Catatan Perjalanan ke HCMC bersama Dato’ IAB

Tulisan yang berbentuk catatan perjalanan ini adalah sedikit usaha saya untuk berkongsi rasa, ilmu dan pengalaman berharga yang diperoleh daripada penyertaan dalam Asia Leadership Roundtable (ALR) di Ho Chi Minh City (HCMC), Vietnam dari 11 – 14 Mac 2012. Banyak pengalaman dan pelajaran berharga saya peroleh daripada perjalanan itu bukan sahaja kerana negara yang dilawati ialah Vietnam tetapi lebih berharga lagi kerana perjalanan itu bersama Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid (Dato’ IAB). Saya amat menyanjung tinggi ketokohan Dato’ IAB sebagai pendidik sejati sejak lama sebelum saya menjadi warga Institut Aminudin Baki (IAB) lagi. Ketokohannya sebagai pendidik melayakkanya Anugerah Tokoh Kepimpinan Guru sempena Perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun 2010 di Kuantan. Setelah menjadi warga IAB, maka bertambah lagilah penghormatan saya kepada Dato’ IAB kerana maklumat tambahan tentangnya diberi oleh rakan-rakan lama yang pernah bersamanya bertahun-tahun.

Perjalanan ke HCMC

Pada 11 Mac 2012, kira-kira jam 2.00 petang di Golden Lounge Mas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tanpa disangka saya bertemu Dato’ IAB yang katanya juga akan ke HCMC untuk menyertai ALR. Gembiranya hati tidak kepalang bukan sahaja kerana sangkaan saya akan bersendirian mewakili negara ke ALR itu tetapi rupa-rupanya berteman, malahan temannya itu orang yang sangat dihormati seperti gurunya sendiri. Seperti biasa, apabila bertemu kami bukan sahaja bersalam malah berpeluk dan terus berbual panjang sehingga hampir terlupa bahawa kami sedang menunggu penerbangan.

Sebenarnya, bukanlah lama sangat kami tidak bertemu. Baru tidak sampai dua bulan sebelum itu kami bertemu dan berurusan membawa 40 orang pemimpin Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI) berkursus di IAB selama seminggu mulai 27 Januari 2012. Kami berdua bersama wakil PGRI juga muncul secara live dalam program Agenda Awani membincang topic pendidikan. Namun, peluang bertemu Dato’ IAB walaupun sekejap (apatah lagi bermusafir bersama ke Negara orang selama tiga hari tiga malam) tak mungkin dilepas daripada tidak mempelajari ilmu yang tidak boleh diperoleh daripada buku atau bilik kuliah khusus dalam bidang pendidikan.

Saya terlebih dahulu memasuki Golden Lounge maka saya telah sudah menghabiskan sedikit makanan ketika menemui Dato’ IAB masuk. Jadi saya punya masa melayannya makan sambil berbual.  Dalam ruang masa yang singkat sementara menunggu panggilan untuk berlepas, beberapa perkara dapat dipelajari. Antaranya, bagaimana cara beliau menyatakan bahawa makanan yang dipesan daripada petugas di Golden Lounge itu tidak sama dengan apa yang dipesan tetapi dia tidak meminta tukar malahan terus makan dengan senyuman sebaliknya petugas itu yang memohon maaf berulang kali.

Beliau juga sempat menasihati saya untuk mendalami bidang kepimpinan dan pengurusan pendidikan dengan mengaitkannya dengan bidang pentaksiran untuk melihat bagaimana perkara tersebut boleh membantu murid meningkatkan pencapaian dalam pembelajaran. Beliau juga menasihati saya untuk mendalami bidang pentaksiran kepimpinan pendidikan iaitu bagaimana mentaksir kepimpinan seseorang pendidik (seperti apa yang dibuat oleh Razak Manaf dan rakan-rakan di Pusat Pentaksiran Kepimpinan Pendidikan). Menurutnya, ‘spesis’ seperti saya ini tidak banyak di Malaysia, malahan mungkin di dunia dengan syarat saya benar-benar memahami konsep, teori dan amalan kepimpinan dan pengurusan pendidikan yang baru setahun diceburi. Namun menurutnya, saya tidak ada banyak masalah untuk memahami dan mendalami bidang yang baru saya ceburi berbanding bidang pentaksiran yang telah lama dipelajari, diamal, diajar kepada dan dicontohi oleh orang lain.

Malangnya, belum sempat saya bertanya lebih lanjut tentang nasihatnya itu, pihak Malaysia Airport Berhad telah mengumumkan penerbangan MH056 ke HCMC telah bersedia untuk berlepas. Sangkaan saya kami akan bertemu di dalam perut kapal terbang Business Class yang saya naiki untuk menyambung perbincangan. Rupa-rupanya Dato’ IAB terbang kelas ekonomi jadi saya duduk di hadapan sedangkan dia di belakang. Saya rasa teramat serba salah. Timbalan Presiden sebuah universiti swasta yang terkenal bergelar Profesor Dato’ terbang kelas ekonomi saya cuma Timbalan Pengarah terbang kelas perniagaan. Rasanya mahu sahaja saya halang dia terus berjalan ke belakang dan menawarkan untuk bertukar tempat. Pasti hal sedemikian lebih kurang manis atau mungkin menyalahi peraturan MAS.

Setibanya pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa HCMC, walaupun terlebih dahulu keluar daripada pintu kapal terbang, saya tunggu Dato’ IAB untuk keluar bersamanya. Saya tebus rasa berdosa semasa di dalam perut kapal terbang dengan menawarkan diri menjaga beg sandang belakang yang biasa dibawa ke mana-mana dia pergi semasa memasuki bilik air untuk membuang air. Seterusnya, saya bertindak seperti pembantunya dalam urusan imigresen, tuntutan bagasi, mendapatkan tiket teksi, daftar masuk hotel hinggalah memberi tip kepada bell boy yang membawa begnya masuk ke dalam bilik hotel, dia nombor 103 saya 201.

Menghadiri Asia Leadership Roundtable Discussion

Asia Leadership Roundtable 2012 dianjurkan oleh Asia Pacific Centre for Leadership and Change (APCLC) yang berpusat di Hong Kong dengan kerja sama Institute for Research on Educational Development (IRED) Vietnam. APCLC ialah sebuah pusat Kepimpinan dan Perubahan Pendidikan Asia Pasifik yang ditubuhkan oleh The Hong Kong Institute of Education di bawah naungan The Joseph Lau Hung Charitable Trust. Professor Philip Hallinger dan Professor Allan Walker adalah pengasas dan Pengarah APCLC. Dato’ IAB adalah seorang daripada ahli Lembaga Penasihat APCLC sejak mula ditubuhkan. Sebagai sebuah badan bukan berdasarkan keuntungan, pusat ini menjalankan aktiviti penyelidikan dalam kepimpinan dan perubahan pendidikan, program pembangunan kepimpinan pendidikan, penerbitan dan polisi kepimpinan.

Seperti IAB, IRED menjadi sebahagian daripada ahli bersekutu kepada APCLC. Namun, IRED adalah juga badan bukan kerajaan dan bukan pencari keuntungan tetapi oleh kerana berada dalam negara Sosialis/Komunis, sangat patuh dengan polisi, peraturan dan kehendak kerajaan. Vietnam dipilih oleh Hallinger dan sekutu baratnya serta anggota APCLC untuk mengadakan roundtable ini kerana potensinya yang sangat baik untuk pelaburan dalam bidang pendidikan, terutama kepimpinan dan perubahan di Asia.

Program bermula pada hari Ahad 11 Mac 2012, jam 3.00 – 7.00 petang dengan pendaftaran semua peserta di Hotel Bong Sen yang dibiayai oleh ASCD. Peserta dijemput (pilihan) menyertai majlis ringkas opening reception dan makan malam yang perlu dibayar sendiri oleh peserta daripada pukul 6.30 hingga 8.30. Majlis ini sangat kasual dan santai di mana peserta lebih banyak berbincang secara tak formal mengikut tempat duduk pilihan masing-masing. Walaupun pilihan dan membayar sendiri makanan yang dipesan, hampir semua peserta menyertainya.

Ternyata Dato’ IAB sangat terkenal di kalangan peserta senior. Saya diperkenalkan olehnya kepada Profesor Philip Hallinger, Profesor Stake, Mr Trung dan entah berapa ramai lagi kawan-kawannya. Saya tidak makan semeja dengan Dato’ IAB kerana peserta daripada negara yang sama tidak dibenar duduk semeja. Dari meja tempat saya duduk saya nampak dia rancak berbual dengan peserta daripada negara lain. Namun, dia sempat menjenguk ke meja saya bertanya makanan yang saya pesan. Dia sempat juga mengambil gambar kenangan kami dengan peserta lain.

Keesokan harinya, perbincangan meja bulat sebenar bermula pada pukul 8.45 pagi di Hotel Palace (empat bintang) kira-kira 4 minit berjalan kaki dari Hotel Bong Sen (tiga bintang), tempat menginap. Dalam agenda ditulis Opening Ceremony pada pukul 8.45 pagi tetapi tiadapun majlis pembukaan rasmi seperti kebiasaan kita. Apa yang dikatakan Opening Ceremony hanyalah juru acara majlis (perempuan Vietnam yang mewakili IRED) mengalu-alukan peserta mengambil masa sekitar 10 minit walaupun jadual untuk itu memperuntukkan masa setengah jam. Selepas mengalu-alukan peserta, pengacara menjemput Prof. Philip Hallinger, Pengarah APCLC Hong Kong yang sangat kita kenali berucap untuk agenda ’Program Overview and Welcome’. Beliau selain mengalukan kehadiran peserta dan memberi taklimat tentang tujuan serta pelaksanaan perbincangan, juga mengambil peluang untuk memperkenalkan semua peserta terutama yang baru menyertai buat kali pertama. Dato’ IAB tak perlu memperkenalkan diri kerana bukan orang baru, sebaliknya Profesor Hallinger yang memperkenalkannya kepada peserta lain terutama yang baru seperti saya.

Tepat pukul 9.30 pagi seperti dijadualkan, Mr Gian Tu Trung, President IRED mengambil alih rostrum daripada Hallinger untuk menyampaikan Keynote Speech Pertama bertajuk Trends in Developing Leadership Capacity in Vietnam. Dalam penyampaiannya selama tepat setengah jam sebelum rehat dan group photo, Mr Gian Tu Trung banyak bercerita tentang sejarah perkembangan pendidikan di Vietnam selepas perang dan setelah penyatuan Utara dan Selatan dengan Utara memimpin dari tahun 1975 hingga sekarang. Ternyata Dato’ IAB banyak membaca buku dan memahami sejarah Vietnam. Di luar perbincangan meja bulat semasa berjalan-jalan sekitar hotel Bong Sen atau di setiap kesempatan yang ada bersamanya, banyak perkara yang saya tanyakan tentang sejarah Vietnam seperti catatan saya dalam laporan penyertaan ke perbincangan meja bulat itu.

Seperti biasa, Dato’ IAB sentiasa menunjukkan kekuatan berfikir dan berhujah sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris apabila menyarankan dalam perbincangan mengenai empowerment of teachers and their leaders in school agar sebelum itu mereka perlu diberi enablement. Tiada siapa berani mengulas hujah Dato’ IAB kecuali Hallinger sendiri selepas beberapa orang lain bercakap kemudian daripada saranan Dato’ IAB. Itupun Hallinger tidak menyangkal kenyataan Dato’ IAB sebaliknya menyetujui saranan Dato’ IAB itu. Bagi Dato’ IAB, empowerment tidak mungkin berlaku jika seseorang itu tidak dibina upayanya melalui pembelajaran, pengalaman, kursus atau latihan yang berkaitan dengan tugasan berkenaan terutama dalam bidang kepimpinan dan pengurusan pendidikan.

Temu Janji dengan En. Shazryl dari Kedutaan Malaysia di HCMC

Petang selepas sesi hari pertama tamat sekitar empat setengah petang, Dato’ IAB mengajak saya dan Dr Le Phuoc Minh, Timbalan Rektor di National Institute of Education Management (NIEM), Ministry of Education and Training, Hanoi Vietnam, mengikutinya minum petang bersama En Shazryl seorang pegawai muda tapi banyak pengalaman darii Kedutaan Malaysia di HCMC. Kami dibawa oleh pemandu kereta kedutaan ke sebuah restoran yang sesuai dikunjungi oleh orang kedutaan.

Sambil minum, selama hampir dua jam kami berbual, bercerita dan berbincang pelbagai perkara terutama peluang kerjasama antara Malaysia dan Vietnam. Baru saya faham mengapa Dato’ IAB membawa Dr Minh bersama kerana beliau pernah belajar di UIAM untuk ijazah Sarjana selama dua tahun. Dato’ IAB mahu membawa lebih ramai pelajar Vietnam ke Malaysia terutama ke IPTS melalui kedutaan dan Dr Minh. Beliau juga mahu lebih banyak hubungan kerjasama antara NIEM dengan INTI University dan IAB.

Dato’ IAB juga mencadangkan lebih banyak pemimpin pendidikan dari Vietnam dilatih oleh IAB di masa hadapan, lebih-lebih lagi kita telah pernah membawa sekumpulan pemimpin Vietnam ke IAB melalui MTCP akhir tahun lepas. Saya sempat bercakap melalui telefon dengan seorang daripada mereka yang berada di Hanoi apabila Dr Minh menghubunginya.

Daripada perbualan sambil minum petang itu juga saya mendapat maklumat tentang pelaburan luar yang sebanyak lebih 600,000 seperti dilapor Mr Tu Trung dalam pembentangannya pagi hari itu. Malaysia yang mempunyai sejumlah angka yang agak besar pelaburan di Vietnam, mengikut En Shazryl masih banyak peluang yang boleh direbut berbanding Singapura. Singapura memang banyak melabur dalam pelbagai bidang perniagaan, hartanah, ekonomi, sosial dan pendidikan di Vietnam. Sekali lagi saya mengenali Dato’ IAB yang sebelum itu saya sangka seorang yang banyak bercakap tentang teori dan falsafah   rupa-rupanya dia seorang yang practical phylosopher. Beliau bukan sahaja bercakap malah mencatat dan merumus semua perkara yang dibincang dan dipersetujui.

Berjalan-jalan Di Bandaraya HCMC 

Selepas balik daripada minum petang bersama En Shazryl, saya mengajak Dato’ IAB berjalan-jalan sekitar hotel yang terletak di District 1 Bandaraya HCMC. Bermakna kami berjalan betul-betul di pusat bandaraya nadi denyut pergerakan HCMC. Tujuan saya mengajaknya berjalan bukan sangat nak shopping atau melihat (sight seeing) HCMC tetapi nak menyambung perbualan tak formal semasa di KLIA dan mengenali lebih mendalam Dato’ IAB sesuai dengan saranan ’jika anda hendak mengenali seseorang ajaklah dia berjalan, makan dan tidur bersama’. Oleh kerana yang ketiga tak mungkin dapat dilakukan, dapat dua daripadanya pun cukuplah.  Tanpa rasa keberatan beliau menerima.

Selama dua petang berturut-turut saya berpeluang berjalan (strolling) di jalan dan lorong yang banyak kedai dan pelbagai bangunan di sekitar hotel kami menginap. Daripada pengalaman berjalan bersama itu saya mengenali lebih mendalam Dato’ IAB yang bukan sahaja hebat dalam pendidikan tetapi juga mempunyai minat mendalam dalam seni. Sampai di satu kedai menjual hasil kraf tangan model kapal yang diperbuat daripada pelbagai jenis kayu, beliau begitu asyik menikmati keindahan hasil kerja tangan yang begitu halus dan rumit. Beliau berhajat untuk membelinya sambil menyarankan kepada saya untuk membelinya kerana murah. Saya yang pada mulanya tidak berapa minat untuk membeli walaupun suka dengan keindahan buatan tangan itu, turut membeli tetapi lebih kecil berbanding kapal yang dibeli Dato’ IAB.

Di satu kedai kecil menjual pakaian dan pelbagai barangan fabric, seorang penjual perempuan yang boleh dianggap kanak-kanak berumur sekitar 15 tahun menjadikan Dato’ dan saya mengambil masa lama duduk di kedainya. Sememangnya banyak juga barang yang kami beli daipada kedai kecil kepunyaan anak perempuan bernama May itu. Saya percaya bukan kerana barang yang dijual May yang menarik perhatian Dato’ IAB tetapi keupayaan May berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan keyakinan tinggi menyebabkan Dato’ mengambil masa lama di kedai May. Supaya lebih bersahaja, pada pengamatan saya Dato’ mengajar May memperbaiki bahasa Inggerisnya dengan bertawar menawar, bersoal jawab dan bergurau senda. Saya amat yakin, dalam masa lebih satu jam May pada petang itu bukan sahaja bertuah kerana menerima banyak wang hasil jualannya malah melalui pembelajaran bermakna daripada dua orang guru yang mengajar sambil membeli. Keyakinan May kepada kami juga amat tinggi apabila dia meninggalkan kami untuk menukar duit yang besar daripada saya. Saya yakin May mempercayai kami untuk berada di kedainya kerana kami guru. Sebelum meninggalkan May, seperti biasa Dato’ IAB menasihati May supaya belajar dengan lebih rajin lagi.

Setelah penat berjalan, saya mengajaknya makan kerana kebetulan di sekitar masjid tidak jauh daripada hotel kami menginap terdapat banyak restoran halal. Restoran Malaysia pun ada. Hati saya berkata inilah peluang saya makan bersama Dato’ IAB dan telah menetapkan hajat untuk belanja dia makan. Saya memintanya memilih restoran mana untuk makan tetapi sebaliknya dia yang bersungguh-sungguh meminta saya yang memilih. Oleh kerana saya yang mengajak dan berhajat untuk membayar, saya pilih restoran yang paling istimewa daripada yang lain-lain iaitu restoran India Muslim. Sekali lagi apabila hendak memilih makanan dia meminta saya yang memilih untuk makan dua orang berkongsi. Saya pilih yang agak mahal kerana saya yang akan bayar. Sambil makan, banyak lagilah cerita yang saya peroleh daripadanya.

Selesai makan sementara menunggu buah yang saya pesan sebagai desert, saya basuh tangan dan buang air di bilik air yang kebetulan di tingkat atas restoran. Apabila balik ke meja makan, saya dapati beliau sedang berurusan dengan pelayan restoran untuk membayar makanan yang saya pesan. Puas saya merayu Dato’ untuk tidak membayar dan hampir memaksa pelayan restoran untuk memulangkan duit yang diberi oleh Dato’ kepadanya, dengan lemah lembut pula Dato’ memujuk saya untuk menerima belanja makan daripadanya. Di situlah bukti kalahnya saya dalam apa bidang sekalipun dengan Dato’ IAB. Memang terasa malu kerana pada mulanya saya menyangka dan berharap untuk dapat penghormatan belanja Dato’ IAB makan dengan memilih restoran yang baik dan makanan yang baik, sebaliknya saya pula yang kena belanja makan.

Balik daripada makan malam dan berjalan-jalan, di hadapan hotel tempat kami menginap terdapat seorang remaja lelaki berumur sekitar 16 tahun menjual permainan kanak-kanak berupa objek terbang dan mengeluarkan cahaya. Remaja itu juga telah menarik perhatian Dato’ IAB kerana walaupun tidak berapa baik bahasa Inggerisnya, keyakinannya menuturkan bahasa itu kepada pelancong yang sememangnya banyak lalu lalang amat mengagumkan. Sekali lagi saya lebih mengagumi Dato’ IAB daripada remaja itu apabila dia berhenti dan melayan remaja itu berbual dalam bahasa Inggeris. Saya tidak dapat mengikuti perbualan mereka berdua kerana telah berada agak jauh ke hadapan dengan niat untuk terus naik ke bilik hotel namun untuk menghormati Dato’ saya tunggu sehingga perbualannya selesai. Dato’ menjelaskan kepada saya selepas itu bahawa remaja itu amat gigih mempelajari bahasa Inggeris dengan mengikuti kelas bahasa Inggeris yang banyak di HCMC. Dato’ memberi tahu saya dia sempat menasihati remaja itu untuk belajar bersungguh-sungguh supaya suatu masa nanti dapat masuk universiti dan menjadi orang yang berjaya. Jelas terpancar pada diri Dato’ sifat seorang guru yang tidak jemu mengajar, mendidik, memotivasi dan membangun potensi sesiapa sahaja tanpa batasan usia, sosial, tempat dan masa.

Melawat Medan Perang Terowong Cu Chi

Sehari selepas ALR Dato’ dan saya tidak terus balik ke Malaysia. Saya sarankan kepada Dato’ untuk melawat Cu Chi Tunnel iaitu medan perang gerela komunis Vietcong melawan kuasa besar Amerika Syarikat. Saranan saya kepada Dato’ setelah mendengar cerita tentang Cu Chi Tunnel daripada isteri saya yang telah melawatnya beberapa tahun    terlebih dahulu. Tanpa ragu Dato’ menerima saranan saya dan meminta saya membuat tempahan awal melalui hotel. Setelah semua urusan saya lakukan, keesokan harinya tepat pukul lapan pagi kami menaiki van yang memuatkan sembilan orang pelancong termasuk kami berdua. Pelancong lain daripada Australia, New Zealand, Hungary dan Thailand. Pemandu pelancong kami seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Thunder (sebenarnya Than Du Er). Bahasa Inggerisnya agak baik tetapi keyakinan dan semangat kebangsaannya jauh lebih baik lagi dan itulah yang menarik perhatian kami.

Cu Chi Tunnel terletak 85 km ke utara HCMC. Ia menjadi medan perang antara Vietcong yang sangat taat kepada General Ho Chi Minh daripada Vienam Utara. Setelah Saigon (badar HCMC sekarang) ditawan dan diduduki oleh Amerika, kawasan sekitar Cu Chi menjadi benteng perang gerela Vietcong melawan dan merebut semula Saigon daripada Amerika. Menurut Dato’ IAB, perang Vietnam melawan Amerika bukanlah perang yang kebiasaannya bertujuan untuk merebut tanah jajahan seperti dunia atau perang untuk menguasai ekonomi seperti Perang Teluk tetapi perang dingin (cold war) untuk memenagi pengaruh antara faham Komunisme dan Sekularisme atau Demokrasi yang bermula dengan perang saudara antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan yang sama keadaannya dengan perang antara Korea Utara dan Korea Selatan.

Menurut Dato’ IAB, Tuhan itu adil apabila dalam kes Korea, pihak selatan yang didalangi Amerika ’menang’ (walaupun hakikatnya perang tamat tanpa keputusan) tetapi dalam kes Vietnam, pihak utara yang dijuarai faham Komunis Rusia menang. Oleh itu berlakulah perimbangan antara faham sosialisme/komunisme dan sekularisme/demokratisme di Asia Timur yang menyebabkan Amerika menumpukan perhatiannya kepada Asia Tengah untuk menguji dan menjual senjata dan penguasaan ekonomi terutama perniagaan minyak.

Kekejaman Amerika dan ketabahan orang Vietnam jelas berjaya ditunjukkan di Cu Chi Tunnel yang asalnya medan perang tetapi sekarang dibangun oleh kerajaan sebagai tempat pelancongan yang dikunjungi puluhan ribu pelancong sehari. Sesuai dengan namanya, terowong sepanjang lebih 200 km yang dibina oleh komunis Viecong menjadi markas dan tempat persembunyian dalam peperangan. Thunder, dengan semangat tinggi tetapi penuh diplomasi amat berjaya menerangkan kepada kami sepanjang lawatan di Cu Chi Tunnel. Dato’ IAB kerana bacaannya yang banyak menjadi pemudahcara kepada saya untuk memahami penerangan Thunder.

Selain daripada Thunder, banyak yang saya pelajari tentang Vietnam dan erti kehidupan daripada Dato’ IAB. Sememangnya puas saya berbicara dengan Dato’ IAB sepanjang perjalanan pergi dan balik daripada HCMC ke Cu Chi Tunnel termasuk sepanjang lawatan di Cu Chi Tunnel yang memakan masa tepat enam jam. Tepat pukul dua petang sesampainya kami balik ke hotel tempat kami menginap, kenderaan yang membawa saya ke lapangan terbang telah sedia menunggu. Saya tinggalkan Dato’ IAB yang hanya akan balik keesokan harinya kerana ada hal lain di HCMC dengan perasaan bercampur-campur antara puas, seronok dan hiba. Puas kerana banyak yang telah saya pelajari daripadanya, seronok kerana pengalaman yang sangat berharga bermusafir di negara orang bersama Dato’ dan hiba kerana terpaksa meninggalkannya. Terima kasih Dato’, terima kasih cikgu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s