Kepimpinan dan Pembelajaran

Dalam tahun 2012 semasa di Institut Aminudin Baki (IAB), saya telah menulis dan membentang Kertas Kerja untuk Seminar Kebangsaan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan ke-19. Tajuk kertas kerja saya untuk seminar yang bertemakan Kepimpinan Untuk Pembelajaran itu ialah Kepimpinan Untuk Pembelajaran: Belajar Memimpin Diri untuk Membawa Perubahan. Kertas kerja ini walaupun ditulis untuk peserta seminar yang kebanyakannya pemimpin pendidikan di sekolah, namun boleh dikongsikan kepada ramai. Untuk kali ini saya ambil sebahagian artikel dalam kertas kerja itu dengan tajuk Kepimpinan dan Pembelajaran.

Pemimpin ialah orang yang membawa perubahan kepada organisasi yang dipimpinnya. Namun untuk membawa perubahan kepada organsasi yang dipimpinnya, bukan sahaja individu-individu dalam organisasi itu perlu diajak untuk belajar berubah, pemimpin itu sendiri perlu belajar memimpin diri untuk membawa perubahan. Itulah pada pandangan penulis antara pengertian kepada apa yang dikatakan kepimpinan untuk pembelajaran (leadership for learning).

Persoalannya, dalam konteks institusi pendidikan sebagai organisasi yang hendak dipimpin untuk perubahan, bukan sahaja apa, mengapa dan bagaimana perubahan perlu dibuat sukar untuk ditangani, malahan individu-individu yang menjadi anggota organisasi itu juga rumit untuk difahami. Tidak kurang juga sukarnya untuk memahami kekuatan dan kelemahan diri sendiri apatah lagi memahamkan orang lain memahami dirinya sendiri sebelum diri memimpin dan orang lain itu dipimpin untuk membawa perubahan kepada organisasi.

Konsep, teori, prinsip dan amalan kepimpinan untuk pembelajaran yang difokuskan kepada belajar memimpin diri sendiri semua orang yang menganggotai organisasi dikupas di dalam kertas kerja ini berdasarkan dapatan kajian beberapa pengkaji. Selain merujuk literatur dan dapatan kajian beberapa pengkaji, kertas kerja ini ditulis berdasarkan refleksi kendiri daripada pengalaman memimpin organisasi pendidikan terutama di Institut Aminudin Baki, sebuah institusi latihan dalam bidang Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan yang tersohor di Malaysia.
Kepimpinan

Kebanyakan penulis dan penyelidik mendefinisikan kepimpinan sebagai perlakuan mempengaruhi orang lain untuk mencapai matlamat atau tujuan akhir sesuatu pekerjaan (Bush & Middlewood, 2005; Baldoni, 2012). Bush dan Middlewood menggariskan tiga dimensi kepimpinan yang dijadikan sebagai asas untuk memahami maksud kepimpinan dalam apa bidang pekerjaan sekalipun.

1. Kepimpinan melibatkan proses mempengaruhi oleh seorang atau sekumpulan orang ke atas orang atau kumpulan lain untuk mengatur aktiviti dan peranan orang-orang dalam sesuatu organisasi.
2. Kepimpinan menjadi sebahagian daripada nilai kehidupan personal dan profesional seseorang individu di mana sahaja dia berperanan.
3. Kepimpiinan melibatkan proses membangun dan mengartikulasi visi organisasi.

Kepimpinan berbeza daripada pengurusan dilihat dari sudut apa yang dilakukan oleh pemimpin dan pengurus. Pemimpin bertindak membawa perubahan kepada organisasi manakala pengurus mengekalkan kecekapan (efficiency) dan keberkesanan (effectiveness) susunan organisasi (Cuban, 1988). Walau bagaimanapun, pengetua dan guru besar sekolah hendaklah menjadikan aspek kepimpinan dan pengurusan sekolah sebagai dua perkara yang perlu diambil perhatian dan ilmu mengenainya dikuasai melalui apa yang digelar oleh (Amin, 2011) sebagai pembelajaran aktif dan pengalaman praktikal.

Pembelajaran

Peribahasa Inggeris ’to teach is to learn twice’ memberi gambaran bahawa pendidik atau guru yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar perlu terus belajar walaupun telah memperoleh sijil perguruan jika mahu melihat pengajarannya membawa perubahan kepada pembelajaran murid, cekap dan berkesan. Bagi orang yang belajar, belajar bagaimana hendak belajar (Bush dan Middlewood, 2005) adalah penting untuk memastikan matlamat pembelajaran tercapai. Bagi seorang guru yang tugasnya mengajar, belajar bagaimana menyampaikan pengajaran dalam proses pengajaran-pembelajaran murid adalah mustahak dan kritikal jika hendak melihat pekerjaannya menghasilkan outcome yang optimum. Bush dan Middlewood (2005) melaporkan kebanyakan literatur dan kajian mengesahkan pandangan bahawa kebanyakan guru berkesan adalah pelajar (learner) yang baik dan mereka belajar secara berterusan.

Banyak definisi diberi oleh pakar dan pengkaji dalam bidang pendidikan untuk pembelajaran. Knowles, Holton dan Swanson (2011) memetik Pittenger dan Gooding (1971) untuk definisi pembelajaran sebagai suatu proses mendapatkan perhubungan antara manusia dengan kumpulannya dan antara sesuatu perkara dengan idea tentang perkara itu. Aspinwall dan Pedlar dalam Bush dan Middlewood (2005) menyarankan dalam konteks organisasi yang belajar, empat konsep pembelajaran sebagai berikut:

• Learning about things
• Learning to do things
• Learning to become ourselves, to achieve full potential
• Learning to achieve things together
Bush dan Middlewood, (2006 ms 196)

Daripada empat konsep di atas, boleh dijelaskan bahawa pembelajaran adalah proses menimba ilmu tentang sesuatu perkara atau benda seperti mendapatkan maklumat tentang kejadian pasang surut air laut dan hubungannya dengan bulan penuh. Pembelajaran juga boleh jadi proses untuk mendapatkan kemahiran atau kebolehan membuat atau menghasilkan sesuatu benda atau perkara seperti membuat rumah atau mengubahsuai rumah. Pembelajaran juga boleh dilihat sebagai proses membina imej diri, untuk membina atau membangun potensi diri sepenuhnya seperti membina personaliti, jati diri, bakat, minat dan kecenderungan. Akhir sekali pembelajaran yang lebih rapat dengan konsep organisasi yang belajar, pembelajaran berterusan, pembelajaran kooperatif dan pembelajaran berasaskan masalah yang mendefinisikannya sebagai proses untuk mencapai sesuatu perkara secara bersama. Contohnya, bagaimana hendak membangun sekolah supaya menjadi sekolah cemerlang, pengetua/guru besar perlu bersama seluruh atau sebahagian warga sekolah belajar semua perkara berkaitan dengan apa yang hendak dibuat.

Pembelajaran dalam konteks kepimpinan pendidikan dijelaskan oleh Knapp, Copland dan Talbert (2003) sebagai matlamat utama kepimpinan itu sendiri. Bagi mereka, intipati visi dan misi mana-mana organisasi pendidikan adalah menyediakan semua murid, walau bagaimana sukarnya cabaran yang dihadapi, untuk menguasai kandungan dan kemahiran mata pelajaran yang dipelajari, membangun habits of mind untuk pembelajaran seterusnya, menyediakan diri untuk memenuhi keperluan pekerjaan dan menjadi warganegara yang baik dalam negara demokrasi. Untuk tujuan itu, pemimpin pendidikan disarankan melibatkan diri secara aktif dalam tiga agenda pembelajaran iaitu pembelajaran murid, pembelajaran profesional dan pembelajaran sistem (system learning).

Bagi agenda pembelajaran murid, pemimpin sekolah hendaklah membuka peluang seluas-luasnya untuk murid dapat berinteraksi dengan pemimpin sekolah itu sendiri dan gurunya terutama merujuk kepada kandungan pembelajaran murid. Hasil pembelajaran murid, dilihat daripada outcome interaksi itu, bergantung kepada bagaimana guru menyampai kurikulum, merekabentuk tugasan akademik, dan bagaimana murid melibatkan diri dalam melaksanakan tugasan. Hal ini terasuk juga bagaimana murid mendekati gurunya, bagaimana mereka bergaul sesama mereka dan bagaimana mereka menghortmati orang dewasa.

Bagi melaksanakan agenda pembelajaran murid, guru hendaklah terlebih dahulu melakukan pembelajaran profesional sama ada melalui program formal atau tak formal. Bush dan Middlewood (2005) menyarankan empat kaedah pembelajaran profesional guru yang dilakukan secara formal dan tak formal seperti berikut:

• Mengkaji dan menganalisis kerjanya sendiri
• Belajar daripada guru lain
• Melibatkan diri dalam perbincangan, membuat keputusan, mesyuarat dan understudy di sekolahnya sendiri
• Mengikuti kursus, mesyuarat, seminar, bengkel dan persidangan di luar sekolah.
Dipetik dan diubahsuai daripada Bush dan Middlewood (2005, ms 194-5)

Pembelajaran sistem merujuk kepada pembelajaran yang berlaku secara sistemik pada keseluruhan organisasi pendidikan seperti sekolah dan institusi pendidikan yang lain. Organisasi yang mengamalkan pembelajaran sistem bolehlah juga dikatakan sebagai organisasi yang belajar. Bush dan Middlewood (2005) menggariskan lima ciri sekolah yang mengamalkan pembelajaran sistem atau sekolah yang belajar seperti berikut:

• Fokus tenaga dan aktivitinya kepada pembelajaran
• Menghargai dan mengiktiraf bahawa keperluan murid adalah untuk belajar
• Menyedia dan membangun ethos dan ethik rasa ingin tahu di kalangan semua warga sekolah terutama murid
• Mengiktiraf bahawa pembelajaran wujud dalam bentuk yang berbagai-bagai dan datang dari sumber yang banyak, termasuk rangkaian luar dan pihak yang berkepentingan
• Mengakui bahawa pembelajaran adalah proses berterusan dan peranan sekolah adalah menjadikan institusi itu satu sumbangan kepada proses ini.
• Berterusan dalam keadaan transformasi

Advertisements

One thought on “Kepimpinan dan Pembelajaran

  1. Terima kasih sebab berkongsi.Maklumat yg berguna. Tetapi bagaimana berurusan dgn Pengurus yang berlagak pemimpin yg sering mempengaruhi orang lain atau sekumpulan orang dlm mengatur strategi bagi mencapai matlamat diri dan bukannya matlamat organasasi atau matlamat pekerjaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s