Peperiksaan di MPM dan Pemeriksaan di Puspakom

Apakah perbezaan dan persamaan antara peperiksaan yang dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dengan pemeriksaan kenderaan di Puspakom? Pengalaman bertugas di dua badan peperiksaan besar di Malaysia ditambah dengan penyertaan dalam seminar dan persidangan antarabangsa pastinya memberi saya banyak pengetahuan tentang peperiksaan. Sedetik pengalaman saya berurusan dengan Puspakom pula menambah pengetahuan saya tentang pemeriksaan kenderaan di Puspakom. 

Sebagai bekas pegawai kerajaan pada gred Jawatan Utama saya diberi peluang untuk membeli kereta kerajaan yang saya pakai selama lebih dua tahun sebelum bersara wajib.  Untuk membolehkan proses tukar milik, kereta tersebut perlu diperiksa Puspakom. Saya tiada masalah untuk menguruskan pemeriksaan tersebut dan urusan tukar milik dengan JPJ kerana saya pun sudah bersara walaupun pada mulanya saya mahu mengupah orang lain untuk membawa kereta berkenaan ke Puspakom. Namun apabila orang itu  mengatakan sibuk untuk mengambil kereta ke rumah, saya memutuskan untuk membawa sendiri kereta itu ke Puspakom.

Setelah pendaftaran dibuat pada dua check point berserta bayaran pemeriksaan sebanyak RM31.80 dan berbaris agak panjang, kereta yang saya pandu sendiri sampai juga ke tempat pemeriksaan. Baru sahaja pegawai bertugas mengambil gambar dan mengambil  dokumen, saya yang masih di dalam kereta dihampiri lelaki yang sepatutnya datang ke rumah saya untuk menguruskan pemeriksaan.

Oleh kerana saya tidak tahu berapa lama saya perlu menunggu saya serahkan sahaja kereta saya kepada lelaki itu dengan harapan dia akan menghantarkan kereta saya ke rumah setelah selesai diperiksa. Saya fikir tidak mengapa saya bayar dia sebagai upah. Dia bukan pegawai atau kaki tangan Puspakom. Saya pun sememangnya datang dengan isteri saya yang memandu kereta lain. Di situ terdapat perbezaan antara peperiksaan di MPM dengan pemeriksaan kereta di Puspakom. Di MPM calon yang diperiksa tidak boleh diganti atau diwakili oleh orng lain. Hal tersebut merupakan satu kesalahan besar yang membolehkan calon bukan sahaja gagal malahan boleh digantung daripada menduduki peperiksaan untuk sekurang-kurangnya setahun. Di Puspakom, orang yang membawa kereta atau kenderaan yang hendak diperiksa tidak semestinya tuan punya kenderaan. Lagipun yang hendak diperiksa bukan tuan punya kenderaan tetapi kenderaannya. Saya tidak pasti sama ada boleh atau tidak sebahagian daripada kenderaan itu milik kenderaan lain semasa diperiksa. Contohnya, semasa diperiksa, tayar atau cermin ditukar dengan tayar atau cermin kenderaan lain yang dipasang secara sementara.

Namun apabila saya hendak keluar dari kompleks Puspakom menuju kereta yang dipandu isteri saya, lelaki itu meminta saya menunggu kerana katanya pemeriksaan tidak memakan masa lama. Maka saya pun meminta isteri saya balik dan saya tunggu kereta saya siap diperiksa.

Belum pun sampai seminit  kereta saya hendak diperiksa sepenuhnya lelaki itu membisikkan bahawa kereta saya dipasang cermin gelap namun dia meminta saya duduk di dalam bilik menunggu yang berhawa dingin. Saya katakan tidak mengapa kerana kereta itu ialah kereta kerajaan yang sepatutnya mematuhi arahan kerajaan tentang penggunaan cermin gelap kereta.

Menyedari beberapa kereta di hadapan dan belakang kereta saya telah siap diperiksa, saya pun keluar dari bilik menunggu berhawa dingin melihat keadaan. Tidak lama kemudian kereta saya dikeluarkan dari ruang pemeriksaan. Seorang lelaki diarahkan lelaki yang berjanji hendak menguruskan pemeriksaan membawa kereta saya agak jauh dari tempat pemeriksaan. Saya tunggu beberapa ketika sambil memerhati daripada jauh. Saya lihat lelaki berkenaan mengangkat telefon bimbitnya ke telinga.

Mengesyaki sesuatu yang tidak kena saya menghampiri mereka lalu bertanya mengapa kereta saya dibawa ke tempat itu. Dia memberi tahu saya mahu membuka lapisan penggelap cermin kereta saya supaya lulus pemeriksaan. Saya nyatakan tidak setuju yang menyebabkan sekali lagi dia mengangkat telefon seperti menghubungi seseorang dalam bahasa yang saya tidak fahami kemudian beredar menuju tempat pemeriksaan. Saya ambil kunci kereta saya dan mengikuti lelaki itu ke tempat pemeriksaan.

Sebagai bekas pegawai kerajaan yang memimpin dan mengurus sebuah organisasi peperiksaan awam saya sangat faham tentang prosedur pemeriksaan. Walaupun subjek yang diperiksa berlainan antara peperiksaan yang saya urus dengan pemeriksaan yang diurus Puspakom, prinsip adalah sama. Kedua-duanya mesti ada dokumen sah, ada pendaftaran, ada bayaran, ada pemeriksa, ada instrumen yang digunakan dan ada perkara yang diperiksa sebelum keputusan dikeluarkan.

Cuma satu perkara yang saya kurang pasti sama ada di Puspakom dibolehkan kereta yang diperiksa dikeluarkan terlebih dahulu untuk diperbaiki perkara yang menyebabkan pemeriksaan gagal. Dalam peperiksaan yang saya kendalikan di MPM mahupun di LPM perkara tersebut tidak dibenarkan. Sebagai contoh, skrip jawapan calon tidak boleh dikembalikan kepada calon untuk diperbaiki jawapan yang diberi supaya calon itu lulus peperiksaan. Malahan pemeriksa tidak dibenarkan memperbaiki jawapan calon. Tanpa ragu saya yakin integriti dan kredibiliti menjadi pegangan kedua-dua institusi – Puspakom dan MPM.

Jikapun Puspakom membenarkan lapisan peggelap cermin kereta saya dibuka supaya lulus pemeriksaan, saya sepatutnya diberitahu perkara tersebut semasa pemeriksaan dijalankan, bukan selepas kereta itu dikeluarkan tanpa keizinan saya. Saya tidak pasti apakah benar cermin kereta saya benar-benar gelap yang tidak melepasi tahap yang dibenarkan JPJ. Sebagai kereta kerajaan yang saya selalu naiki sebelum itu selama lebih dua tahun saya mempercayai pemasangan cermin kereta tersebut telah mematuhi peraturan. Saya juga seringkali mengingatkan pegawai saya untuk mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

Pada masa yang sama jika memang didapati tahap kegelapan cermin kereta yang saya gunakan menyebabkan proses pertukaran hak milik tidak dapat diluluskan, saya tiada masalah dengannya. Saya boleh buka lapisan penggelap atau tukar cermin gelap yang ada dan mengulang semula proses pemeriksaan. Sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang sebanyak RM33.80 lagi kepada Puspakom, bukan kepada individu yang mahu mengambil kesempatan terhadap pengguna yang ‘naif’ seperti saya. Hati nurani saya lebih tenang dan tenteram daripada saya membenarkan orang itu membuka lapisan penggelap cermin dan saya terpaksa beri dia duit atas nama apa sekalipun supaya keputusan pemeriksaan adalah LULUS untuk semua perkara yang diperiksa.

Saya faham bahawa sebelum kereta itu dapat saya miliki, ia hendaklah berada dalam keadaan yang baik dan boleh lulus pemeriksaan. Oleh itu saya tiada masalah langsung untuk menerima keputusan GAGAL dalam pemeriksaan tukar milik seperti tercatat pada SIJIL PEMERIKSAAN TUKAR MILIK. Saya terima keputusan GAGAL itu dengan lapang dada walaupun daripada empat perkara yang diperiksa iaitu Nombor Enjin, Nombor Casis, Kenderaan Potong dan Keadaan Cermin, hanya yang terakhir yang GAGAL

Keputusan GAGAL itu saya lihat sebagai positif demi keselamatan diri saya dan keluarga yang akan menggunakan kereta tersebut. Saya bersyukur tiada sebarang perkara tidak baik semasa saya menggunakan kereta tersebut semasa saya sedang bertugas dengan kerajaan walaupun paras kegelapan cerminnya tidak melepasi kelulusan pemeriksaan oleh Puspakom. Saya tidak pasti apakah orang lain juga mempunyai pandangan yang sama dengan saya dan boleh menerima keputusan pemeriksaan GAGAL oleh Puspakom seperti saya.

.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s