Ayam Kampung Pak Hud: Tuku Arep Adol Gelem

Dua hari semalam saya balik kampung bersama isteri dengan niat untuk ziarah ibu sambil nak berbuka puasa denganya, ziarah kubur, ziarah saudara mara dan solat terawih di masjid kampung.

Sebelum sampai rumah ibu kami singgah rumah Pakcik Suhud, adik ibu satu-satunya yang sudah berusia 90 tahun tapi masih mampu berbasikal ke masjid atau ke rumah ibu. Mereka berdua memang rapat dan jelas saling kasih serta hormat menghormati antara satu sama lain.

Niat saya singgah ke rumahnya selain ziarah adalah untuk memberi sedikit duit ramadhan sambil membeli ayam kampung daripadanya. Saya tahu dia memelihara ayam kampung kerana satu hari di masjid saya nampak Suhaimi Ketua Kampung bertanya kepadanya untuk membeli ayam kampung. Ketua Kampung itu adalah sepupu isteri Pak Suhud, Makcik Baayah.

Saya bertanya Makcik Baayah “Banyak ke pelihara ayam kampung, saya teringin nak makan untuk berbuka puasa atau sahur bersama mak”. Demikian saya menutur kata supaya sopan dan manis terhadap ibu saudara di hadapan suaminya Pak Suhud saya. 

Dia bertanya balik kepada saya berapa ekor yang saya nak. “Kalau seekor dua untuk kamu makan adalah. Tapi sekarang ni tak ada. Entah ke mana perginya”. Saya tidak berapa faham sebenarnya maksud pernyataan yang diungkapkannya. Namun saya katakan “Kalau begitu malam nantilah saya datang balik” dengan anggapan apabila ayam-ayamnya dah masuk ke reban, mudah ditangkap dan disembelih. Saya  tangguhkan dulu pemberian duit Ramadhan kepada Pak Hud ke malam nantinya bersama duit pembelian ayam.

Tujuan saya menangguhkan pemberian wang itu adalah supaya mereka tidak terbeban menyediakan ayam kampung mengikut nilai wang yang saya nak beri sebagai sedeqah. Setelah berbual ala kadar saya pun bersalam untuk minta diri.

Malamnya selepas solat terawih 20 rakaat di Masjid Kampung Tebuk Mufrad Sabak Berrnam kampung saya, isteri saya mengingatkan tentang ayam tersebut. Kami terus ke rumah Pak Hud. Isteri saya tak masuk sebab sudah agak lewat malam.

“Nak ambik ayam Mak Yah” ujar saya sejurus Mak Yah muncul dari dalam pintu. “Kena tangkap dulu la, kamu nak berapa ekor?” Jawabnya. “Mak Yah cuma ada tiga ekor. Semalam si Nor nak juga tapi tak tahu berapa dia nak” sambungnya tanpa menunggu jawapan saya berapa saya nak. Saya tak pasti sebenarnya berapa saya nak beli. Niat saya lagi banyak saya beli lagi banyak duit mereka berdua dapat untuk bulan puasa dan persiapan hari raya.

Mendengar ucapannya saya jadi serba salah kerana bimbang saya akan membeli sesuatu yang telah ditempah oleh orang lain yang hukumnya berdosa. “Patutlah siang tadi dia seperti agak keberatan untuk memberi ayamnya kepada saya”. Fikur saya sejenak sebelum memutuskan, “Kalau begitu tak apalah Mak Yah. Lain kalilah saya beli ayam kampung Mak Yah” ujar saya kemudian bersalam dengan Pak Hud sambil memberinya sejumlah wang. 

Pak Hud yang sedari tadi berbaring di atas sofa lama kerana sakit kepala dan kurang sihat katanya terus bangun sambil meminta lampu suluh daripada Mak Yah. Keadaannya yang kurang sihat tampak daripada kedua keningnya yang bertampal koyok. Dengan lampu suluh besar dan terang dia terus berjalan ke belakang rumah di mana reban ayamnya terletak. Saya mengikut dari belakang. Seekor ayam kampung jantan lingkungan dua kilo setengah berjaya ditangkap. 

Anak sulung Pak Hud bernama Buang yang tinggal di sebelah rumah Pak Hud keluar rumah mendapatkan kami apabila mendengar bunyi ayam ditangkap. Saya yang memegang lampu suluh terus sahaja meminta Buang sepupu saya yang bertugas sebagai bilal masjid untuk menyembelih ayam yang ditangkap Pak Hud mengguna pisau yang telah berada di tangan Mak Yah bersama plastik karung beras. Setelah sah mati ayam yang disembelih Buang, Pak Hud memasukkannya ke dalam plastik karung beras untuk saya bawa balik Shah Alam malam itu juga. 

Sampai di rumah pukul satu setengah malam terpaksalah saya mencabut bulu ayam kampung sebelum menjadi bangkai. Telah berpuluh tahun saya tidak buat kerja yang selalu saya buat masa remaja dahulu. Tidak mudah rupanya buat kerja yang telah lama tidak dibuat. Itupun tidak siap sehingga dipotong kecil untuk dimasak masa sahur kerana jam sudah 2.30 pagi. Perlu tidur untuk bangun semula sebelum tahajud dan sahur. 

Sedikit penilaian

Pak Hud bapa saudara saya telah mengamalkan prinsip orang Jawa “Tuku Arep Adol Gelem” seperti ditulis oleh Profedor Doktor Noriah Muhamad dalam bukunya Jawa Di Balik Tabir. Prinsip “Beli hendak jual mahu” ini bermaksud jual beli sesuatu barang berlaku dengan harmoni apabila yang membeli berkehendak kepada barang itu dan yang menjual mahu menjualnya. Tanpa kehadiran kehendak pembeli untuk membeli dan kemahuan penjual untuk menjual sesuatu barangan, jual beli sukar dilaksanakan. Jika dilaksanakan jua, sudah tentu suasana tidak harmoni berlaku. Selalunya, terutama dalam masyarakat Jawa, prinsip tuku arep adol gelem diikuti dengan masing-masing cuba sedaya upaya untuk memuaskan hati antara satu sama lain. Penjual akan memastikan barang yang hendak dijual yang paling baik agar pembeli seronok dan puas hati mendapat apa yang dihajatinya. Pembeli pula cuba sedaya upaya memastikan agar penjual menerima keuntungan yang besar dari jualannya atau sekurang-kurangnya penjual tidak rugi.

Untuk itu Pak Hud telah memilih ayam kampung jantan yang terbaik untuk saya dan keluarga makan. Ayam tersebut tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda tapi cukup besar untuk disembelih dan dagingnya enak dimakan. Lebih-lebih lagi saya adalah anak saudaranya dan anak-anak saya seperti cucunya juga, sudah tentu tidak rugi dia pilih ayam terbaik daripada tiga ayam yang ada.

Sayapun tidak mahu kalah dengannya. Sambil bersalam dengan Mak Yah masa minta diri nak balik hampir 11.00 malam itu saya sertakan sejumlah wang yang sama dengan yang saya beri kepada Pak Hud di tapak tangannya. Dia terkejut “Kan tadi dah bagi”, saya jawab, “Gunakan duit ni untuk beli anak ayam biar banyak lagi pelihara ayam kampung” dalam nada gurau. Sudah tentu gurauan saya semata-mata gurauan kerana nak raya takkan nak beli anak ayam untuk dipelihara. Namun guruan itu ada makna yang saya sembunyikan di sebaliknya agar tidak menampakkan bahawa mereka terdesak wang bagi keperluan puasa dan hari raya. Mereka bukan orang miskin dan bukan juga orang kaya. Anak-anaknya bekerja walaupun bukan dengan pendapatan yang besar. Saya lihat kesemua anaknya hidup bahagia dalam kesederhanaan.

Dalam kereta saya bukan sahaja berbual dengan isteri saya tentang kebaikan Pak Hud untuk menghilang rasa mengantuk sambil memandu malah berdoa dalam hati agar muamalah kami dengan Pak Hud diberkati Allah. Memang benar bila kami berbuka puasa petang  semalam, cucu saya kata “Atok, Aufa makan kekenyangan”. Saya tersenyum kerana dia bukan sahaja suka makan ayam kampung dari kampung malahan saya yakin ada keberkatan pada daging ayam kampung walaupun hanya digoreng semata.

Semoga Pak Hud dan Mak Yah terus diberi kesihatan yang baik hidup bahagia dunia akhirat. Diampunkan dosanya dan dimurahkan rezekinya. Dialah satu-satunya saudara kandung ibu saya yang masih ada di dunia. Rumahnya sentiasa saya ziarahi setiap hari raya idul fitri setiap tahun. 

12 Ramadhan 1438

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s