Tip Memimpin di Tempat Baru

Sebagai penjawat awam dalam kategori dan posisi mana pun kita seringkali menerima arahan untuk berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Terutama apabila kita ditempatkan untuk memimpin sesuatu organisasi di tempat baru seperti sekolah atau institusi pendidikan lainya, kepimpinan kita akan dilihat berkesan atau sebaliknya sedikit sebanyak bergantung kepada bagaimana kita meletakkan diri kita di tempat baru itu.

Tulisan ini cuba menyingkap saranan pakar dan pengalaman orang-orang lama yang boleh dijadikan tip bagi pemimpin baru di sesuatu tempat yang dipimpin. Tip-tip yang dikemukakan bukanlah satu-satunya saranan yang mesti dipatuhi oleh setiap pemimpin kerana ia bergantung kepada gaya atau model kepimpinan seseorang. Semua gaya atau model kepimpinan ada kekuatan namun tiada yang bebas daripada kelemahan dan kekurangan.

Orang terawal yang boleh saya anggap sebagai guru dalam kepimpinan dan pengurusan pendidikan ialah Allahyarham Datuk Haji Yaakub Ederis mantan Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP). Datuk Yaakub adalah Pengetua Cemerlang pertama di dunia. Semasa menjadi pengetua Sekolah Menengah Sains Muar beliau mencipta sejarah apabila 100% pelajarnya mendapat Gred 1 dalam SPM. Tiada rekod sedemikian dicatat sebelumnya.

Banyak cerita kejayaan kepimpinannya dikongsikan kepada saya sepanjang saya menjadi anak buahnya di LP. Cerita kejayaanya amat saya gemari lebih-lebih lagi kerana saya adalah penulis teks ucapan dan kertas kerja yang dibentangkannya. Namun untuk tulisan ini saya akan hanya mengutip pengalamannya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato’ Harun, Jalan Klang Lama sebagai Pengetua Cemerlang.

Seminggu sebelum melaporkan diri di sekolah berkenaan setiap pagi dari pukul 6.00 hingga 8.00 atau 9.00 beliau akan berada di satu penjuru yang berbeza di luar pagar sekolah memerhati keadaan dan gelagat murid, guru, ibubapa dan orang awam yang berurusan dengan sekolah. Kehadirannya langsung tidak disedari sesiapa pun kerana beliau duduk di dalam kereta atau gerai makan di luar kawasan sekolah sambil mencatat perkara-perkara penting yabg diperhatikan.

Daripada pemerhatian langsungnya, dia mendapat maklumat tentang keluar masuk murid dan guru dalam masa p&p berjalan. Dia tahu pagar berlubang mana diguna murid untuk ponteng sekolah. Malahan dia tahu aktiviti tak sihat dilakukan murid di dalam dan di sekitar sekolah.

Berbekalkan maklumat yang diperoleh daripada pemerhatian langsung ditambah maklumat daripada Jabatan Pelajaran, beliau melapor diri dengan tekad “Kerusi pengetua ini adalah kerusi saya maka semua orang, peralatan, kemudahan dan peraturan yang berada di bawah kuasa yang ada pada kerusi ini adalah menjadi tanggungjawab saya menjaganya”. Beliau menyatakan kepada saya mulai saat itu, walau apapun tanggapan orang dan tanggapannya sendiri terhadap sekolah itu sebelumnya, dia akan pertahankan jika ada mana-mana pihak mempertikaikan kewibawaan sekolah.

Beberapa tip memimpin di tempat baru agar kepimpinan anda diterima, memberi kesan dan impak yang tinggi kepada organisasi yang anda pimpin.

1. Dapatkan serba sedikit maklumat tentang organisasi yang anda hendak pimpin sekurang-kurangnya latar belakang, fungsi dan peranannya dalam masyarakat.

2. Jadikan diri anda sebagai sebahagian daripada warga organisasi yang anda pimpin. Terima semua orang yang anda hendak pimpin seadanya. Elakkan tanggapan awal apatah lagi prejudis terhadap subordinate sama ada yang anda dengar daripada dirinya sendiri apatah lagi daripada orang lain.

3. Elakkan menyebut kelemahan atau kekurangan organisasi yang anda baru pimpin dan berjanji hendak memperbaikinya. Walaupun mungkin memang ada kelemahan yang hendak anda perbaiki, menyebutnya di hadapan subordinate anda yang baru atau yang lama tidak membawa apa-apa keuntungan. Laksanakan sahaja perubahan yang hendak anda lakukan tanpa mempertikai usaha yang telah dibuat pemimpin sebelum anda.

4. Elakkan seringkali menyebut pengalaman anda di tempat lama. Selain ianya selalu dianggap sensitif oleh subordinate anda yang baru apa yang berlaku di tempat lama dan baru adalah berbeza. Jika pun perkara tersebut sama, nyatakan sahaja dasar dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

5. Membawa orang kepercayaan anda di tempat lama ke tempat baru  terutama dalam bilangan yang ramai seringkali mengundang ketidakpercayaan di kalangan orang baru yang anda pimpin. Anda akan dianggap tiada kekuatan membina kepimpinan di tempat baru.

6. Walau bagaimapun hebatnya kita dalam bidang yang kita ceburi dengan pengalaman luas berkaitan tetapi baru dalam organisasi yang kita pimpin, pasti banyak perkara yang tidak diketahui. Oleh itu, lebih baik anda ikut nasihat berikut untuk membina hubungan di tempat baru:

– Masuk ke dalam organisasi dengan setting yang baru dengan berhati-hati dengan langkah yang betul.

– Dengar dan belajar daripada orang yang telah lama di dalam organisasi itu.

– Libatkan diri dalam usaha mencari fakta, menyelesai masalah dan membuat keputusan secara bersama

– Berhati-hati (bukan tergopoh gapah) dalam membuat diagnosis ke atas sesuatu situasi.

– Ambil perhatian secara berkala (forthnightly) keprihatinan dan permasalahan orang bawahan.

– Enthusiastik, asli dan ikhlas apabila membuat perubahan.

– Dapatkan buy-in bagi apa sahaja pembetulan yang perlu anda lakukan.

– Bangunkan suatu perancangan rapi dan berkredibiliti tinggi sebarang penambahbaikan atau pembetulan atau perubahan yang anda hendak lakukan, bukan secara adhoc.

7. Mengubah tingkalaku manusia tidak semudah menukar baju. Untuk mengubah tingkahlaku manusia ubah situasi persekitaran kerjanya. Kemudahan tempat kerja, kebajikan dan hubungan sesama pekerja membantu mengubah tingkahlaku ke arah yang lebih baik mengikut kehendak pemimpin.

8. Pelajari secara berterusan dengan amalan terbaik. Perhatikan ke dalam diri anda. Cari kekuatan yang boleh dibangun dan diguna untuk manfaat semua.

9. Sikap anda tentang ‘melakukan kesilapan’ seharusnya berbeza sama sekali dengan sikap orang yang telah ada mindset yang tetap atau negatif terhadap kesilapan. Baca John Baldoni atau Paul Speigelman.

10. Jika anda ingin menjadi pemimpin perubahan yang berkesan di tempat baru perhatikan 7 saranan Fullan yang berikut:

i. The effective change leader actively participate as a learner in helping the organization improve.
ii. Effective change leaders combine resolute moral purpose with impressive empathy
iii. Realized effectiveness is what motivates people to do more.
iv. Collaborative competition is the yin and yang of successful change. Collaborate and compete.
v. Change leaders are more confident than the situation warrants but more humble than they look.
vi. Statistics are wonderful servant and an appelling master.
vii. Simplexity is salvation for an intricate world.

11. Semasa anda mengendali perbincangan dalam bentuk mesyuarat atau bengkel, elakkan tergesa-gesa membuat keputusan tanpa memahami isu sebenar. Sebaliknya jangan mengambil masa terlalu lama membuat keputusan apatah lagi tiada keputusan dibuat.

12. Jika keputusan telah dibuat oleh pemimpin terdahulu dalam mesyuarat, elakkan membuat keputusan sebaliknya kecuali anda benar-benar memahami isu sebenar dan konsekuen keputusan yang anda ambil.

13. Jika anda terperangkap di dalam perbezaan pendapat antara dua atau lebih orang yang anda kendalikan perbincangannya dan anda perlu membuat keputusan sedangkan anda tidak pasti yang mana paling tepat, elakkan memberi pandangan menyebelahi mana-mana pihak. Dengar dengan sabar dan teliti lebih baik daripada bercakap tetapi salah. Setelah masing-masing habis bercakap, anda bebas membuat keputusan tanpa menyebut anda menyebelahi mana-mana pihak. Allahyarham Datuk Yaakub pernah membuat keputusan yang menyebelahi pegawai kanannya yang lebih senior terlebih dahulu walaupun ternyata kurang tepat. Keesokan harinya dia menukar keputusan yang menyebelahi pegawainya yang lebih junior. Tindakannya adalah untuk menjaga hati pegawai kanannya. Ternyata kepimpinanmya yang halus disanjung tinggi subordinatenya.

14. Elakkan memperkecilkan kewibawaan dan kebolehan subordinate di hadapan mereka apatah lagi di hadapan orang lain. Jika pun anda mendapati ada kelemahan dan kekurangan pada diri mereka, mengajak mereka untuk memperbaiki dan meningkat kekuatan lebih baik daripada memperkecil apatah lagi menghina.

15. Segala perkara yang berlaku di dalam organisasi anda, anda bertanggungjawab ke atasnya walaupun anda baru dalam organisasi itu atau anda mungkin belum tahu mengenainya. Elakkan berkata “saya tidak tahu perkara itu” sebaliknya “bantu saya menyelesaikan masalah”.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya kepada pembaca dan diri saya sendiri. Pastinya tip-tip yang disenaraikan tidak bebas daripada kesilapan dan kekurangan jauh daripada kesempurnaan. Oleh itu, teguran dan pandangan pembaca amatlah dialu-alukan.

Advertisements

11 thoughts on “Tip Memimpin di Tempat Baru

  1. Tip yang sangat menarik untuk dikongsi, panduan daripada pengalaman sebenar oleh tokoh yang berjaya jarang dapat dikongsi secara langsung melainkan melalui orang yang pernah bersama dengan mereka. Syabas tuan kerana berjaya menyusun kembali pengalaman tersebut melalui tulisan yang mempunyai kekuatan tersendiri untuk dikongsi bersama. Terima kasih sekali lagi dan teruskan menulis kerana tulisan tuan begitu menarik untuk diikuti.

  2. people mgmt adalah satu seni yang halus dan menarik….. harus ada pandangan yang pelbagai…….. kadang2 sesuatu yang dilihat/dikatakan salah itu mungkin ada kebenarannya…… itulah seni nya…. mungkin ada hikmahnya………… sekadar satu falsafah pendapat…. teruskan memberikan pandangan doc…

  3. Assalamualaikum, saya terpanggil untuk berkongsi idea dan kefahaman mengenai topik yang telah dilontarkan oleh tuan. Seringkali suatu kejayaan dan kegagalan dalam menerajui organisasi tempat baru amat berkaitan dengan corak kepememimpinan, kualiti keperibadian pemimpin, serta lain-lain atribut yang amat signifikan dengan lokaliti setempat. Kepemimpinan dan kejayaan adalah suatu tanggungjawab moral. Sebagaimana ikutan teladan kepemimpinan khalifah terdahulu yang meletakkan diri dan kepemimpinan sebagai aset berharga kepada agama, masyarakat, dan negara akhirat. Mereka menyedari dan dapat meletakkan diri sebagai arkitek kepada perubahan masa depan.
    Dalam memperkatakan persoalan kepemimpinan, lokaliti dan kejayaan, saya teringat kepada seorang ahli falsafah bernama Paolo Freire dalam memperkatakan Pedagogi bagi Golongan Tertindas yang dapat melihat keperluan tertentu, kesesuaian dan kehendak-kehendak komuniti dalam melakar ‘makna’ kehidupan kepada mereka. Barangkali bagi pemimpin perubahan, perkara seumpama ini amat bermakna dalam analisis awal untuk meletakkan diri, hala tuju serta kejayaan organisas.

    Rakan saya, Cikgu Zakaria Sulaiman ialah Guru Besar. Ke 9 di SK Pasir Tumbuh, pedalaman Daerah Gua Musang mungkin begitu kerdil untuk saya ceritakan di sini. Namun, kisah beliau telah banyak memberikan ‘makna’. kepada saya dalam menterjemahkan erti moral leadership. SK ini dihuni oleh komuniti Melayu Bukit yang mendiami kawasan berbukit, hutan dan sungai. Bagi mereka, sekoah itu tidak memberikan banyak erti pada kehidupan dan masa depan mereka melainkan kemahiran hidup dalam persekitaran pinggir hutan. Maka kadar ketidakhadiran sekolah amat tinggi apatah lagi masalah LINUS dan kegagalan dalam UPSR yang pada setiap tahun 0 peratus.

    Pada hari pertama jejak ke sekolah, dengan jenuh perit beliau sampai ke pintu pagar sekolah dengan kereta lamanya tetapi disambut sepi oleh komuniti dan warga sekolah. Pada minggu berikut dan seterusnya beliau masuk ke sekolah melalui jalan sukar serta cuaca yang tidak menentu hanya dengan motor honda cup. Kesukaran dan kesungguhan beliau telah mula dapat dihidu oleh komuniti. Beliau akhirnya tampak diterima. Beliau telah tidur dan berkongsi sama guru di rumah yang disediakan di kawasan pedalaman. Peluang ini telah digunakan untuk mengajak guru untuk bersama-sama membangunkan dan memajukan sekolah.

    Kedudukan sekolah dengan kebanyakan komuniti adalah dipisahkan oleh sungai. Oleh itu, kehadiran pelajar mungkin mencapai 10 peratus jk hujan, tambahan pula motivasi mereka amat rendah. Dengan tabah dan sabar, beliau pada setiap petang menyeberangi sungai, merentas hutan dan mendaki bukit bukau untuk bertemu ibu bapa dan penjaga serta anak-anak agar datang ke sekolah, membimbing ibu bapa tentang bagaimana membanrtu anak di rumah serta memberikan harapan masa depan untuik mereka. Para ibu bapa mulai merasai terpanggil dengan kepemimpinan Guru Besar ke 9 yang telah menjejaki mereka hingga ke rumah.

    Cikgu zakaria mula menyambut dan mengiringi anak-anak dari pengkalan sungai lagi ke sekolah. Beliau mengajak para ibu bapa bersama-sama solat hajat dengan beliau pada setiap minggu. Saya teringat kata-kata Peterson and Cooper, ‘no matter how skilled professionals are, how loving parents are, each cannot achieve alone what the two parties, working hand-in-hand, can accomplish together’.

    Memandangkan permasalahan komuniti, beliau telah bertemu dengan Pak Menteri dan mendapat kelulusan segera bagi pembinaan asrama. Melalui kemudahan asrama telah membuka peluang luas bagi membolehkan beliau nmendisiplinkan anak-anak dengan kehidupan masa depan. Menurut Joyce Epstein, ‘ the way we reflect student as our children will reflect the way we treat them’ .

    Dipendekkan kisah, beliau telah berjaya melahir seramai 5 orang pelajar mendapat 5A dan empat orang mendapat 4A dalam UPSR pada tahun tersebut. Beliau telah mendapat anugerah dan pengiktirafn daripada JPN Kelantan.

    Sebagai rumusan, untuk memcipta kejayaan khusus untuk komuniti pedalaman (ratusan koilometer dari bandar) adalah suatu perjuangan dan pengorbanan yang sukar serta mencabar Erti kepemimpinan. Belajar dan terus belajar dari pelbagai perspektif adalah guru yang terbaik. Setiap pemimpin akan diuji dan kepemimpinan akan terus dipersoal melalui pelbagai assessment hingga ke pintu syurga…

    Mohon maaf atas kekerdilan dalam perkongsian ini.

  4. Pernah Dr kongsi dengan saya kisah Pengetua ini. Walaubagaimanapun kali ni lebih detail dan lengkap dengan rumusan. Terima kasih atas perkongsian.

  5. Tulisan yang Dr paparkan adalah satu refleksi yang sangat berguna untuk diri saya. Sesungguhnya mengurus itu adalah ‘satu seni dan sains’. Oleh kerana yang diurus adalah manusia yang berfikir, dan membuat interpritasi dll. Pemimpin dan pengurus yang cekap akan menguggunakan segala kekuatan dan kekurangan subordinate bagi mencapai matlamat oeganisasi. Perkongsian yang Dr buat sangat memberi makna kepada diri saya.

  6. Terima kasih atas perkongsian yang amat berguna kepada bakal-bakal pemimpin institusi pendidikan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s