Menongkah Gelombang Pendidikan karya Omar Mohd Hashim

Sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2013 buku terbaru karya Tan Sri Omar Mohd Hashim berjudul Menongkah Gelombang Pendidikan dilancarkan. Atas perkenalan rapat antaranya dengan saya, beliau telah memberi saya senaskah buku itu sebagai bacaan.
Sememangnya sejak awal lagi selepas saya menerima buku itu daripada tangannya sendiri di pejabatnya di Bangunan Persatuan Sejarah Malaysia saya berhasrat sangat untuk menulis dan membuat ulasan tentang buku itu. Namun hasrat itu saya tundakan untuk membacanya terlebih dahulu supaya ulasan saya lebih autentik.

Daripada perbualan saya dengannya di pejabatnya semasa saya menerima buku itu pada 10 Mei 2013 sambil membelek-belek buku itu di hadapannya sudah menjadikan saya amat kagum dengannya. Lebih-lebih lagi apabila saya membaca kata-kata autograf yang ditandatanganinya di dalam buku naskah pemberiannya kepada saya berbunyi “Untuk saudaraku Dr Jamil Adimin yang profesionalism dan ilmu pengukurannya aku kagumi. Diiringi dengan salam ikhlas”.

Kata-kata sedemikian di dalam buku hebat ditulis oleh seorang tokoh yang hebat bukan menyebabkan saya bangga atau sombong diri sebaliknya menyebabkan terasa kerdil berbanding pencapaian dan sumbangannya kepada negara terutama dalam bidang pendidikan. Siapalah saya hendak dibandingkan dengannya. Tetapi Tan Sri Omar Mohd Hashim yang saya kenal sejak 1984 ini sememangnya sangat tinggi budi pekertinya tidak akan tamak memberi pujian kepada sesiapa yang dikenalinya. Hal ini jelas terpancar daripada tulisannya di dalam buku itu.

Daripada ketebalan buku itu sebanyak 823 halaman, daripada gambar-gambar lama yang dihidangkan dalam buku itu yang dengan sendirinya menceritakan sejarah hidup Tokoh Kepimpinan Pendidikan ini yang sebati dengan perjalanan sejarah Malaysia terutama dalam bidang pendidikan dan daripada isi kandungan buku yang lebih berbentuk autobiografi ini tiada siapa dapat menyangkal kelayakannya sebagai Presiden Persatuan Sejarah Malaysia yang ulung.

Buku ini saya anggap sebagai buku sejarah tulen Pendidikan di Malaysia yang lengkap dengan fakta nama, peristiwa, tarikh, tempat, sebab dan akibat berlaku peristiwa yang disertai dengan ulasan dan gambar asal simpanannya sendiri. Beliau mampu menghasilkan buku ini bukan sahaja kerana beliau banyak membaca dan pengkaji bahan bacaan tetapi yang lebih utama dan tidak dimiliki orang lain ialah kelebihannya merekod dan menyimpan dokumen lama sejak kecil hingga sekarang. Beliau pernah menawarkan kepada saya untuk menyimpan bahan-bahan sejarah milik peribadinya di Lembaga Peperiksaan dengan syarat ada tempat menyimpan yang baik tetapi saya tidak sanggup takut hilang.

Buku yang Kata Pengantarnya ditulis oleh tokoh pendidikan Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron ini mengandungi 36 bab tidak termasuk Prolog bertajuk Nila-nilai Melayu dalam Pendidikan sebanyak 36 halaman. Dimulakan dengan sejarah kehidupan kedua ibu bapanya, sejarah latar kehidupannya membesar, bersekolah, menjadi mahasiswa dan bekerja, buku ini banyak memberi maklumat tentang sistem pendidikan di Malaysia terutama sistem peperiksaan kebangsaan apabila lapan daripada 36 bab buku ini menceritakan tentang pengalamannya di Ldmbaga Peperiksaan. Malahan dalam bab-bab yang juga beliau banyak mengaitkannya dengan pengalaman bekerja di Lembaga Peperiksaan.

Benar katanya semasa menghulurkan naskah pemberian buku itu kepada saya dan meminta saya memberi senaskah kepada Perpustakaan Lembaga Peperiksaan serta senaskah yang lain kepada Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Katanya sepertiga kandungan buku itu berkenaan Lembaga Peperiksaan sesuai dengan perkhidmatanya yang lama dengan Lembaga Peperiksaan.

Keseronokan saya membaca lapan bab (bab 19 hingga 26) tentang peperiksaan bukan kerana saya pernah bekerja di Lembaga Peperiksaan di bawah kepimpinannya. Saya masuk Lembaga  atau Syndicate pada bulan Julai 1984 sedangkan beliau keluar Lembaga bulan April tahun yang sama. Tetapi selama 27 tahun selepas itu saya berada di Lembaga dapat mengenalinya dan orang lain yang dikenali sama ada di dalam atau di luar negara.

Nama-nama besar seperti Hajah Badiah Abdul Manan (Datin), Haji Abdul Rahman Ali, Rapiah Abd Aziz (Datin), Haji Ali Ithnin (Allahyarham), Wahid Oswyn Pareira (Allahyarham), Termuzi Abdul Aziz, Abdul Aziz Rahman, Damis Yusof, K.V Thanenthiran, Khong Kah Yong dan Shanta Madhavan (sekadar menyebut bebera nama yang tertera di dalam buku itu) saya juga pernah bekerja dengan mereka. Saya amat mengenali mereka sebagaimana Tan Sri Omar mengenalinya.

Begitu juga dengan nama-nama besar dalam peperiksaan di peringkat antarabangsa seperti Henry Macintosh yang pernah dijemput Tan Sri ke Lembaga Peperiksaan, saya temui di kapal H.M.S Hamilton di London dalam Nasional Seminar on Item Bank semasa saya belajar PhD di University of Manchester. Penyertaan saya dalam seminar itu atas ihsan Prof Thomas Christie penyelia saya yang juga mengeali Tan Sri dalam International Association of Educational Assessment (IAEA) yang Tan Sri Omar Timbalan pernah menjadi Presidennya.

Dua kali penyertaan saya dalam persidangan IAEA dan membentang kertas kerja di Beijing (1994) dan di Hong Kong (2003) serta persidangan dan seminar lain di peringkat lain seperti Psychometric Association di Princeton University (2004), Australian Council of Educational Research (ACER) dan American Edcational Research Association (AERA) menyebabkan saya juga mengenali ramai tokoh yang dikenali Tan Sri Omar. Nama-nama berserta gambar yang tertera di dalam buku itu seperti Francis Ottobre dari Educational Testing Service (ETS), John Izard dari ACER kemudian ke RMIT Australia, Dr Yusuffu dari Kenya dan Henry Macintosh dari UK adalah tokoh-tokoh besar dalam peperikzaan kenalan Tan Sri dan kenalan saya juga.

Saya juga dapat merasai apa yang dirasai Tan Sri melalui tulisannya kerana saya juga  turut terlibat secara aktif mengendalikan peperiksaan selama 27 tahun di Lembaga Peperiksaan sebelum dipindahkan ke IAB selama dua tahun dari 2011 hingga 2013. Pengalaman Tan Sri berhubung dengan Cambridge dan ETS turut saya rasai kerana saya juga beberapa kali berulang-alik ke kedua-dua badan peperiksaan itu selain badan-badan periksaan lain seperti Victorian Curriculum and Assessment Athority (VCAA) Australia, Cito Netherlands, Al Azhar Assharif Mesir dan New Zealand Qualification Authority (NZQA). Agaknya, bagaimana selama 27 tahun saya berada di Lembaga Peperiksaan saya berpeluang melawat ke lebih 20 negara, begitulah juga Tan Sri.

Saya mengesyorkan rakan-rakan membaca buku Menongkah Gelombang Pendidikan ini kerana banyak yang dapat dipelajari daripadanya. Kita bukan sahaja akan fapat ilmu malahan semangat dan motivasi untuk bekerja dengan lebih kuat. Dan yang lebih penting lagi kita dibimbing untuk mencipta sejarah daripada sumbangan kita dalam pendidikan. Selamat membaca.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s