WRestoran Ayam Ya Kyoto

Hari ini di Kyoto kami makan tengahari di restoran Muslim Ayam Ya yang terletak tidak jauh dari Central Station kira-kira 10 minit berjalan kaki. Restoran kecil ini saya jumpai setelah merujuk internet. Restoran ini sijil halalnya kepunyaan orang Jepun tetapi tukang masak dan pelayannya orang Indonesia. Sistem mengambil pesanan dibuat melalui vending machine dan menu masakan terletak di pintu masuk. Setelah bayaran dibuat pada mesin, pelanggan mendapat kupon pesanan dan diserahkan kepada pelayan perempuan Indonesia untuk diserahkan kepada tukang masak di belakang ruang makan yang boleh muat kira-kira 15 orang. Semua makanan berlaukkan ayam. Sebab tu restoran tu dinamakan Ayam Ya.

Restoran itu juga dilengkapi bilik air dan bilik solat untuk muslimin dan muslimat dengan tempat wuduk di dalamnya. Ramai pelanggan orang Indonesia namun ada juga orang Jepun dan seorang pemuda dari Sri Lanka makan bersama kami siang tadi. Saya fikir orang Melayu Malaysia perlu mencontohi orang Indonesia yang sudah ramai melabur dalam perniagaan restoran atau kedai makan di luar negara yang sukar didapati tempat makan halal. Ia merupakan fardu kifayaj.

Alamat restoran ini ialah Kyoto Fu Shimogyoku, Higashi Horikawa Dori St. Kiziyabashi Kudaru Mikaba Konyacho 2-1-11, Kyoto 6008238 Japan. No tel. +81-0753441456

Advertisements

Masjid Kobe Jepun

Semalam 20 Feb 2017 dalam lawatan saya, isteri, anak saya Syauqi, menantu saya Fateha dan cucu Qadrina ke Jepun telah singgah di Masjid Kobe untuk solat Zuhur dan Asar jamak. Saya telah diperkenalkan oleh seorang jemaah kepada Timbalan Pengerusi masjid iaitu Muhamad Qassim. Pengerusi masjid ini adalah seorang Jepun bernama Abdul Rahim Yamaguchi. 

Selepas solat saya telah diajak masuk ke pejabatnya kerana saya katakan kepadanya saya ingin menulis tentang masjid ini. Muhamad Qassim yang berusia 67 tahun telah berhijrah dari Gujerat, India ke Kobe untuk berniaga textile dan barangan lain pada tahun 1972. Beliau telah berkahwin dengan perempuan Jepun dan tinggal berhampiran masjid ini. 

Masjid ini adalah satu-satunya masjid dan monumen sejarah tertua Islam di Jepun. Didirikan dalam tahun 1935 oleh pedagang Islam dari India telah mengalami satu keajaiban luar biasa. Dalam tahun 1945 semasa perang dunia kedua seluruh bandar Kobe telah ranap dibom oleh tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat namun masjid ini tidak mengalami sebarang kerosakan. Struktur dan binaan asal masjid ini kekal seperti semasa dibina 10 tahun sebelumnya.

Malahan dalam gempa bumi kuat di Kobe tahun 1995 masjid ini sekali lagi tidak terjejas sebagaimana bangunan lain. Kecuali beberapa pengubahsuaian masjid ini kekal seperti sedia kala semasa dibina.

Mengikut Muhamad Qassim masjid ini aktif sebagai pusat ibadah dan pertemuan antara 200 hingga 300 komuniti Islam di Kobe. Solat berjemaah dilaksanakan lima kali sehari sebagaimana masjid-masjid lain. Pada bulan Ramadhan masjid ini aktif melaksanakan aktiviti seperti solat taraweh, iftar dan lain-lain aktiviti. Begitu juga semasa perayaan kebesaran Islam yang lain.

Oleh kerana masjid ini satu-satunya masjid di Kobe dan yang tertua di Jepun, ramai pelawat mengunjunginya bukan sahaja orang-orang Islam yang hendak menunaikan solat seperti saya malahan pelancong bukan Islam. Di pintu masuk utama masjid terdapat kaunter penyambut tetamu dengan dua orang petugas berbangsa Jepun dan Indonesia menyambut kedatangan kami. 

Saya datang untuk solat asar yang kebetulan baru sahaja masuk waktu. Beberapa orang jemaah juga datang. Solat asar diimamkan oleh seorang berbangsa India. Selepad solat saya sempat mengambil gambar ruang solat utama. Muslimah solat di ruang solat atas sebelah belakang. Puntu masuk ruang solat muslimah berasingan daripada pintu masuk utama jemaah lelaki.

Ruang solat utama masjud ini tidaklah besar sangat walaupun daripada luar masjud ini nampak agak besar dan tinggi. Dari jauh menara yang berwarna hijau nampak. Binaan masjid ini nampak kukuh. Mimbar tempat menyampaikan khutbah terdiri daripada tangga batu tanpa kerusi.

Selain pusat ibadah masjid ini menjadi pusat informasi tentang Islam kepada komuniti dan pelancong bukan Islam. Penyambut tetamu bersedia memberi penjelasan tentang masjid dan tentang Islam. Terdapat buku-buku rujukan dalam bahasa Jepun tentang Islam dan tentang masjid ini. Peti sumbangan derma juga diletakkan di ruang kaunter penyambut tetamu.

Kelas pengajian Islam seperti fardhu ain, alquran dan bahada Arab diadakan di masjid ini bukan sahaja untuk kenak-kanak komuniti Islam di Kobe malahan untuk orang dewasa yang baru memeluk Islam dan yang mahu mendalaminya juga diadakan di masjid ini. Di hadapan masjid ini terdapat kedai runcit menjual makanan dan keperluan seharian orang Islam. Pekedainya seorang berbangsa India yang pandai berbahasa Inggeris seperti Muhamad Qassim sangat peramah kepada kami. Dialah yang memperkenalkan saya kepada Qassim. Saya sempat ke kedainya membeli makanan.

Untuk ke masjid ini anda boleh menaiki City Loop bus berhenti di bus stop nombor 8. Berjalan sedikit menyeberang jalan daripada bus stop 8 itu pandang ke kanan anda akan nampak bangunan dan menara masjid yang agak tinggi berwarna hijau. Selepas pukul 5.51 petang tiada lagi perkhidmatan bas City Loop itu.