Ekspedisi Turki Rayhar Travel Disember 2016

​Hari ke tujuh di Turki bersama Ekspedisi Islam Rayhar Travel terus mengujakan, seronok, banyak pengalaman baru dipelajari, makanan yang disediakan tiga kali sehari enak dan tidak terasa penat walau bergerak jauh melebihi 2 ribu km. Lagi dua jam perjalanan dengan bas Mercedes yang sangat selesa untuk menggenapkan perjalanan 2500 km sampai semula ke Istanbul.

Dari Safranbolu ke Istanbul menikmati keindahan pemandangan yang indah dengan salji turun putih saujana mata memandang. Sejak 2001 baru ini mengalami musim salji seperti ini. Semua ahli ekspedisi puas hati. Sebahagian besar satu pengalaman baru bagi mereka. 
Tiba di Safranbolu petang semalam kami menginap di perkampungan Ottoman yang kekal menjadi warisan UNESCO.  Menyusuri kedai-kedai dan menginap di rumah tradsional di zaman Empayar Ottoman abad ke 16 merupakan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Pada suhu dingin negatif 6 darjah celcius, turkish coffee di salah satu kedai di lorong sempit berhampuran masjid luar biasa enaknya.
Tempat-tempat lain yang kami lawati juga sangat mengujakan. Di Bursa melawat maqam Sultan Muhamad al Fateh, Grand Mosque dan silk bazar. Di Pamukale melawat runtuhan istana Heirapolis isteri Raja Greek Atolos. Di Cappadocia walaupun tak dapat naik belon panas kerana cuaca tidak mengizinkan menikmati bentuk muka bumi seperti di planet lain. Sekadar menyebut beberapa tempat menarik daripada tempat-tempat lain yang tidak kurang cantiknya.

Sesampai di Istanbul hari ini menaiki cruise di laut Marmara tempat berlakunya perang al Fateh menakluk Constantinople pada tahun 1453. Lepas itu menziarahi maqam Saidina Abu Ayub al Ansori dan allahyarham Amar bin Ahmad Azam.