woessman ke atas empat pentaksiran yang diskalakan termasuk PISA (Program for International Student Assessment), TIMSS (Trend in International Mathematics and Science Study), NAEP (National Assessment of Educational Program) dan lain-lain pentaksiran yang dinormalkan menjadi skala universal.

Saya pernah meramalkan kedudukan kita akan turun walaupun tidak berani menyatakannya kepada sesiapa berdasarkan beberapa faktor. Namun seperti diakui YAB TPM dan disokong YAB PM kita tidak perlu bimbang keadaan itu kerana ukuran PISA hanya sebagai sebahagian ukuran pencerapan (observed measure) yang tidak bebas daripada ralat pengukuran. Berdasarkan indikator-indikator lain kita masih berada pada kedudukan yang baik berbanding negara lain.

Antara empat pentaksiran itu, ukuran yang benar-benar mencerminkan standard pendidikan di Malaysia dalam laporan McKinsey adalah TIMSS dan pentaksiran lain yang diuniversalkan. Malaysia hanya mula menyertai PISA tahun 2010 untuk subjek Science. Oleh kerana penyertaan kita dalam PISA masih baru sekali masih ada ruang untuk kita memperbaiki kedudukan.

Penyertaan negara lain dalam PISA menunjukkan perbezaan signifikan bukan sahaja dari segi pencapaian dalam pembelajaran malahan mempengaruhi amalan pendidikan negara berkenaan. Sistem pendidikan negara-negara atau bandaraya yang berada pada kedudukan tertinggi iaitu Shanghai (578 – excellent), Hong Kong (547 – great), Finland (545), Singapura (544) dan Korea Selatan (540) bukan sahaja aktif dalam PISA malahan menjadikan amalan pengajaran dan pembelajaran mereka ke arah pemupukan kemahiran berfikir aras tinggi seperti diukur dalam PISA.

Kecuali Finland negara-negara di atas terkenal dengan peperiksaan kebangsaan berpusat seperti Malaysia. Mereka menjadikan kejayaan dalam peperiksaan yang high stake sebagai suatu perjuangan. Kadar kematian membunuh diri kerana gagal dalam pendidikan yang diukur dari kegagalan dalam peperiksaan di Korea tertinggi di dunia iaitu 250 setahun. Jepun dan Taipei juga dalam kelompok yang sama.

Kedudukan Finland selaku pengamal decentralization dan school based assessment terulung di dunia telah jatuh dari excellent (561) ke great (545) diambil alih oleh Shanghai yang pertama kali memasuki saingan. Hal ini memberi isyarat kepada kita bahawa peperiksaan kebangsaan seperti UPSR dan SPM masih signifikan menentukan kejayaan dalam pendidikan negara. Namun mengambil contoh negara-negara Asia Timur, sistem pentaksiran kita perlu lebih mirip PISA iaitu mengukur high order thinking skill supaya anak didik kita lebih kreatif, kritis dan inovatif seperti saranan YAB PM dan TPM.

Untuk persiapan ke arah itu guru memainkan peranan yang amat penting supaya murid bukan sahaja ditaksir kemahiran berkenaan dalam peperiksaan kebangsaan malahan mereka benar-benar belajar dan diajar dengan sempurna.

Saya pernah menyarankan kita menyertai PISA sejak 2003 lagi tetapi pada masa itu belum ada rezeki. Saya pernah menulis artikel tentang PISA ciptaan OECD (Organization of Economic Cooperation Development) sebuah pertubuhan ekonomi yang menjadikan pendidikan sebagai salah satu komoditi. Hal ini sesuai dengan ucapan YAB PM hari ini bahawa asas pertumbuhan ekonomi sesebuah negara bukan lagi sumber asli tetapi cluster of knowledge, technology and innovation.

Sir Micheal Barber pernah menyatakan "The combination of public with private, technology with teaching and evidence of what works with innovation are the keys to unlocking human potential around the world in the next decade".

Apabila saya menyatakan peperiksaan kebangsaan penting dan perlu dipertahankan tidak bermakna pentaksiran berasaskan sekolah tidak penting. Ia penting bagi tujuan yang sama melahirkan modal insan seimbang kecemerlanganya, berdaya maju, boleh dipasarkan dan menjadi warga negara yang baik bukan sahaja di peringkat akhir persekolahan tetapi sepanjang persekolahan.

Sama seperti muridnya yang menjadi subjek utama pendidikan, sistem pendidikan negara juga amat wajar diperiksa bukan sahaja secara dalaman yang berterusan tetapi juga secara luaran yang berkala dan sumatif sifatnya. Socrates dipetik oleh Plato dalam Apology sebagai berkata “The unexamined life is not worth living”.

Advertisements

8 thoughts on “Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025: Suatu Analisis

  1. Terima kasih Dr atas perkongsian ilmu. Banyak input yang saya dan kawan-kawan dapat daripada penulisan Dr.
    Tahniah Dr. teruskan menulis.

  2. Saya baru bersembang dengan kawan dari Oman mengenai sistem peperiksaan mereka yang menggunakan PBS. Oleh kerana lama dalam sistem ini, guru-guru cenderung untuk menjadi malas, merendahkan kualiti penilaian dan tidak melaksanakan PBS spt yang diharapkan. Menteri Pelajaran (Wanita) yang baru dilantik oleh Sultan telah memperkenalkan kembali peperiksaan standard untuk semua (Kebangsaan) (kalau tak silap di tingkatan 4) dan mendapati alangkah terkejutnya begitu jauh ketinggalan dan begitu ramai yang gagal dalam peperiksaan. jadi dibuat jalan baru siapa yang gagal perlu mengulang kelas di tingkatan tiga. Kalau gagal kali ketiga terpaksa diberhentikan sekolah. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita pelajari di sini.

    • Indonesia satu lagi contoh apabila lebih 20 tahun dulu mereka memansuhkan peperiksaan kebangsaan menyebabkan standard pendidikan mereka jatuh. Dulu mereka boleh hantar guru matematik dan sains ke Malaysia sekarang tak boleh.

  3. Kedua-dua PBS dan Peperiksaan Standard mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Melalui gabungan kekuatan kedua-dua bentuk pentaksiran ini akan melahirkan satu sistem pendidikan yang benar-benar mantap kerana sifat kekuatan itu sesungguhnya saling melengkap.

  4. biasanya sistem pendidikan yang tidak berpusat(decentralised) lebih sesuai atas sebab georphical size yang menyukarkan pemantauan. Selain itu sekiranya komposisis rakyat adalah homogeneous maka sistem pendidikan mcm mana pun adalah berkesan. Namun di negara yang masih baru keluar dari penjajahan, mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, sistem decentralized adalah agak berbahjaya sekiranya sukar di kawal selia.. Selain itu pihak-pihak luar yang mungkin mempunyai agenda lain yang tidak selari dengan Falsafah Pendidikan Negara dan nilai-nilai bangsa Malaysia mudah mengambil kesempatan.Seperkara lagi jika peperiksaan tidak lagi centralised dan sekiranya standardnya tidak piawai, bagaimana pula syarat kemasukan ke IPT? baik dalam maupun luar negara. Bagaimana dengan marketability tenaga sumber manusia kita di masa hadapan. Di Amerika misalnya, mereka mengawal kualiti dengan mengadakan peperiksaaan entry ke Universiti yang standard seperti MCAT utk bidang pure sains, SAt untuk sosial sains dsb..

    • Maaf Dr,
      Banyak negeri di Amerika Syarikat telah memperkenalkan standard testing sekolah rendah bertujuan mengkaji tahap keberkesanan pengajaran dan memberi ruang pelajar mengulang. BUKAN dengan mengadakan kelas tambahan dan menyuruh pelajar ke kelas tuition.
      Kegagalan pelajar dikaji dari pelbagai sudut termasuk kehadiran dalam kelas, sumbangan dalam kelas, tahap pendidikan ibubapa atau keluarga di rumah, serta kawasan perumahan yang didiami.
      Peperiksaan umum seperti ACT dan SAT diambil beberap kali semenjak gred 9 lagi supaya ampu mendapat markah yang tinggi dan berpeluang mendapat tempat di universiiti terkemuka dan peluang mendapat biasiswa di univerisiti kelak. Peperiksaan seperti MCAT dan LSAT adalah bagi pelajar sarjana muda memohon memasuki medical school atau law school. Walau bagaimanpun terdapt beberapa universiti yang memeberi ruang direct admission bereti mohon terus undergraduate dan medical school serentak di univerisiti yang sama. Seperti UMKC yang hanya 8 tahun semuanya berbading 8 tahun kebiasaan untuk tamat hingga habis MD mereka.

      • Benar tapi ramai juga yang menentang dasar NCLB tetapi menggunakan ujian atau peperiksaan untuk memastikan tiada murid yang tercicir. Tetapi sifat ujian ialah mesti ada murid yang tercicir kerana tidak lulus atau tidak melepasi halangan (hurdle) yang dibina oleh ujian. Dianne Ravitch antara yang lantang dan sangat dihormati Obama yang juga tidak suka ujian. Dia lebih suka guru mengajar bukan menguji.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s