Kembara Italy-Balkan Bersama Kembara Sufi 1.

Setelah tujuh lawatan ke luar negara pasca persaraan saya dan isteri, empat kali urus sendiri dan tiga kali dengan Rayhar Travel, kali ini kami mencuba pula mengikuti Kembara Sufi ke Italy dan Balkan. Pengembaraan kami berdua bersama hampir 80 orang peserta dari 22 April hingga 4 Mei 2017 kebanyakannya veteren.

Kami menaiki Mahan Air syarikat penerbangan kedua Iran. Syarikat penerbangan utama Iran ialah Iran Air. Kami bertolak dari KLIA dengan penerbangan WS82 pada pukul 11.30 malam transit di Tehran selama 3 jam sebelum meneruskan penerbangan ke Milan Italy.

Kami sampai di Lapangan Terbang Milan jam 10.15 pagi. Proses pemeriksaan imigresen tidak sukar kerana Italy sebahagian negara Kesatuan Eropah (European Union atau EU) tidak memerlukan kita mendapatkan visa dan mengisi borang pendaratan. Kami hanya diperiksa pasport untuk dicop tanda memasuki EU. 

Ketibaan kami di luar terminal airport disambut oleh dua orang pemandu pelancong dari Bosnia iaitu Edin dan Lamia. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Bas A dan Bas B seperti perancangan awal sebelum bertolak dari KLIA lagi. Saya masuk dalam Bas A.

Kebanyakan ahli dalam Bas A adalah alumni murid Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Shah Jitra Kedah (atau lebih terkenal dengan Jenan) iaitu sebuah Sekolah Berasrama Penuh yang terkenal. Saya dan isteri sebenarnya bukan bekas murid sekolah itu tetapi rakan karib Ir Hj Mohd Yaakob Zakaria iaitu pelajar terbaik sekolah itu dan seluruh Kedah dalam peperiksaan SPM 1973. 

Yaakob dan isteri iaitu Hajah Rusnah Jamali telah mengajak kami dan juga Hajah Rusinah Yusuf bersama suami iaitu Ustaz Masudi Yusof turut sama melancobg ke Italy dan Balkan ini. Saya, Yaakob dan Rusinah adalah kawan baik sejak kecil lagi. Kami sekampung dan sekelas sejak darjah satu hingga enam. Saya dan Yaakob sekelas dari tingkatan satu hingga tiga dan sekarang kamj menetap di Shah Alam.

Kami berenam rapat dari dahulu hingga sekarang. Ustaz Masudi suami Rusinah jiran isteri saya kawan baik abang ipar saya Marzuki Bahrudin. Rusnah isteri Yaakob pernah sama mengajar di sekolah yang sama dengan isteri saya. Malah kamilah match maker perkahwinan mereka. Kami bersama dalam Bas A. Tempat duduk pun berdekatan.

Bas A diketuai Cikgu Salmiah Hassan bekas murid Jenan SPM 1972. Dua orang wakil KS ialah Abdul Rahim Zainudin dan Redzuan. Mereka berdua ustaz lulusan Morocco sebenarnya. Ustaz Rahim terutamanya sangat fasih berbahasa Inggeris. Pemandu pelancong kami ialah Edin pemuda kelahiran Sarajevo Bosnia manakala pemandu bas ialah Slavy dari Bulgaria. Bas kami alhamdulillah selesa. 

Bersambung ke Bahagian 2.

Advertisements