Memimpin dengan Budi

Buku Lembaga Budi karangan Prof Dr Hamka dalam tahun 30an telah agak lama juga saya baca bersama beberapa buah bukunya yang lain seperti Ayah, Kenang-kenangan Hidup, Tasawuf Moden, Falsafah Hidup dan Lembaga Hidup. Hari ini apabila saya membacanya sekali lagi buku itu semakin banyak mutiara hidup yang saya kutip.

Saya masih ingat apabila seorang sahabat memberi tahu jika kamu hendak membentuk hatimu supaya lembut tetapi semangat juangmu kental bacalah buku-buku Hamka, saya telah menghabiskan duit lebih RM400 untuk membeli buku-buku Hamka di Kedai Buku Marwilis Kompleks PKNS Shah Alam. Saya tidak beli lagi novel Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wich kerana telah membacanya masa sekolah dulu. Benar kata sahabat itu kerana sedikit sebanyak personaliti saya banyak dipengaruhi oleh tulisan Hamka.

Mana tidaknya pantun berikut ciptaan Hamka yang dimuatkan sebagai rumusan dalam Pendahuluan buku Lembaga Budi itu sudah cukup menggambarkan ketinggian budi dan kedalaman rasa cinta Hamka kepada kedamaian, keharmonian dan kemetdekaan dalam diri setiap insan.

     Tegak rumah kerana sendi
     Runtuh sendi rumah binasa
     Sendi bangsa ialah budi
     Runtuh budi runtuhlah bangsa

Dalam bab seterusnya yang bertajuk Budi yang Mulia, Hamka berhujah bahawa kemuliaan manusia berbanding makhluk yang lain adalah kerana segala pekerjaannya timbul dari pertimbangan akal fikiran. Fikiran itu pula bersesuaian di antara tujuan (ghayah) dan jalan mencapai tujuan (wasilah). Tidak cukup dengan itu, difikirkannya pula akibat yang akan diterimanya apabila pekerjaan itu dilakukan (akauntabiliti)

Apabila saya bandingkan cetusan fikiran Hamka lebih 70 tahun dahulu dengan tulisan John Baldoni dalam Lead with Purpose tahun 2012,  ada kekurangan pada Baldoni. Baldoni hanya bercakap tentang purpose sedangkan Hamka ditambah dua lagi. Dalam bukunya, Baldoni mengemukakan 7 kunci utama pemimpin yang pintar (smart) buat untuk mencapai kejayaan di masa hadapan sedangkan Hamka dalam Lembaga budinya 10.

Tujuh saranan Baldoni adalah:

1. Jadikan tujuan fokus utama: tahu ke mana haluan dituju dan mengapa.
2. Tanamkan semangat untuk mencapai tujuan kepada orang lain: ajar orang anda bagaimana hendak mencapai tujuan agar mereka tahu apa organisasi buat dan apa peranan mereka mainkan.
3. Jadikan pekerja anda selesa dengan perkara yang tidak menentu: dalam dunia moden penuh cabaran banyak perkara tidak menentu berlaku di mana anda sendiri tidak mengetahuinya. Namun pekerja anda perlu dikurangkan kerisauannya dengan meyakinkan mereka masalah boleh diselesaikan.
4. Tukarkan niat yang baik menjadi kenyataan yang memberangkan: dunia sememangnya sukar bagi manusia menghadapinya namun kerja mesti dibuat maka jadikan tujuan sebagai faktor yang membolehkan idea yang baik bertukar menjadi aplikasi yang praktikal.
5. Jadikan kegagalan tangga kejayaan: kebanyakan kejayaan bermula dengan kegagalan. Tujuan menjadi enjin kepada inovasi selalunya gagal dulu.
6. Bangunkan generasi masa depan: orang lama tidak kekal selamanya. Pengganti mesti dibina supaya kelangsungan organisasi boleh dipertahankan.
7. Sediakan diri anda: sebagai pemimpin tunjukkan arah tujuan yang betul organisasi anda. Untuk itu anda sendiri perlu kemas dan jelas matlamat kepimpinan anda dengan ilmu yang betul.

Sememangnya saranan Bakdoni di atas baik untuk dijadikan panduan oleh seorang pemimpin. Namun jika ditambah ajaran Hamka anda memimpin dengan tujuan (ghayah) dan cara atau methodologi (wasilah) yang betul serta akauntabiliti tinggi. Bagi saya memimpin dengan yang sedemikian itulah Meminpin dengan Budi yang mulia.

Budi mengikut Hamka ialah akhlak dan budi yang mulia ialah kemahuan menempuh jalan yang benar dan menjauhi kehendak yang jahat. Oleh itu memimpin dengan budi (yang mulia) ialah mengajak dengan cara mempengaruhi orang lain di bawah jagaannya supaya ada kemahuan untuk bekerja bersungguh-sungguh dengan kebenaran dan menjauhi diri daripada mengerjakan sebarang perkara yang batil dengan akauntabiliti tinggi.

Sepuluh perkara saranan Hamka untuk memimpin organisasi dengan budi (akhlak) yang mulia adalah:

1. Ilmu: Ilmu membersihkan hati meluaskan keyakinan. Ilmu memberi terang kepada akal sehingga segala yang gelap dan kabur dalam mencapai tujuan, hilang ragu-ragu dalam mekaksana rancangan. Dengan ilmu pemimpin usaha organisasi lebih maju.
2. Percaya kepada diri sendiri: pemimpin tidak boleh terlalu mengharap tenaga, buah fikiran dan nasihat orang lain kerana tidak menjamin kesempurnaan usaha. Terkadang dia perlu membuat keputusan sendiri sama ada perkara itu dibawa mesyuarat atau tidak. Kelewatan pemimpin membuat keputusan kerana ragu membantut usaha organisasi.
3. Kekuatan kemahuan: percaya diri sendiri menimbulkan kemahuan yang kuat. Kekuatan kemahuan pemimpin membezakannya dengan pengikut. Segala usaha besar dengan hasil yang memuaskan adalah kerana budi pemimpinnya yang keras hati.
4. Mengatur masa merancang kerja: masa adalah modal organisasi yang paling kuat dan besar. Perlu diatur supaya masa tidak mengatur organisasi. Perancangan strategik dengan pemikiran strategik perlu selaras dengan pengaturan masa supaya kerja dapat dilaksana dengan hasil yang optimum.
5. Hadapkan perhatian kepada organisasi: kerja boleh terus tetapi dalam bekerja berjalan pula hendaknya fikiran supaya dapat dibeza perkara pokok dengan perkara cabang atau ranting. Perhatian kepada organisasi dihadap dengan akal dan fikiran yang positif barulah keuntungan besar dioeroleh setimpal dengan usaha dan belanja.
6. Jujur dan amanah: modal sesuatu usaha bukan semata-mata wang. Jujur dan teguh memegang amanah pemimpin dan pengikutnya adalah modal utama organusasi.
7. Menjaga kualiti: Nabi ada bersabda “Allah amat suka apabila kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dijaga mutunya”. Kualiti pekerjaan atau kepimpinan seorang pemimpin membezakannya dengan pemimpin lain.
8. Mengetahui kehendak pelanggan: pelanggan sebuah organisasi adakah orang ramai. Menjaga kehendak orang ramai sememangnya sukar tetapi pemimpin tidak boleh mengelak untuk melakukannya.
9. Pengiklanan dan promosi: seperti syarikat perniagaan organisasi juga perlu mengiklan dan mempromosi pekerjaan, perkhidmatan dan produknya kepada pelanggan. Ini dilakukan dengan prospektus, buletin, takwim, laporan tahunan dan lain-lain terbitan sama ada dalam bentuk hard copy atau ICT seperti website.
10. Pintar meladeni (melayan): pemimpin mesti mahir komunikasi termasuk kemahiran mendengar guna untuk meladeni stake holder dari arah 360°.

Prof. Hamka adalah seorang pujangga agung. Di dalam Lembaga Budi dikumpulkanya 99 madah pujangga hasil daripada cetusan fikiran dan pemerhatiannya ke alam luas terbentang. Saya catatkan sebagai penutup tulisan ini madahnya yang ke-99 semoga di lain kesempatan dapat pula mengongsikan madah-madah yang lain.

“Dalam menempuh jalan hidup janganlah cuba menjarak dari Tuhan sebab kendali yang sebenarnya terpegang di tanganNya. Betapun kits memegang kemudi bahtera menuju pelabuhan yang dicita-cita, namun yang menentu arah angin ialah Dia. Sebelum sampai ke tempat perhentian, janganlah lekas puas dan gembira jika nasib selamat, terapi bersyukurlah! dan jika angin ribut
menggoncang bahtera sehingga seakan tiang akan patah janganlah bergoncang jiwamu sebab sesudah angin ribut itu alam akan terang kembali, sebab itu hendaklah sabar”.

Ya Tuhanku tutuplah untuk kami dengan sebaik-baik penutupan.

Advertisements

2 thoughts on “Memimpin dengan Budi

  1. assalamualaikum,saya baru sempat menghayati coretan Dr.suatu bahan yang sangat menarik perhatian saya untuk ingin lebih mengetahui tentang penulisan Prof.Hamka .semoga usaha saya seterusnya untuk membeli buku ini tercapai.Terima kasih atas perkongsian yang hebat ini.

    • Tahniah tapi jangan baca novelnya sahaja untuk mendapatkan ilmu dari seorang pujangga, pemimpin, pejuang kemerdekaan, agamawan dan sasterawan terulung di nusanrara. Buku Ayah dan Kenangan Hidup tentang biografi sangat menarik untuk menyelami riwayat hidup serta perjuangan Hamka, ayah dan datuknya. Saya cadang baca Ayah dulu baru baca Kenangan Hidup. Buku Lembaga Budi, Falsafah Hidup dan Tasawuf Moden sangat baik untuk mendidik hati.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s