The Space JB Food TruckĀ 

Hari ini saya dan isteri menginap di salah sebuah hotel di Jalan Tenteram JB. Esok kami ke Singapura menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki sepupu isteri saya di Choa Chu Kang. Semasa check in saya mendengar perbualan seorang guest dengan receptionist tentang adanya Food Truck (FT) di belakang hotel ini. Perbualan itu menarik perhatian saya untuk mengunjunginya malamnya.

Kira-kira pukul 11.00 malam kami turun mencari lokasi FT itu. Ternyata memang dekat sangat. Kawasan perniagaan makanan berkonsepkan FT seperti di Shah Alam yang pernah saya tulis sebelum ini di kelilingi beberapa hotel. Mengikut Muazan bin Imran, salah seorang pengusaha FT di sini tempat ini digelar The Space Food Truck Johor Bharu. Namun di sebelah pintu masuknya tertulis nama Central Hotel Food Truck JB. 

Di sini terdapat 20 FT tetapi oleh kerana hari ini Raya Cina 18 truck sahaja menjalankan perniagaan. Dua truck lagi pengusahanya berbangsa Cina cuti Raya Cina. Beberapa pengusaha termasuk Muazan yang kami berdua ajak berbual menyatakan makanan dan minuman cepat habis bukan sahaja kerana pengunjung ramai tetapi kerana dua truck lagi tidak berniaga. Muazan sendiri yang menjual meat ball telah menghabiskan jualannya pada pukul 9.30 malam. Beberapa truck lain yang saya kunjungi pada pukul 11.00 itu juga menyatakan telah habis makanan yang disediakan. 

Muazin menyatakan kepada kami makanan yang disediakan habis awal bukan kerana lebih enak daripada yang disediakan oleh rakan-rakannya yang lain. Tetapi dia hanya mampu menyediakan amaun makanan yang terhad. Dia mengusahakan FTnya seorang diri. Masalah tenaga kerja adalah antara cabaran yang perlu dihadapi. Dia melakukan kerja-kerja menyiapkan makan jualannya sejak pagi sebelum memulakan perniagaan pada pukul 6.30 petang hingga lebih kurang 1.00 tengah malam empat hari seminggu iaitu Khamis hingga Ahad seorang diri.

Walaupun Mazin telah menghabiskan jualannya pada pukul 9.30 malam, dia sama-sama menunggu rakan-rakan lain sehingga tengah malam bukan sahaja kerana trucknya terhalang truck lain untuk keluar awal malahan dia perlu sama-sama membersihkan kawasan. Oleh itu tidak timbul sangat soal di posisi mana mereka hendak meletakkan truck masing-masing. Mereka saling faham memahami antara satu sama lain.

Mengikut Muazan petniagaan FT di sini adalah satu-satunya perniagaan FT di JB. Tempat ini di sediakan oleh hotel-hotel di sekeliling tempat ini. Api dan air juga disediakan pihak hotel untuk kegunaan mereka. Namun berbanding FT di belakang Anggerik Mall Shah Alam, tempat ini perlu ditingkatkan lagi kemudahannya. Tapak petniagaan FT perlu diturap dengan tar seperti di Shah Alam. Meja kerusi tempat makan pengunjung juga mungkin boleh dipertingkat walaupun dengan modal yang murah. 

Kami berdua difahamkan peniaga FT di sini mendapat kerjasama baik daripada pihak MBJB dari segi memperoleh kebenaran berniaga di sini. Namun pada pendapat kami mereka perlu dibantu lebih lagi bukan sahaja untuk kemudahan anak-anak muda berniaga malahan untuk pengunjung datang menikmati makan dan minum pada waktu malam dengan lebih santai, selera, selesa dan selamat.

Jamil, JB 28 Januari 2017

Advertisements