PBS Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Konsep & Panduan Pelaksanaan

Semalam, balik dari satu mesyuarat, saya mendapat senaskah buku baru di atas meja saya yang saya yakin dihantar oleh penulisnya sendiri yang juga sahabat karib saya Dr Zainuriyah Abdul Khatab. Buku PBS Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Konsep & Panduan Pelaksanaan (terbitan 2013) ditulis oleh seorang yang punya authority kerana beliau bukan sahaja telah lama mendambakan diri bertugas di Lembaga Peperiksaan Malaysia, malahan memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang Pengukuran dan Penilaian dari UKM dalam tahun 2009.

Buku comel setebal 118 muka surat bersaiz A5 diterbitkan oleh Pearson Malaysia Sdn Bhd berharga RM15.90 telah ada di pasaran. Saya difahamkan Kedai Buku Mu’min, Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur menjadi pengedarnya. Saya amat menggalakkan guru, pensyarah, pendidik, pengkaji, pelajar dan peminat bidang pentaksiran memiliki dan membaca buku ini.

Buku ini ditulis secara ilmiah dalam bahasa melayu dengan gaya bahasa dan persembahan yang menarik dan mudah difahami. Rupa kulit buku dan gaya penulisan Zainuriyah amat secocok dengan ketinggian ilmu, kecantikan paras wajah yang ayu dan keperibadiannya yang lemah lembut tetapi tegas. Pengalamannya bukan sahaja dalam bidang tugas yang berkaitan dengan pentaksiran pendidikan bahkan pembentangan kertas kerja dalam dan luar Negara. Bahasa Inggerisnya amat baik sekali. Beliau mewarisi ketokohan bapanya yang amat meminati buku apabila menjadikan kerjaya menjual buku di Toko Buku di pekan Teluk Intan sekitar 1960an sebelum meninggal dunia pada tahun 1969. Di sekitar tahun 60an, siapa yang tidak mengenali Pak Khatab penjual buku, kitab, songkok dan kopiah yang terkenal di Teluk Intan. Saya yang berasal daripada Sabak Bernam pun tahu tentangnya.  Hal ini melambangkan usaha dakwah dan pengembangan ilmu Islam yang diwarisi daripada saudara maranya di Tanah Minang, Sumatera dilanjutkan oleh anak perempuannya Zainuriyah.  

Buku ini memberi jawapan dan pencerahan kepada guru, pendidik dan masyarakat terutamanya tentang pelbagai isu yang melanda dunia pendidikan Malaysia apabila PBS mula diperkenalkan tahun 2011 di Tahun Satu sekolah rendah dan pada tahun 2012 di Tingkatan Satu sekolah menengah.Saya percaya buku ini ditulis berdasarkan ilmu dan pengalamannya bekerja di Lembaga Peperiksaan dan Kajian Sarjana serta Kedoktoran yang dilaluinya selama berbelas tahun. Pembaca bukan sahaja boleh memanfaatkan buku itu daripada segi pemahaman konsep, teori dan pelaksanaan PBS malahan mendapat jawapan kepada beberapa persoalan yang timbul tentang PBS dan cara melaksanakan.   

Advertisements

2 thoughts on “PBS Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Konsep & Panduan Pelaksanaan

  1. Wow, pujian ini amat tinggi sekali bagi saya untuk menerimanya. Banyak buku-buku Classroom Assessment ditulis oleh McMillan, Payne, Popham, Linn, Kibiszyn & Borich, Stiggins dan Banks dan semuanya dalam bahasa Inggeris. Saya merasakan kita perlu menulis ilmu-ilmu ini dengan Bahasa Kebangsaan untuk meningkatkan martabat Bahasa Melayu.

    Tuan-tuan dan puan-puan sebenarnya, pentaksiran berasaskan sekolah ada persamaan dengan pentaksiran kehidupan islam dalam kehidupan seharian-haria. Rahsia ini dikaji oleh pakar pentaksiran luar Negara dan mungkin juga dijadikan panduan untuk membina konsep autentik assessment. Perkembangan pentaksiran autentik mula dirasakan di negara-negara maju, khususnya di Amerika Syarikat sejak berlakunya perubahan pada falsafah, matlamat dan sistem persekolahan . Pentaksiran autentik ialah pentaksiran yang memerlukan pelajar mengaplikasi ilmu pengetahuan yang dipelajari dan aras pemikiran tinggi untuk melaksanakan suatu tugasan yang kompleks . Autentik juga bermaksud pentaksiran yang menggunakan instrumen selain dari menggunakan ‘paper-and-pencil test’. Instrumen ini diperkenalkan berasaskan teori pembelajaran moden iaitu konstructivisma, kurang berkesannya ujian aneka pilihan untuk mengukur aras pemikiran tinggi dan kehendak masyarakat atau ‘stakeholders’ untuk memberi tanggungjawab atau akauntabiliti pembelajaran kepada pihak sekolah. Walaupun konsep pentaksiran moden ini baru diperkenalkan di dalam dunia pembelajaran dan pentaksiran, konsep pentaksiran ini sudah diaplikasi oleh Allah s.w.t. untuk menguji hambanya sebelum hari penghakiman di alam akhirat. Banyak konsep dalam pentaksiran autentik yang mempunyai persamaan dengan konsep ujian hidup seorang Islam. Di antara konsep-konsep pentaksiran autentik yang mempunyai persamaan dengan konsep ujian hidup seorang Islam ialah standard prestasi, key performance indicator (KPI), skala, examplar, kesahan dan kebolehpercayaan, pentaksir, evidence, tugasan, pentaksiran formatif, pentaksiran sumatif, pentaksiran kendiri dan ralat. Tulisan saya ini membincangkan konsep-konsep pentaksiran autentik dalam kehidupan seorang Islam.

    Konsep berilmu, beriman dan beramal dalam Islam dan konstruktivisma

    Mula turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w. di gua Hiraq adalah dengan arahan membaca
    “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah Al-’Alaq:96:1-5)
    Dan ayat:

    “Dan dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, Kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!”

    (Surah Al-Baqarah:2:31)
    dan dari Muaz (Haron, 2000),

    “Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya itu kerana Allah, merupakan tanda taqwa kepada-Nya, mencarinya merupakan ibadat, mentelaahnya sebagai tasbih (mensucikan Tuhan), mengkajinya adalah jihad, mengajarnya kepada orang yang belum mengetahuinya merupakan sedekah, menyampaikannya kepada ahlinya adalah kebaikan.

    Manusia memerlukan ilmu kerana manusia itu lemah, Allah berkali-kali mengingatkan manusia akan kelemahan-kelemahan itu seperti ayat-ayat berikut. Firman Allah:

    “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah”.
    (Surah al-Nisa’:4:28)
    “Allah, dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, Kemudian dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, Kemudian dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan berubah. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan dialah yang Maha mengetahui lagi Maha Kuasa”.
    (Surah Al-Rum: 30:54)

    Bagaimankah kelemahan ini diatasi? Menurut Haron (2000) kelemahan itu dapat diatasi dengan ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran. Al-Quran mengandungi 6236 ayat yang memperincikan ibadat seperti solat, puasa, haji dan zakat, kekeluargaan, perkahwinan, penceraian, warisan, ekonomi seperti jual-beli, pinjam-meminjam, gadai hukum jenayah,hubungan Islam dengan bukan Islam, keadilan, hubungan orang kaya miskin dan kenegaraan. Al-Quran menerangkan dua prinsip atau ahkam untuk ditaati oleh manusia. Prinsip pertama mengenai lapangan ibadat dan prinsip kedua mengenai lapangan kebudayaan. Prinsip atau ahkam itulah yang disebut syari’at, iaitu jalan yang wajib ditempuh oleh manusia dalam menjalinkan hubungan dengan Allah, antara sesama manusia dan hubungan dengan alam. Syari’at mempunyai empat bidang iaitu ibadat (hukum agama), mu’amalat (hukum sosial), munakahat (hukum keluarga) dan jinayat (hukum kesalahan jenayah).

    Selain dari Al-Quran, hadith juga boleh dijadikan panduan untuk menjalani hidup (Haron, 2000). Sebagai umat Islam yang sebenar kita wajib percaya kepada As-Sunnah dan wajib menerima dengan penuh yakin bahawa al-Sunnah itu adalah sumber undang-undang yang kedua, jika Nabi Muhammad s.a.w tidak dipercayai sebagai seorang Rasul, maka bagaimana pula al-Quran itu boleh dipercayai benarnya dari Allah, sedangkan ia adalah melalui Muhammad (Haron,1988). Tidak semua dalil atau nas boleh dirujuk pada al-Quran kerana dalam al-Quran yang ada hanya asasnya, tetapi huraiannya ada pada hadith (Zahazan, 2007). Sunnah Hadith adalah pentafsiran, penjelasan, ulasan, huraian atau perincian dan teladan bagaimana mewujudkan al-Quran dalam kehidupan. Hadith pula merupakan rujukan ilmu yang lebih terperinci menyatakan hubungan antara manusia dan manusia, di samping hubungan manusia dengan Allah. Agama Allah mengandungi dua asas yang umum dan menyeluruh: ‘Aqidah dan syari’at atau keimanan dan ketaatan, atau ilmu dan amal. Kedua-duanya bersumber dari Allah (Haron, 2000). Sunnah adalah laku perbuatan Nabi dalam hubungannya dengan Allah dan dengan manusia, manusia sebagai anggota-anggota keluarganya, sahabat-sahabatnya, orang yang dipimpinnya, jirannya, musuhnya, orang beriman, hamba sahaya, orang baik, orang jahil dan sebagainya. Konsep ‘Begin with the End In Mind’ yang diperkenalkan oleh Wiggins (1989) sudah diwahyukan oleh Allah di mana Islam menunaikan dua tuntutan semulajadi dalam kehidupannya di dunia ini sebagai persedíaan diakhirat. Manusia perlu beriman dan beramal. Ini menunjukkan Islam juga mengamalkan konsep ‘Begin with the End In Mind’ dan yang mempunyai wawasan jauh bukan hanya mencapai matlamat didunia malah sehingga alam akhirat.

    Iman pula bermakna aman atau membentuk keadaan aman dan tenteram. Dalam ilmu tauhid, iman membawa makna membenarkan dengan hati dan berikrar dengan lisan dan beramal dengan ajaran-ajaran Allah s.w.t. yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Untuk memenuhi pengertian beriman kepada Islam itu mestilah ada ketiga-tiga perkara iaitu ilmu, iman dan amal, serta mengakui dalam hati bahawa Islam itu benar, dan menyatakan dengan lidahnya bahawa Islam itu agama yang benar serta mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung dalam agama Islam itu. Kalau ketiga-tiga perkara ini tidak ada, maka tidaklah sempurna keimanan seseorang itu terhadap agama Islam. Ini merupakan standard prestasi yang ditetapkan Allah s.w.t. terhadap hambanya.

    Ilmu yang disampaikan kepada umat Islam adalah merupakan kurikulum hidup. Di dalam konsep konstruktivisma pelajar adalah merupakan orang yang aktif berfikir. Berfikir tidak berlaku secara linear, sebaliknya pelajar akan menggunakan pengetahuan yang diajar untuk menghubungkait antara satu sama lain dan membentuk satu hasil yang baru. Prinsip pentaksiran juga berpendapat bahawa pelajar hanya adil diuji setelah proses pembelajaran dijalankan. Ini dikenali sebagai kesahan. Sesuatu ujian itu sah hanya setelah pelajar berpeluang mempelajarinya. Ini juga telah diamalkan dalam Islam, Allah hanya akan menguji hambanya setelah wahyu diturunkan. Ujian Allah akan sampai setelah ilmu diturunkan. Bahagian yang seterusnya membincangkan konsep standard prestasi.

    Standard Prestasi

    Standard prestasi ialah himpunan hasil-hasil pembelajaran yang dinyatakan di dalam satu pernyataan dalam bentuk kualitatif. Standard prestasi ialah piawai hasil pembelajaran yang dikuasai oleh pelajar setelah melalui pelbagai ujian. Standard atau piawai ini dibina berpandukan tiga domain pendidikan utama iaitu kognitif, afektif dan psikomotor. Apabila Allah s.w.t mencipta manusia, maka Maha Pencipta ini menyediakan standard prestasi dari tiga domain yang dinyatakan dalam standard, amal, iman dan ilmu. Firman Allah:
    “Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan
    orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”. (Surah al- Mujadalah: 58:11)

    Iman yang menjadi penggerak atau dasar bagi segala kemakmuran dan kebajikan dalam sejarah tamadun manusia. Imam al-Ghazali menghuraikan makna iman dengan katanya:

    “Pengakuan dengan lidah membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun”.

    Standard prestasi untuk konstruk keimanan tidak berdiri sendiri di dalam Islam. Maka untuk menguatkan keimanan, Allah s.w.t. memperkenalkan rukun Islam iaitu ilmu yang menjadi asas yang membentuk iman. Rukun-rukun ini ialah asas yang dibina di atas segala kepercayaan manusia yang beragama Islam. Kepercayaan manusia Muslim mengenai alam dan apa yang terkandung dalamnya, hendaklah tidak terkeluar daripada landasan rukun ini. Manusia hendaklah memberikan pandangan mengenai hidup berasaskan rukun ini. Rukun iman mempunyai enam perkara iaitu: Percaya kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari kiamat dan penentuan baik dan buruk. Pengenalan kepada rukun ini memandu umat Islam untuk beramal. Segala amalan adalah berdasarkan rukun ini. Rukun iman berganding dengan lima rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadat, sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji. Bahagian yang seterusnya akan membincangkan ujian Allah keatas hambanya dalam bentuk pentaksiran autentik.

    Ujian Allah dan Pentaksiran Autentik

    Pentaksiran autentik dianggap sebagai usaha terbaik ke arah meningkatkan kualiti pembelajaran, pengajaran dan pendidikan. Instrumen pentaksiran ini boleh digunakan untuk tujuan penilaian formatif dan sumatif (Zainuriyah 2009). Pentaksiran ini juga mempunyai ciri-ciri seperti memerlukan pelajar mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan tugasan yang bermakna dan akan ditemuai dalam kehidupan seharian. Manakala tugasannya adalah kompleks dan memerlukan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk menyelesaikannya,respon yang diberikan perlu lengkap dan berkualiti tinggi kalau tujuannya ialah untuk pentaksiran sumatif, bersifat telus iaitu mempunyai kriteria pemarkahan yang jelas dan menyatakan kemahiran yang diuji. Ciri-ciri ini mempunyai persamaan dengan kehidupan manusia di diunia ini. Kehidupan insan atau manusia di dunia ini adalah untuk menerima dan menghadapi ujian Allah. Ujian Allah bersifat autentik dan memerlukan kesabaran dan ilmu untuk menyelesaikanya. Kriteria untuk menuju kemenangan hidup juga diceritakan di dalam Al-Quran. Ujian hidup juga bersifat formatif, di mana manusia diberi peluang untuk bertaubat bagi mensucikan diri apabila melakukan sesuatu dosa. Dosa adalah merupakan ralat dalam hidup yang memberi kesan kepada prestasi kehidupan manusia .Firman Allah dalam Al-
    “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya, dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula”.
    (Surah al-Zalzalah:99: 7-8)

    Segala amalan hidup dicatat oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atif. Ujian yang diberikan Allah bersifat kompleks dan memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran untuk mengharunginya. Akhir sekali walaupun Allah mendatangkan ujian dalam hidup ini, Allah memberikan scaffolding untuk membantu manusia mengharungi ujian hidup.

    Hidup dengan segala kandungan, suasana, corak dan warnanya adalah ujian Allah. Inilah asas falsafah hidup manusia yang hakiki seperti yang dikehendaki oleh Maha pencipta-Nya (Haron 2002). Terdapat banyak ayat di dalam Al-Quran yang menunjukkan bahawa hidup di dunia ini adalah merupakan ujian . Ayat berikut menerangkannya :

    1.Segala yang di atas muka bumi adalah hiasan indah untuk menjadi ujian
    kepada manusia ini dapat ditafsir dari ayat:
    “Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; Kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
    (Surah Al-Hadid:57:20)

    2.Pangkat dan kedudukan adalah ujian kepada manusia

      
    “Nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya Allah Telah mengangkat Thalut menjadi rajamu.” mereka menjawab: “Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?” Nabi (mereka) berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.” Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.”
    (Surah al-Baqarah:2:247)

    3.Kesenangan ,kekayaan, kesusahan , kemiskinan, penyakit, musuh, adalah
    ujian kepada manusia. Ayat-ayat berikut menerangkanya.
    “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia”.
    (Surah al-Kahfi:18:46)

    Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
    (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya)kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.’
    (Surah al-Baqarah:2:155)
    Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal
    belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku
    kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa
    kepapaan(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta
    digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh)
    (Surah al-Baqarah:2: 214)

    “Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia berada dalam susah payah”.
    (Surah al-Balad 90:4)

    “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

    (Surah Al-’Ankabut: 29:2-3)

    Semua bentuk ujian ini mempunyai persamaan dengan instrumen pentaksiran autentik seperti menyelesaikan masalah, menjalankan projek dan ujukaji.

    Teori konstruktivisma menyediakan scafolding atau bantuan untuk membimbing pelajar mencapai sesuatu matlamat, begitu juga Allah s.w.t . Ada beberepa ayat di dalam Al Quran yang menerangkan perkara ini , seperti, firmannya:

    “Sesungguhnya Pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan Kitab (al-Quran), dan Dialah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan.’
    (Surah al-Araf: 7:196)

    “Dan Sesungguhnya Telah kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, Maka Adakah orang yang mengambil pelajaran?
    (surah al-Qamar 54:17)

    “Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
    (Surah al-’Imran: 3:134)

    “Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan Itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.”
    (Surah ali-’Imran:3:136)

    Berita yang yang baik dari Allah s.w.t. ini merupakan scafolding untuk manusia mengharungi ujian hidup .

    Menurut Haron (2002) bagi setiap peristiwa yang berlaku dalam hidup ini ada hikmat dan tujuannya. Oleh itu adalah diwajibkan kita percaya kepada Qada’ dan Qadar. Dalam kehidupan manusia kita temui pasang surut , dan beriman kepada takdir mengajarkan kita supaya jangan sombong apabila mendapat kesenangan . Sebaliknya pula jangan berputus asa kalau bertemu kegagalan. Ujian tersebut akan memberikan nilai terhadap prestasi keimanan kita dan ujian itulah yang akan membantu kita untuk meneruskan hidup di dunia ini. Bahagian yang seterusnya membincangkan petunjuk kriteria yang merupakan komponen pentaksiran autentik. Islam juga menyenaraikan kriteria yang boleh dijadikan scafolding untuk mencapai kecemerlangan dalam menghadapi ujian Allah s.w.t.

    Petunjuk Kriteria atau Key Performance Indicator (KPI) Sebagai Skala Pengukuran

    Skala adalah merupakan alat yang digunakan untuk tujuan mengukur melalui angka atau nombor yang mewakili maklumat ringkas (Abdul Rashid & Siti Rahaya,2001).Di dalam ilmu pentaksiran terdapat empat bentuk skala pengukuran iaitu skala nominal, skala ordinal, skala sela dan skala nisbah (Margeret, 2009; Zainuriyah, 2009). Salah satu komponen pentaksiran autentik ialah rubrik penskoran. Rubrik penskoran ialah skala untuk mengukur tahap kejayaan seseorang pelajar dalam melaksana sesuatu tugasan. Skala ini mengandungi kriteria penskoran atau ’Key Performance Indicator’ seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1. Rubrik penskoran ini boleh dibina dalam pelbagai bentuk iaitu kauntitatif, kualitatif, kualitatif dan kuantitatif (McMillan, 2004, Nitko, 2004, Stigggins, 2002). Terdapat dua bentuk rubrik iaitu holistik dan analitik (Zainuriyah, 2008). Kedua-duanya mempunyai fungsi yang berlainan. Oleh kerana konsep pentaksiran autentik bersifat telus, rubrik penskoran diberikan kepada pelajar sebelum sesuatu ujian dijalankan. Konsep pentaksiran telus ini berasaskan matlamat ’Begin with the End In Mind’ atau ’Working backwards’ (Wiggins 1989, Arter and McTighe,2001 ). Prinsip ini juga telah diperkenalkan oleh agama Islam yang telus. Apabila agama Islam diturunkan, Allah s.w.t. menerangkan kriteria yang boleh memandu manusia untuk menuju kecemerlangan hidup kerana Allah s.w.t. tahu kelemahan hambanya yang sentiasa memerlukan panduan. Istilah al-Falah atau kemenangan digunakan untuk menerangkan kriteria ini. Kriteria ini melambangkan kemenangan yang menyeluruh. Al-Quran menjelaskan secara terperinci kriteria atau KPI yang membawa kemenangan seperti:

    1. Orang yang membersihkan jiwa
        
    “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman)”
    Surah al-A’ala:87:14

    2. Orang-orang yang menyeru kepada yang baik dan menegah dari perkara yang jahat.
    “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar merekalah orang-orang yang beruntung”.

    Surah Ali ‘Imran: 3:104)

    3. Orang yang beriman dengan Rasulullah dan yang memuliakannyaNya

    ”Orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma’ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya. memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka Itulah orang-orang yang beruntung.”

    (Surah Al-A’raf: 7:157)

    4. Orang-orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya
    ”Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama Dia, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. dan mereka Itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
    (Surah al-Taubah, 9:88)
    5. Orang beriman yang taat dan patuh
    ”Bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”.

    (Surah al-Nur: 24:51)
    6. Membelanjakan sebahagian dari rezekinya kepada kaum keluarga (yang mempunyai hak), orang yang miskin dan orang-orang musafir yang perlukan bantuan
    ”Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan. Itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang mencari keridhaan Allah; dan mereka Itulah orang-orang beruntung.”
    (Surah al-Rum, 30:38)

    7. Orang mukmin yang khusyuk sembahyangnya, Orang yang menjauhkan diri dari perkara-perkara yang sia-sia, Orang yang menunaikan zakat, Orang memelihara amanat dan janjinya dan Orang yang menjaga ibadah sembahyangnya.
           (Surah al-Mukminun: 23:1-11)

    8. Orang yang bertaqwa.
         ”Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah wahai orang- orang berakal, agar kamu berjaya.”
    (Surah al-Maidah, 5:100)

    9. Orang yang taubat.
    “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
    (surah al-Nur, 24:31)

    10. Orang yang mengingati Allah
    ”Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.”
    (surah al-Araf, 7:69)

    11. Orang yang sujud dan rukuk yang mengabdi kepada Tuhan, dan membuat kebaikan.
    ”Hai orang-orang yang beriman, ruku’lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.”
    (surah al-Haj, 22:77)

    Manakala kriteria orang yang tidak akan mencapai kemenangan ialah:
    1. Orang yang zalim
    ”Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang membuat-buat suatu kedustaan terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang aniaya itu tidak mendapat keberuntungan.”
    (Surah al-An’am:6:21)
    2. Orang yang bakhil
    ”Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, Maka beritahukanlah kepada mereka, (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih.”
    (Surah al-Taubah, 9:34)
    3. Orang yang sombong.
    4.
    Firman Allah:
    ”Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong”,
    (surah al-Isra’:17:37)

    Al-Quran mengandungi ilmu tauhid, aqidah, akhlak,ibadah dan syariat. Kitab suci Al-Quran ialah kitab Allah untuk memberi petunjuk dan panduan kepada manusia tentang kehidupan dari segi agama dan dunia supaya manusia dapat hidup dengan aman damai dan bahagia dalam alam seterusnya di akhirat. Al-Quran dengan jelas sekali mengakui bahawa salah satu atau asas terpenting untuk melaksanakan tugas khalifah ialah ilmu. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu tentang alam benda demi untuk meguasai alam benda bagi dipergunakan untuk melaksanakan tugas khalifah dan untuk melaksanakan konsep pangabdian dan penyerahan (Haron ,2002). Manusia yang ingin mencapai kecemerlangan dalam dunia dan akhirat perlu merujuk Al-Quran. Petunjuk prestasi untuk mencapai matlamat tersebut terkandung di dalam kitab Allah ini. Diantara petunjuk presatsi untuk mencapai kecemerlangan sebagai hamba Allah ialah mengamalkan amalan baik setelah mempunyai keimanan yang teguh. Kedua konstuk ini iaitu beriman dan beramal saling bergantung diantara satu sama lain. Diantara ciri-ciri kecemerlangan dan boleh dijadikan petunjuk kriteria khalifah Allah yang cemerlang ialah merendah diri, zuhud, suka bersedekah, membantu orang dalam kesusahan, sederhana dalam tingkah laku, jujur, sabar dan amanah . Di antara kriteria hamba Allah yang lemah ialah sombong, bongkak, mementingkan diri sendiri, bakhil kedekut, ria, pemarah dan tidak amanah.

    Begitulah keindahan dan keagungan Islam, semua rahsia alam ini ada keseimbangannya. Manusia perlu menyedari akan hakikat ini. Kertas ini adalah sebahagian kertas yang telah saya bentangkan dengan Uztaz Rushdi Mohd pegawai Lembaga Peperiksaan dalam seminar pentaksiran USIM. Terima kasih Dr Jamil diatas segala sokongan, moga-moga pendidikan ini akan cemerlang.

    Zainuriyah Abd. Khatab

  2. Pingback: Bukunya kucari | katakata

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s