Eksplorasi Bumi Ambia Aulia Ulama dan Umara: Uzbekistan (Bahagian 2)

Eksplorasi Bumi Ambia,  Aulia, Ulama dan Umara: Uzbekistan (Bahagian 2)

Saya dan isteri telah bersiap untuk ke Uzbekistan ini sejak dua tiga minggu sebelum berlepas pada 16 September 2016 bersamaan 14 Zulhijjah 1437, bermakna Hari Raya Haji ke-5. Apabila masuk sahaja bulan Zulhijjah saya dan isteri terus berdoa semoga perjalanan ke Uzbekistan ini diredhai Allah, selamat dalam perjalanan dan selamat empat orang anak yang ditinggalkan. Disebabkan kesibukan menyambut Hari Raya Haji dan berkorban di Surau Raudhatil Muttaqin Seksyen Empat Shah Alah, tempat saya tinggal, saya tidak sempat menelusuri perihal negara yang hendak saya lawati, Uzbekistan, melalui internet seperti kebiasaan sebelum saya ke luar negara. Jadi tidak banyak yang saya ketahui tentang Uzbekistan.

Secara sepintas lalu saya membaca tentang Uzbekistan di mana saya terjumpa berita tentang kematian Presiden Pertama Uzbek iaitu Islam Karimov pada 2 September 2016 (dua minggu sebelum lawatan saya ini). Melaluinya saya digambarkan bahawa beliau seorang dictator yang memerintah selama 25 tahun sejak memperoleh kemerdekaan daripada Rusia pada 1 September 1991. Di dalam Wikipedia tentangnya, saya mendapati nama penuh Karimov ialah Islam Abduganiyevich Karimov. Beliau dilahirkan pada 30 Januari 1939. Sebelum menjadi presiden pertama Uzbekistan, beliau adalah Presiden bagi the Uzbek Soviet Socialist Republic dari 24 March 1990 sehingga beliau mengistiharkan kemerdekaan. Dia adalah First Secretary Parti Kominis Uzbekistan dari tahun 1989 hingga 1991 yang kemudiannya ditukar menjadi Parti Demokratik Rakyat Uzbekistan atau People’s Democratic Party of Uzbekistan (PDP) yang dipimpinnya sehingga 1996. Karimov mengistiharkan 31 Ogos 1991 sebagai Hari Kemerdekaan dan seterusnya memenangi pilihanraya presiden pada 29 Disember 1991 dengan 86% undi.

Karimov Ufa.jpg

Masyarakat antarabangsa yang tidak suka dengannya mengatakan kemenangannya adalah melalui penipuan dalam pengiraan undi, propaganda dan muslihat dalam pilihanraya. Beliau didakwa menggunakan muslihat memperlambatkan pendaftaran Parti Pembaharuan Islam (Islamic Renaissance Party) pimpinan Shukrullo Mirsaidov dan Erk Liberty Party pimpinan Muhammad Salih. Karimov didakwa oleh barat telah berjaya memerintah Uzbekistan secara authoritarian dengan menyekat kemaraan parti pembangkang. Anak perempuannya, Guinara, juga dikatakan dipenjarakan di rumah dengan pengawal dan pengawasan kamera. Tidak disebut pula apa kesalahannya. Pada 29 Ogos 2016, Karimov dilaporkan dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami stroke dan meninggal pada 2 September 2016. Itu sahaja maklumat tentang Uzbekistan yang saya ketahui sebelum berlepas ke Tashkent pada 16 September 2016 dengan Uzbekistan Air, juga tidak saya ketahui adanya penerbangan tersebut dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sebelum itu. Ternyata apa yang saya baca dalam internet tentang Karimov yang dikatakan diktator dan memerintah secara authoritarian adalah salah. Saya akan ceritakan keistimewaan dan jasa Karimov dalam tulisan akan datang.

Penerbangan tujuh jam dari KLIA ke Taskent  adalah penerbangan waktu siang yang menyeronokkan kerana kurangnya gegaran-gegaran kuat pesawat. Kami yang seramai 24 orang belum kenal sangat antara satu sama lain termasuk wakil Rayhar  Travel iaitu Hazwan Nuaim dan kanak-kanak berumur enam tahun Syaukat bin Yusri. Kebetulan nama itu sama dengan nama Perdana Menteri Uzbekistan yang memangku jawatan Presiden selepas kematian Karimov.  Shaukat mempunyai peluang besar memenangi pilihan raya presiden Uzbekistan pada bulan Disember tahun ini.

Kami mendarat di lapangan terbang Tashkent pada jam 4.30 petang 16 September 2016 iaitu hari yang sama kami berlepas dari KLIA. Agak cerewet juga peraturan imigresen dan kastam di Uzbekistan.  Kami diberi borang pendaratan dalam dua salinan. Borang tersebut selain meminta maklumat tentang diri seperti dalam passport dan barang-barang terlarang, turut menghendaki setiap orang mengisytiharkan jumlah wang yang dibawa masuk ke Uzbekistan. Maklumat tentang tempat tinggal dan tempoh berada di Uzbekistan tidak pula diminta diisi seperti lazimnya oleh negara-negara lain dalam borang itu. Perkara itu telah diberitahu pihak Rayhar. Jadi kami patuh sahaja. Di dalam dompet duit saya terdapat USD1100 dan RM160. Itu sahaja yang ada. Saya catatkan dengan betul jumlah itu. Saadah isteri saya sememangnya tiada membawa sebarang wang dalam dompet duitnya atau di mana-mana beg yang dibawanya kerana tidak mahu merumitkan keadaan. Namun pihak berkuasa Uzbekistan di lapangan terbang bertanya juga adakah benar dia tiada membawa wang. Apabila dijawab semua wangnya ada pada saya, suaminya, tiada soalan lain lagi.

Dua salinan borang pendaratan yang telah diisi diperiksa, dicoret dan distem. Satu salinan diambil dan satu salinan lagi kita simpan untuk diberikan kepada pihak kastam bersama borang baru dengan pengstiharan wang yang dibawa keluar daripada Uzbekistan.  Saya menyangka dan diberi tahu rakan-rakan, asalkan jumlah wang yang dibawa masuk lebih daripada yang dibawa keluar, tiada masalah akan dihadapi walaupun amaun yang kita isytihar dalam borang yang sama apabila keluar nanti tidak sama dengan amaun sebenar. Oleh itu semasa mengisi borang baru apabila hendak balik KL sebelum daftar masuk kapal terbang saya gunakan borang dalam bahasa Uzbek sahaja kerana tiada borang lain dalam bahasa Inggeris. Saya catatkan wang yang saya bawa balik adalah USD356 dan RM160.

Setelah melepasi mesin pengimbas beg besar dan kaunter check in, saya dipanggil oleh pegawai kastam masuk ke dalam bilik kecil yang terdapat di dalamnya dua orang pegawai kastam. Mereka menyuruh saya menutup pintu. Salah seorang pegawai yang boleh sedikit bercakap Inggeris tetapi agak sukar difahami menyoal saya berbangsa apa dan beragama apa. Apabila saya kata saya Islam dari Malaysia, dia mengatakan yang dia juga Islam. Kemudian dia menyuruh saya senyum sebelum meminta saya mengeluarkan dompet duit dan membuka beg sandang saya. Dia bertanya berapa wang USD yang saya bawa masuk dan isytihar dalam borang tanpa menunjukkan kepada saya kedua-dua borang yang telah saya isi. Saya dengan yakin menjawab USD365 dan RM160 kerana saya sempat mengira di depannya jumlah itu.

Dia menyatakan saya bermasalah besar kerana saya menulis USD356. Dia mengatakan saya telah melakukan kesalahan yang boleh dipenjara sambil meminta saya membaca artikel 5 dalam borang kosong yang sama dengan yang saya isi. Saya jadi panic dan agak pucat sehingga lupa hendak meminta dia menunjukkan semula apa yang telah saya tulis dalam borang sebelum itu kerana mempercayai dakwaannya dan memang selalu juga saya tulis lain daripada apa yang sepatutnya. Lebih-lebih lagi 365 dan 356 boleh sahaja tersalah tulis.  Namun saya sempat membantah takkan kerana kesilapan seperti itu merupakan satu kesalahan yang membawa hukuman penjara. Dia berkeras mengatakan perkara itu masalah besar dan tidak boleh berbuat apa kecuali pegawai yang seorang lagi yang tidak bercakap Inggeris yang dikatakan ketuanya mahu melepaskan saya. Dengan anggapan tiada guna saya berkeras dengan mereka, saya mohon maaf atas kesilapan saya.

Dia bertanya pekerjaan saya, tujuan saya datang ke Uzbekistan dan berapa tambang saya bayar untuk balik Malaysia.  Saya tambah panic. Dia seperti mengacah mengeluarkan borang untuk mendenda saya. Saya mengagak dia hendak meminta rasuah untuk melepaskan saya. Saya mengatakan jika saya bersalah saya sanggup bayar denda sambil bertanya berapa saya perlu bayar. Saya tidak tahu apakah dia betul-betul hendakkan wang saya sebagai denda atau rasuah tetapi saya berkeras untuk membayar denda. Akhirnya mereka menyuruh saya keluar setelah berbincang sambil mengatakan duit denda yang sepatutnya saya bayar telah dipulangkan kepada saya atas dasar belas kasihan sesama Islam. Sebelum keluar saya minta izin untuk peluk dia dan diizinkan.

Demikian sedikit pengalaman berhadapan dengan pegawai kastam Uzbekistan semasa ketibaan dan perlepasan balik berhubung mata wang yang kita bawa ke sana. Diharap ianya menjadi pengajaran kepada sesiapa yang hendak ke Uzbekistan. Rupa-rupanya Rose Azian rakan kami dalam rombongan yang sama juga kena sehingga dikatakan dia yang beragama Islam telah menipu. Dia sebenarnya tidak perasan ada duit US yang disimpan dalam beg lain yang ditemui pegawai kastam. Dia dipanggil masuk ke dalam bilik lain yang dikhaskan untuk orang perempuan. Dia tidak dibenarkan datang semula ke Uzbekistan. Saadah isteri saya yang juga dipanggil secara rawak masuk ke bilik tempat Rose dipanggil tidak pula ada masalah kerana memang dia tidak membawa sebarang wang. Semua wangnya diserahkan kepada saya sebelum check in.

Bersambung ke Bahagian 3.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s