Seni menjaga ibu yang telah lanjut usia

Ibu saya telah berusia 92 tahun (lahir 1924). Ayah telah meninggal dunia dalam tahun 1982. Tiga daripada lapan beradik saya telah meninggal dunia. Kami adik beradik yang tinggal bersetuju agar ibu dijaga oleh abang saya bersama isterinya di kampung di rumah pusaka tinggalan ayah. Selain masih bekerja dan tidak dapat memberi sepenuh masa menjaga ibu di rumah kami, ibu agak sukar untuk meninggalkan rumah pusaka di kampung.  Sebab itu ibu tidak mahu tinggal bersama saya atau dua orang adik saya yang masih bekerja suami isteri. Kebiasaanya ibu boleh bertahan tinggal bersama kami dua atau tiga hari sahaja. Itupun setelah dipujuk banyak kali untuk kami bawa ke rumah kami dengan pelbagai alasan seperti anak kami bertunang, nikah dan kenduri lainnya.

Abang yang sudah bersara sanggup pula tinggal dan menjaga ibu di kampung sejak  lebih 10 tahun. Rumahnya sendiri ditinggalkannya begitu sahaja tanpa penghuni. Kami berpakat dan bersetuju menyerahkan rumah pusaka untuk dimiliki terus oleh abang yang menjaga ibu. Dia juga mendapat lebih bahagian tanah yang ditinggalkan arwah ayah selain kami beri wang saku untuk belanja dapur. Abang sekarang berusia 70 yang pastinya tidak kuat lagi bekerja kampung. Jadi dia bergantung harap kepada wang pencen dan sedikit pendapatan daripada isterinya yang banyak melakukan kerja kampong sambal menjaga ibu saya. Kadang-kadang saya kasihan melihatnya bertungkus lumus pagi petang bekerja bukan sahaja untuk diri dan keluarga malahan untuk ibu kami. Kakak ipar saya itu bukanlah seorang yang tidak punya harta atau pendapatan yang baik kerana dia adalah anak seorang yang berada disamping ketiga-tiga anaknya masing-masing telah menamatkan pengajian university, seorang daripadanya menjadi hakim, tetapi sebagai orang kampong dia tidak boleh duduk diam sahaja di rumah. Masyarakat juga disantuninya.Dia seorang yang aktif di kampong asal saya.

Apabila saya telah bersara saya berhasrat untuk membawanya tinggal bersama di rumah saya. Sebagai anak lelaki teringin juga untuk sama menjaganya. Mudah-mudahan saya dapat berbakti kepadanya. Banyak nikmat sebenarnya dapat menjaga ibu. Sebenarnya sebelum bersara ada juga beberapa kali saya bawa ibu tinggal bersama kami tetapi tidak lama.

Kali ini setelah saya beritahu saya telah bersara, ibu mahu pula saya bawa tanpa banyak soal seperti kebiasaannya apabila diajak. Namun saya telah bersedia pada bila-bila masa untuk menghantar ibu balik kampung apabila dia meminta saya berbuat demikian. Ibu saya walaupun lemah lembut orangnya dia punya kehendak yang sangat kuat. Kami adik beradik tahu sangat hal itu.

Selalunya jika dia mahukan sesuatu seperti minta dihantar balik kampung atau apa sahaja kehendak dia akan menyatakannya secara tidak langsung (indirect). Contohnya dia akan menyatakan jirannya tidak sihat, bertanya hari itu hari apa dan mengira sudah berapa hari dia meninggalkan kampung atau bertanya jika ada sesiapa yang mahu balik kampung.

Sebagai anak kami sudah masak dengan kemahuan ibu itu. Takut dia berkecil hati kami akan usahakan untuk menghantar ibu balik kampung. Selalunya anak-anak kami sangat suka melaksanakan tugas itu terutama yang belum punya kereta sendiri kerana dapat bawa kereta ayah atau ibunyanya.

Ibu saya suka bercerita. Sesuatu perkara yang berlaku kepada dirinya atau anak cucunya akan diceritakan berulang kali. Sebagai anak dan cucu kita mesti punya kesabaran dan kemahiran tinggi untuk mendengar ceritanya. Apabila memperkatakan tentang seseorang sama ada anak cucunya sendiri atau orang lain dia akan memperkatakan yang baik atau yang positif sahaja. Kita yang telah terdidik inilah yang perlu menilai sendiri apa yang diperkatakannya. Kami perlu tunggu sehingga habis ceritanya untuk mencari pengajaran daripada apa yang diceritakan.

Pada usia 92 tahun sudah pasti ibu saya banyak lupanya. Namun dia belum sampai tahap nyanyuk atau dimensia. Dia masih mampu berpuasa cukup 30 hari dan solat fardhu lima kali sehari. Masih boleh membaca quran walau tidak bercermin mata. Saya belikan quran besar.

Ingatannya masih kuat terutama terhadap anak dan cucunya. Dia mengingati bilangan cucu daripada setiap orang anaknya. Dia tahu nama setiap cucunya yang seramai 55 orang. Cicit adalah yang ingat. Ada cicit kepada ibu saya yang sudah ada anak.

Ibu saya seorang yang sangat disiplin dalam hal mengambil ubat dan menjaga pemakanan. Agaknya telah beratus tin susu untuk orang tua diminumnya. Anak dan cucu yang ramai telah berkerja dengan pendapatan yang baik bukan sahaja sering memberinya pakaian malahan susu dan makanan tambahan (food suppliment). Ubat jantung, kolestrol dan ubat cairkan darah tidak pernah miss dimakan mengikut nasihat doktor. Sebelum ubatnya habis dia sudah sibuk beritahu kami. Kebetulan cucunya daripada anak perempuan abang saya memiliki klinik sendiri bersama suaminya di Putra Perdana.

Semalam saya bawa ibu ke Klinik Kesihatan Shah Alam untuk pemeriksaan telinga. Saya dapati sejak akhir-akhir ini pendengarannya kurang baik. Saya menghubungi beberapa orabg doktor kenalan saya termasuk anak saudara saya. Mereka menyarankan saya bawa ibu saya berjumpa doktor. Mereka mengesyaki tahi telinga (ear wax) yang banyak menjadi puncanya. Ternyata jangkaan kami betul telinga sebelah kanannya penuh dengan tahi telinga yang sudah mengeras. Doktor tidak boleh cuci melainkan terlebih dahulu diberi ubat (ear drop) untuk melembutkannya. Saya beri dia ubat khas yang boleh dibeli di farmasi.

Kita sering kali silap dalam menjaga dan memahami orang tua yang lanjut usia. Sebagai contoh apabila pendengarannya kurang baik kita selalunya bercakap kuat dekat dengan telinganya tanpa memahami situasi sebenar. Dalam kes ibu saya pada mulanya dia tidak memberi tahu kami bahawa dengan berbuat demikian sebenarnya dia tidak faham apa yang kita perkatakan kerana telinganya berdesing oleh kuat dan dekatnya kita becakap dengannya. Saya dapat memahami kedaannya setelah membuat pemeriksaan doctor ke atas telinganya. Ternyata tahi telinga yang telah terlalu banyak terkumpul dan mengeras menyebabkan gangguan kepada gegendang telinga (ear drum). Dia mengadu kepada saya bahawa dia bukan tidak dapat mendengar tetapi pendengarannya bercampur-baur. Oleh itu apabila kita bercakap dengannya, lebih-lebih lagi apabila kita bercakap terlalu dekat dengan telinganya, dia tidak tahu buah butir yang kita perkatakan. Lebih baik kita bercakap perlahan-lahan pada jarak yang tidak terlalu dekat atau terlalu jauh dengan telinganya. Tunjukkan mulut kita semasa kita sedang bercakap. Elok juga gunakan Bahasa isyarat tangan atau body language.

Ibu saya menghadapi masalah pendengaran yang berbeza antara telinga kanan dan telinga kiri. Telinga sebelah kiri sememangnya telah bermasalah sejak beliau masih muda. Suatu ketika sedang dia mengait buah koko di kampong, buah koko yang dikait telah menimpa dengan kuaat telinga sebelah kiri sehingga keluar darah daripada dalam telinga .Sejak itu katanya dia tidak dapat mendengar menggunakan telinga kiri. Hal ini saya ketahui semalam sebelum saya bawa dia berjumpa doctor. Begitulah pengorbanan seorang ibu yang sedaya upa tidak mahu menyusahkan anak-anak dengan menyembunyikan masalah yang dihadapinya bertahun-tahun  Dia bergantung kepada telinga sebelah kanan sahaja untuk mendengar.

Apabila satu-satunya telinga yang dapat diguna untuk mendengar diselaputi tahi telinga dengan banyaknya.di sana barulah dia merasai masalah pendengaran (hearing impairment). Namun bagi dirinya dan orang lain termasuk kami anak-anak menyangka hal tesebut lumrah bagi seorang yang telah lanjut usia tanpa berusaha untuk mengatasi masalah tersebut. Sebagai orang yang suka melihat dan berfikir, pada mulanya saya berfikir untuk membelikannya alat pendengaran (hearing aid). Beberapa orang rakan doctor yang saya hubungi termasuk anak saudara saya menasihatkan saya untuk membawanya berjumpa doctor untuk diperiksa terlebih dahulu puncanya. Saya diberitahu pemasangan alat pendengaran adalah dengan nasihat doctor. Mereka mencadangkan saya berjumpa pakar telinga, hidung dan kerongkong (ear, nose and throat atau ENT). Terlebih dahulu mereka mencadangkan saya membawanya kepada GP di klinik biasa. Itulah yang menyebabkan saya membawanya ke Klinik Kesihatan Shah Alam.

Dengan eardrops berjenama Cerumol saya titiskan di telinga kanannya lima titis cecair yang berfungsi untuk melembutkan dan mengasingkan thi telinga (for the loosening and removal of ear wax) seperti tercatat pada kotak bekas ubat itu. Mengikut catatan pada kotak bekas ubat tersebut, saya perlu teteskan lima tetes cecair sebanyak dua kali sehari dalam masa tiga hari. Sebaik-baiknya pada waktu malam sebelum tidur. Pada telinga sebelah kanan yang banyak tahi telinga ibu mengadu cecair itu tidak masuk ke dalam telinga. Sehinggalah kita-kira sejam selepas itu dia mengadu terasa seperti benda jatuh dengan bunyi berdentum di dalam telinganya sebanyak dua kali. Hal yang sama tidak pula dirasai pada telinga kiri. dia mengatakan cecair itu terus masuk ke dalam telinga tnpa bunyi berdentum seperti dirasai pada telinga kanan. Saya membuat kesimpulan sendiri bahawa telinga kirinya tiada tahi telinga sebanyak telinga kanan.

Saya pernah baca satu artikel yang menerangkan bahawa tahi telinga diciptakan Tuhan dengan fungsi tersendiri untuk mengawal dan melindungi gegendang telinga. Persoalan sama ada tahi telinga yang tidak terdapat di telinga kiri adalah kerana tiada keperluan menjaga atau melindungi gegendang telinga yang telah rosak tidak dapat disahkan. Hanya pakar ENT atau orang yang ebih arif yang dapat mengesahkannya.

Pada pagi keesokan harinya apabila saya teteskan pada telinga kanannya buat kali kedua dalam sehari, dia mengadu cecair itu masuk ke dalam telinga dan dia merasa ringan pada telinga kanannya. Pada telinga sebelah kiri tiada aduan diterima. Saya dapati cecair yang saya teteskan pada telinga kiri meleleh keluar apabila dia bergerak bangun dari mengereng. Namun pendengaran ibu masih belum baik seperti dahulu. Telinganya perlu dicuci oleh doctor setelah tiga hari ubat cecair pelembut tahi telinga diberi dua kali sehari.Saya terus berdoa mudah-mudahan usaha saya berhasil mengembalikan pendengaran ibu saya. Jika perlu saya akan membelikannya alat pendengaran seperti yang saya fikirkan terlebih awal.

Banyak lagi sebenarnya cerita- seni menjaga ibu yang telah lanjut usia. Ilmu penjagaan orang tua (gerontology) boleh dipelajari sehingga ke peringkat PhD. Saya ada seorang rakan yang memiliki ijazah PhD daripada UK semasa saya di sana membuat PhD dala Pengukuran dan Pengujian Pendidikan. Beliau sekarang menjadi pensyarah di salah sebuah university awam di Mlaysia. Di peringkat sekolah, ilmu ini juga diajar kepada murid-murid Tingkatan Empat dan Lima. Perbelanjaan kerajaan untuk mengajarkan ilmu ini sangat besar kerana peralatannya mahal. Dengan memahami sains dan seni penjagaan orang tua kita bukan sahaja dapat memastikan masyarakat kita berkebajikan dan harmoni malahan kita dapat berbakti kepada orang tua yang di bawah tapak kakinya terletak syurga. .

 .

Advertisements

3 thoughts on “Seni menjaga ibu yang telah lanjut usia

  1. Berikut antara komen rakan pembaca melalui saluran lain. Saya perturunkan di sini untuk perkongsian.

    Dr.j saya dah baca pengalaman 2 hari menjaga ibu tu…memang betul.org tua x berapa suka duduk rumah anak2…maklumlah rumah dia walaupun kecil atau besar atau cantik atau sebaliknya.mungkin ada kenangan dia tersendiri.kita pun klu dah tua mungkin begitu.

    • Kadang2 faktor usia dan kesan sampingan ubat juga bolih menyebabkan pendengaran kurang jelas.Semuga ibu tetsatang cpt sembuh.Beruntung drj masih ada ibu.jaga dan layanlah dia spt ibu melayan kita semasa kita kecil.saya dah x ada ibu lagi.sayu rasanya.

  2. Salam,
    Alhamdulillah saya berpeluang menjaga ibu dan ibu mertua yang telah lanjut usia. Kebetulan adik beradik suami ada mou, rotate sebulan sekali setiap adik beradik menjaga ibu mertua saya yang dah kurang pendengaran dan mata dah tak nampak akibat diabetis. Di penghujung usianya, beliau terjatuh dalam bilik air di rumah abang ipar saya menyebab terkeluar sendi pinggul, x boleh berjalan. Allahuakbar, besar sungguh dugaan menjaganya, walaupun ada bibik yang diupah tapi kerenah bibik lebih memeningkan kepala, sabar aja la. Namun memang seni menjaga orang tua ni memang kena tabah sebab pahala yang amat besar Dr Jamil. Layan je, sebab dia lonely dan perlukan perhatian. Memang hatinya meronta nak cergs seperti dulu, namun tidak berdaya waima nak membeli keperluan diri sendiri. Oleh itu sebagai menantu perempuan saya kena peka, selalu bertanya dia nak beli atau nak pesan apa bila kita keluar. Lebih ceria jika kita ajak dia window shopping, naik wheel chair.
    Sekarang saya sendiri dah oku, akibat pembedahan implan sendi pinggul kedua2 diganti sendi palsu. Kekuatan tak seperti dulu, terus bersara setelah bercuti sakit 2 tahun, Saya faham kenapa dihujung usianya, ibu saya jadi pendiam. Dia tak mahu menambah dosa anak2. Allahuakbar

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s