Tips menjaga orang tua

Sama ada orang tua itu ibu, bapa atau suami atau isteri yang sangat rapat dengan kita pasti anda mendapati sukar menjaganya apabila mereka telah mengalami perubahan atau kemerosotan kesihatan terutama kesihatan berfikir. Fahami ciri-ciri kemerosotan berfikir orang tua dan seterusnya cara menghadapi serta mengatasinya.

Kemerosotan berfikir orang lanjut usia boleh jadi nyanyok, alziemer atau dimentia. Kesemuanya selalu dikaitkan dengan keadaan lupa yang sama ada bersifat sementara atau kekal. Sama ada yang sedikit atau sederhana atau melampau. Dia mungkin masih kelihatan sihat tubuh badan dan mampu bertutur dan berbual dengan jelas sebutan perkataannya tetapi sering kali

– mengulang pertanyaan
– menyebut perkara yang sama berulang kali
– mencari atau meminta sesuatu yang dipegang atau di depan matanya atau diletakkan di tempat yang dia lupa
– tidak kenal orang walaupun dia telah biasa dengannya seperti anak, isteri dan adik beradiknya sendiri
– mengajak balik rumah sedangkan dia ada di rumahnya sendiri
– tiba-tiba menyatakan atau menanyakan sesuatu atau seseorang yang tiada di sisinya seperti “Mana perginya sianu tadi. Ajak dia makan” sedangkan orang yang dinyatakan atau ditanyakan itu sudah meninggal dunia atau tidak mungkin hadir dalam hidupnya seperti pelakon atau penyanyi terkenal
– bercakap sendiri seolah-olah ada orang di depannya yang diajak berbual

Fenomena seperti itu pastinya menyukarkan orang-orang di sisinya atau orang yang menjaganya. Jika soalan yang sama diulang berkali-kali boleh menyebabkan orang yang ditanya rimas atau marah sedangkan memarahi orang tua terutama ibu atau bapa atau suami satu dosa. Pernyataan atau soalan berulang-ulang itu adalah disebabkan kegagalan fungsi otak untuk menyimpan ingatan perkara yang telah diucap atau ditanya.

Menyebut perkara yang sama berulang kali dalam perbualan pastinya boleh menyebabkan orang yang diajak berbual jemu dan memandang serong terhadap orang tua itu. Ada yang menganggap orang tua itu gila atau nyanyok atau tak betul sedangkan dia hanya lupa yang sama sekali jauh berbeza dengan gila. Nauzubillah min Zalik.

Tidak mengenali orang yang sangat rapat atau menyangka orang lain boleh mendatangkan bahaya atau aib. Ada yang menyangka isteri sebagai ibunya atau anak atau orang lain sebagai suami atau isteri. Jika sangkaan sahaja tanpa perbuatan atau tindakan masih tidak mengapa namun jika diikuti perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan di hadapan orang yang diajak berbual tentu mendatangkan bahaya dan aib.

Otak kita mempunyai jutaan neuron yang menyimpan ingatan terdiri daripada data, fakta, maklumat, pengalaman dan ilmu yang dikumpul sejak puluhan tahun kita hidup. Neuron-neuron itu akan berhubung antara satu dengan lain dengan bantuan hormon-hormon seperti serotonin, melotonin dan sebagainya untuk membolehkan kita mengingat perkara yang kita alami yang telah berlalu sama ada jangka pendek atau jangka panjang.

Orang tua lebih kerap mengingat perkara yang telah lama berlaku seperti 30 atau 40 tahun yang lepas. Hal ini menyebabkan

– dia selalu mengulang cerita lama semasa dia muda atau semasa sihat.
– orang yang dihadapannya disangka orang lain yang seiras dengan orang yang dikenali puluhan tahun dahulu. Sebab itu isteri disangka ibunya atau anak lelaki yang sudah berumur disangka bapanya.
– rumah yang didudukinya sekarang bukan rumahnya kerana dalam ingatannya rumahnya adalah rumah 30 tahun dahulu. Sebab itu dia minta dibawa balik ke rumahnya ketana rumah yang diduduki sekarang dianggap bukan rumahnya. Kadang-kadang dia menganggap rumah itu rumah jiran yang menyebabkan dia nekad pergi sendiri berjalan kaki atau mengesot untuk ‘balik’ setelah puas minta balik tapi tidak dihiraukan. Akibatnya dia akan terus berjalan mencari rumah yang tiďak mungkin ditemui. Keadaan ini sangat bahaya terutama di waktu malam ketika orang lain sedang tidur. Kes orang tua yang hilang dari rumah berhari-hari selalu disebabkan perkara ini.

Otak orang tua yang telah tidak aktif dengan aktiviti membaca, berfikir, zikir, wirid, berkarya, berwacana dan menyelesaikan masalah yang rumit kerana masalah keuzuran fizikal mempunyai neuron yang juga tidak aktif yang gagal menyimpan ingatan jangka pendek. Atau boleh jadi juga simpanannya tidak srmpurna untuk diambil semula (retrieved). Hal ini menyebabkan apa yang dilihat, dirasa, didengar atau dialami sebentar tadi terputus atau tidak dapat diolah untuk ingatan seterusnya. Contohnya sebentar tadi dia menonton drama tv lakonan Fauziah Nawi. Figur Fauziah Nawi tersimpan dalam ingatan secara tidak sempurna dan terputus daripada ingatan seterusnya. Hal ini menyebabkan sangkaan bahawa Fauziah Nawi masih ada di rumahnya. Sebab itu dia tanya tentang Fauziah Nawi dan minta diajak masuk rumah atau ajak makan.

Orang tua yang mengalami alziemer atau dimentia ada juga yang bercakap sendiri atau marah-marah tanpa sebab yang difahami oleh orang lain. Hal ini mungkin disebabkan setelah puas mengingat atau berfikir perkara yang dia sudah lupa atau mencari jawapan mengapa orang lain seperti tidak faham apa kehendaknya dia jadi penat, tidak boleh tidur kerana gagal mengikuti peredaran masa seharian. Dia menjadi murung, kecewa, putus asa dan mahu meluahkan masalahnya kepada orang lain atau kepada dirinya sendiri. Sebab itu bercakap sendirian terutama pada waktu malam ketika orang lain tidur atau ketika tiada orang lain di rumah.

Berikut antara tips menjaga orang tua yang telah mengalami dimentia.

1. Jangan dibiarkan dia berseorangan lebih-lebih lagi jika dia masih boleh berjalan. Pernah berlaku kejadian seorang perempuan tua keluar dari rumah dan dijumpai oleh orang awam pada pukul 4.00 pagi Jumaat di jembatan tidàk jauh dari rumahnya sedangkan anak dan keluarga yang menjaganya baru sahaja tidur kira-kira pukul 2.30 pagi.

2. Jangan biarkan orang tua dalam keadaan marah, rungsing, kecewa dan merasa apa kehendaknya tidak dituruti. Lebih baik kita benarkan apa yang diperkatakan walaupun tidak betul. Contohnya jika ditanya mana Fauziah Nawi tadi katakan sahaja sudah balik. Atau jika tiba-tiba dia tanya mana roti canai yang dia minta sedangkan dia tidak minta pun beritahu sahaja sebentar lagi. Jangan sekali-kali cakap mana mak ada mintak. Apatah lagi beritahu mana nak cari roti canai malam begini. Lebih baik minta dia tidur dulu atau rehat dulu sementara buat atau beli roti canai. Carilah apa-apa alasan pun mengapa lambat beri. Dia akan lupa permintaannya sebentar sahaja.

3. Jika dia minta nak balik rumah cuba terangkan dengan halus dan sopan bahawa rumah itu ialah rumahnya. Walaupun hal ini amat sukar dan sering menyebabkan kita hilang sabar namun sentiasa minta pertolongan Allah untuk mengatasinya. Cuba bantu dia mengingat keadaan rumahnya dua tiga puluh atau empat puluh tahun dahulu. Tanyakan dia bentuk rumahnya masa dia baru kahwin, siapa jirannya, ada tak buat penambahan dan lain-lain berkenaan rumajnya. Ambil masa bawa dia bersiar-siar di srkeliling rumah sambil bertanya hal-hal berkaitan rumahnya mengikiut ingatannya.

4. Selagi masih ada daya upaya dan orang yang boleh diharap jangan hantar orang tua ke rumah jagaan orang tua. Lebih baik upah orang yang dipercayai dan berpengalaman atau punya ilmu yang dipanggil gerontology menjaga orang tua di rumah kita sendiri daripada dihantar ke rumah orang tua.

5. Selagi boleh dikawal tidak perlu bagi ubat seperti ubat penenang atau ubat tidur. Jika perlu hendaklah dengan preskripsi doktor. Kasihan orang tua yang diberi ubat tidur tanpa atau fengan preskripsi yang salah akan tidur dalam tempoh yang panjang.

6. Berhubung dengan solat ada orang tua yang masih boleh melakukan solat dengan bacaan-bacaan yang betul kerana solat telah dilakukan puluhan tahun. Cuma dia seringkali lupa waktunya, bilangan rekaat, arah kiblat dan perubahan dari satu rekaat ke rekaat yang lain. Oleh itu lebih baik ada pembimbing di sebelahnya semasa orang tua solat. Lebih baik juga minta dia terus solat setelah berwudhu kerana dia mudah lupa tentang batal atau belum.

7. Orang tua sering mengalami masalah buang air kecil atau besar. Dia kadang-kadang bukan sahaja lupa di mana bilik air di rumahnya sendiri malah tidak sedar pun telah terkencing atau terberak dalam kain. Oleh itu elok diperingatkan selalu untuk dia buang air dan sediakan bilik air yang mudah dicapai bila-bila masa. Elok jika lampu bilik air sentiasa terpasang supaya mudah baginya sampai. Jika boleh ataj petlu pujuk dia memakai lampin orang tua yang banyak di pasaran. Beritahu kelebihannya.

8. Jaga kebersihan diri daripada najis dan kotoran yang boleh mendatangkan penyakit terutama yang melibatkan kulit san pernafasan. Sentiasa mandikan orang tua dengan sabun atau pencuci yang sesuai. Jika dia sudah tidak boleh betjalan atau bergerak boleh sediakan pangkin beroda untuk memudahkan digerakkan dan dimandikan. Berhati-hati jika dia mengalami osteoporosis (reput tulang) dan luka atau kudis.

9. Elakkan mengangkat mengguna kudrat tanpa sokongan alat dan cara yang betul walau untuk apa pun tujuannya. Penjaga orang tua perlu menjaga kesihatan dan keselamatan diri daripada mengalami kecederaan semasa mengurus orang tua. Namun kita masih perlu menghormati kebajikan orang tua yang kita jaga.

10. Sentiasa perbaharui ilmu tentang penjagaan orang tua. Dapatkan bantuan dalam apa bentuk sekalipun daripada mana-mana pihak untuk menjaga orang tua.

Besar pahala orang yang menjaga orang tua. Sebaliknya besar juga dosa orang yang mensia-siakan apatah lagi menganiaya. Allah memberi sebesar-besar ganjaran kepada orang yang berbakti kepada orang tua baik siapa pun dia dengan kita. Di dunia lagi kita boleh lihat balasan Allah kepada orang yang menjaga orang tua. Beruntunglah orang yang diberi peluang menjaga orang tua.

Dr Jamil Adimin
Shah Alam
31 Disember 2019

Kepimpinan Pembelajaran

Seorang pembaca blog saya telah menghantar email bertanya tentang tajuk di atas. Berikut jawapan saya untuk menjelaskan persoalannya.

Assalamualaikum wbt.

Terima kasih kerana membaca blog saya. Setelah bersara sejak 2016 agak jarang menulis dan membaca. Jawapan saya kpd soalan anda juga tanpa merujuk terlebih dahulu mana2 buku. Apa yg keluar dari ingatan dan kefahaman semata2.
Bagi saya learning leadership adalah nama lain lagi instructional leadership. Jika kita mendalami konsep instructional leadership kita dapati pemimpin sekolah atau pemimpin pendidikan yg stail kepimpinannya adalah ke arah mempromosikan atau memperbaiki pembelajaran murid.
Bagi saya instruction (pengajaran) dan learning (pembelajaran) adalah two sides of a coin. Tidak bererti suatu pengajaran jika tidak mendatangkan natijah kepada pembelajaran murid. Jadi kepimpinan instruksional tidak membawa apa2 erti jika pemimpin itu gagal dalam memahami pembelajaran murid.
Begitu juga pentaksiran yg gagal untuk menyebabkan pembelajaran murid diperbaiki pentaksiran itu gagal memainkan peranannya. Sebab itu ada pakar yg berhujah pentaksiran mestilah untuk pembelajaran (assessment for learning).
Kepimpinan pembelajaran seperti kepimpinan instruksional adalah cabang ilmu dalam kepimpinan dimana fungsinya adal!h untuk melahirkan pemimpin yg peka dan mahir tentang pembelajaran murid.
Pemimpin itu akan mendalami ilmu dan kepakaran dalam teori, kaedah, metodologi, prinsip dan gaya pembelajaran murid yang berkesan (effective learning) mengikut trend seperti pembelajaran inkuiri, problem based learning project based learning dan pembelajaran abad ke21.
Mereka juga mendalami dan berupaya mengguna falsafah pembelajaran yg pelbagai. Misalnya bila hendak guna behaviorism, constructivism, cognitivism dll falsafah yg ada.
Allahu ‘alam
Jamil Adimin
Shah Alam
6.20 pm
24 Oktober 2019

Diet Plan

Seorang sahabat dalam grup sekolah menengah saya bertanya bagaimanakah diet plan saya yang menurutnya ada kesan apabila melihat saya melalui gambar dan cerita pemakanan seharian saya. Saya kongsikan di sini permintaannya supaya mudah saya menjelaskannya.

Sebenarnya tidaklah berjaya sangat usaha saya seperti dakwaannya tetapi adalah sedikit kesan yang dapat saya rasai. Saya bukanlah pakar pemakanan atau pengamal perubatan bertauliah. Saya hanya mengikut nasihat pakar dan common sense tentang pemakanan dan kesihatan.

Sebelum bersara dalam usia awal 50an paras kokestrol saya telah mencecah 7.00. Doktor menasihatkan saya mengambil ubat. Namun saya minta izin tangguh dengan berjanji mencuba cara lain dan mengawal pemakanan saya. Saya mengambil ubat herba dan suppliment termasuk minyak ikan, teh misai kucing, daun pegaga dan peria katak. Paras gula dalam darah saya masa tu masih ok. Jadi saya tidak jaga pemakanan. Habit makan saya langsung tidak berubah. Pantang jumpa makanan sedap ambil sepuasnya. Lebih-lebih lagi bila outstation dalam dan luar negara. Saya suka mencuba makanan-makanan yang tidak pernah saya makan sebelumnya. 

Selang beberapa bulan saya periksa darah lagi. Tahap kolestrol dan gula saya bukan turun malah naik masing-masing kolestrol 7.3 dan gula 6.9. Doktor memberi tahu saya ‘don’t try to play the fool with your health’. Saya jadi takut dan akur dengan nasihatnya untuk mengambil ubat statin (untuk kolestrol), aspirin (untuk vair darah) dan metformin hydrochloride (untuk kencing manis).  

Namun tahap tekanan darah saya afalah normal. Begitu juga tiada tanda saya mengalamai masalah lain seoerti prostat dan cancer. Mungkin kerana saya tidak merokok sejak kecil. Walaupun doktor mengatakan saya tidak mengidap kencing manis dan salur darah tersimbat oleh kolestrol saya telah menjadi geng pengidap kencing manis. Biar berjaga jangan sudah terkena baru nak ambil ubat katanya. Maka setiap malam sebelum tidur saya mengambil tiga jenis ubat itu selama hampir lima tahun. 

Setelah bersara pada 2016 saya membeli alat pengukur tahap gula dalam darah, tahap kolestrol, denyutan jantung (pulse) dan bacaan blood preasure sendiri. Saya semak empat bacaan asas tahap kesihatan secara agak regular. Saya dapati bacaan gula dan kolestrol saya tidak banyak berubah – tidak terlalu tinggi dan tidak rendah sebagaimana sepatutnya. 

Sementara itu saya banyak membaca dan mengikuti nasihat pakar pemakanan untuk menjaga kesihatan. Saya ikuti nasihat untuk mengambil makanan sunnah iaitu mengambil lebih banyak makanan yang bersifat alkali dan mengurangkan makanan berasid. Mula-mula saya ganti nasi beras putih dengan beras perang. Kemudian saya tukar pula kepada oat. Oat yang saya ambil ialah jenis rolled oat, bukan jenis instant atau quick cook. 

Rolled oat yang saya ambil perlu dimasak seperti masak bubur dalam jangka masa agak lama bukan sekadat dimasukkan dalam air panas atau dimasak sebentar tak lebih 2 minit. Bubur oat tersebut setelah masak dicampur pula dengan sayur-sayuran tidak kurang tiga jenis sebelum diangkat. Selalunya saya guna sayur sunnah juga iaitu sayur hijau, lobak merah, cendawan, brokoli, bijirin, serbuk kayu manis (cinamon) dan kekacang. Sebelum makan saya campurkan sedikit minyak zaitun. Saya guna garam bukit. Saya amalkan makanan tersebut sebagai main dish saya seperti makan tengahari dan makan malam. 

Untuk sarapan pagi saya mengambil talbinah iaitu makanan orang Arab yang juga menjadi makanan sunnah. Talbinah ialah bubur barli yang dimasak dicampur susu atau santan kelapa. Ada dua cara memasak talbinah sama ada dimasak barli bersama susu kemudian diblend atau barli dikisar mentah terlebih dahulu baru dimasak bersama susu. Ada juga dijual tepung atau serbuk barli untuk membuat talbinah tapi agak sukar mencarinya.

Talbinah sedap dimakan begitu sahaja selepas dimasak atau dicampur sama ada kurma atau kismis atau madu sebelum dimakan. Talbinah baik untuk orang yang sihat atau orang yang kurang sihat. Boleh juga diambil dengan apa-apa bijian (seed) seperti habbatussauda (black seed) atau sesame seed atau chia seed atau biji selasih. Bijian-bijian itu boleh juga dibuat minuman.

Saya tidak mengambil minuman atau makanan bergula. Sebaliknya saya minum sama ada air lemon atau air halia atau teh cina. Jika ketiga-tiga bahan itu tiada saya akan hanya minum air suam atau air mati. Jika memesan minuman di restauran atau di tempat kenduri saya memilih air suam atau teh O atau kopi O kosong. Saya sudah lama tidak minum teh susu atau teh tarik dan minuman botol atau air kotak.

Saya tidak makan daging sama ada daging merah atau putih kecuali sangat sedikit. Terutama apabila makan di luar atau di tempat kenduri. Hal ini selaras dengan sunnah Nabi yang tidak mengharamkan daging atau sumber protin dan lemak daripada haiwan yang asidik sifatnya kerana dalam makanan yang saya ambil telah ada kabohidrat, protin dan lemak daripada tumbuhan.

Oleh kerana saya ada alat mengukur gula dan kolestrol sendiri, saya kerap menyemak tahap gula dan kolestrol saya. Saya dapati dengan tabiat pemakanan sedemikian tahap kolestrol saya terutamnya telah turun ke paras 4.3, 4.5 dan tidak lebih 5.2 walaupun saya tidak lagi mengambil ubat. Paras gula dalam darah saya kekal sekitar 6.4 hingga 6.9. Saya dapati paras gula saya agak sukar untuk turun di bawah 6.2. Namun yang agak melegakan ialah walaupun kadang- kadang saya makan atau minum bergula dua tiga jam selepaa itu bacaan gula saya sekitar 6.9 sahaja. Doktor kata ok tu.

Oh ye saya juga suka makan buah dan makanan berubi seperti keledek dan root beet. Saya minum madu seperti minum air dalam cawan lima atau enam teguk. Bukan seperti minum ubat dengan sudu. Hal ini seperti disaran Nabi supaya MINUM lah madu untuk menjadi ubat.

Ulam-ulaman juga baik untuk kesihatan. Selalunya saya ambil ulam raja, daun pegaga, tenggek burung atau daun selasih. Kunyit segar juga saya gemar makan sebagai ulam. Kunyit adalah antara empat makanan yang baik sebagai penahan dan penyembuh sakit terutama luka dan kesakitan berkaitan saraf. Empat makanan itu ialah kunyit, betik, walnut dan nanas terutama empulurnya. Maklumat ini saya dapat daripada buku ‘The 7-day back pain cure’ oleh Jesse Cannone.

Macak Magang Mangkreng

Semalam saya menulis dalam fb saya tentang falsafah jawa mengenai kepimpinan yang timbul daripada fikuran saya sendiri. Ramai yang tidak faham maksud di sebalik falsafah tersebut. Pertama kerana dalam bahasa Jawa. Kedua kerana ia tidak pernah dibincang di mana-manapun sebelum ini.

Saya katakan apabila seseorang telah diberi amanah untuk menjadi ketua atau memimpin, dia hendaklah ‘macak’, ‘magang’ dan ‘mangkreng’. Tiga perkara itu bukanlah keseluruhan amal yang melengkapi ciri seorang pemimpin yang berjaya. Mungkin ada ciri atau sifat lain yang diperlukan tetapi tiga perkara tersebut saya fikir hendaklah dilakukan oleh pemimpin, baik di peringkat mana pun.

Macak bermaksud menyesuaikan atau menggayakan dirinya sebagai pemimpin. Pemimpin berbeza daripada pengikut atau penerima khidmat daripada kepemimpinannya dalam banyak hal dan sudut pandang. Gaya dan pembawaan diri seorang pemimpin mesti dilihat berbeza daripada sebelum dia menjadi pemimpin atau dengan orang lain yang sedang dipimpinnya atau yang diwakilinya.

Perbezaan macak antara sebelum dan selepas menjadi pemimpin atau antara dirinya dengan orang lain tidak semestinya ditunjukkan dengan cara berpakaian, berjalan, bertutur dan berlagak sombong, angkuh, menunjuk-nunjuk dan memaksa-maksa orang lain mengiktiraf atau menghormatinya sebagai pemimpin. Dia cukup hanya dengan menyusun tutur kata yang sopan, merendah diri, simpati dan empati mendengar permasalahan pengikut dan cuba untuk memberi khidmat sedaya upaya.

Pemimpin perlu macak sebagai pemimpin dan tidak sebaliknya. Jika dia pemimpin kerajaan tidak bolehlah dia macak macam pemimpin pembangkang. Jika dia pemimpin organisasi agama tidak sesuailah dia macak seperti pemimpin atau aktivis organisasi yang perjuangannya bertentangan dengan norma agama.

Lebih malang lagi jika dia gagal untuk macak sebagai seorang pemimpin sebaliknya gaya, tindak-tanduk dan pembawaan dirinya tidak ubah seperti dia bukan siapa-siapa. Dia seharusnya bukan sahaja ada ilmu dalam subjek kepimpinannya malah mampu mengamal ilmu tersebut.

Orang yang boleh mengamal ilmu mengikut apa yang dia macak dipanggil magang. Setelah macak dengan jawatan yang disandangnya, pemimpin tidak boleh mengatakan dia tidak tahu atau tidak sedia melakukan perubahan atau menyelesaikan masalah yang dihadapi walau apapun alasanya. Dia tidak boleh membiarkan perkara-perkara yang mrnyentuh kepimpinannya tanpa penyelesaian. Dia juga tidak boleh melakukan kesilapan dalam pemagangannya. Jika demikian nanti dia boleh dikata “Orak iso kok magang” atau secara maknawinya tidak tahu mengapa sanggup menerima jawatan itu. Bagi orang awam tidak boleh buat atau salah apa yang dibuat bererti kamu tak tahu atau tidak layak jawatan tersebut.

Di universiti-universiti di Indonesia, mahasiswa yang akan menamatkan pengajian diwajibkan mengikuti latihan praktikal selama beberapa bulan bekerja di lapangan pekerjaan yang berkaitan dengan pengajian diikutinya. Mereka tidak dibayar gaji atau diberi elauan kerja yang tidak setimpal dengan kerja yang dibuatnya. Pekerjaan mereka fipanggil magang. Magang dalam konteks tersebut sama seperti latihanindustri atau housemanship atau internship. Ia adalah dengan tujuan untuk memastilan mereka boleh mengamalkan ilmu yang dipelajari atau dimiliki atau yang diyakini.

Saya ingin mencadangkan pemimpin tidak cukup sekadar macak sebagai pemimpin tetapi diwajibkan mengikuti latihan magang sebelum magang semasa dalam kepimpinannya. Magang yang salah atau tidak tepat atau yang negatif hasilnya semasa memimpin bukan sahaja menyebabkan dia dipandang hodoh malahan akibatnya mungkin sampai ke peringkat fatal kepada organisasi, pengikut dan masyarakat.

Setelah macak dan magang dengan betul, seorang pemimpin hendaklah mangkreng dengan dengan keputusannya. Mangkreng bermaksud ‘firm atau tegas atau tidak berganjak. Magang yang berubah-ubah atau yang tidak dapat diterima atau disepakati oleh pengikut atau sesama pemimpin atau kadang-kala dipanggil flip-flop menyebabkan hilang keyakinan. Susah untuk memperbaiki.

Sesetengah pemimpin lebih gemar mangkreng dengan keputusan magangnya walaupun dia sendiri kurang pasti apakah keputusan itu salah atau betul. Sebaik-baiknya sebelum magang dengan keputusan yang diambil dia perlu membuat kajian untuk memperoleh maklumat bagi membuat keputusan dan memagangi tindakan yang hendak dilakukan. Bagi pemimpin yang banyak pengalaman dan luas bacaan serta berwarna-warni liku-liku hidupnya sebagai pemimpin dia boleh magang tanpa perlu mengumpul maklumat yang banyak dan lama untuk membuat keputusan. Pemimpin ini boldh mangkreng dengan keputusannya kerana dia pengamal “Leadership Beyond Reason”.

Misi Dakwah dan Kebajikan Kampung Nahaba Kota Belud

Alhamdulillah misi dakwah dan kebajikan di Kg Nahaba Kota Belud Sabah dari 25 hingga 29 Oktober 2018 telah berlangsung dengan jayanya.  Misi ini saya sertai buat pertama kali setelah saudara Haji Mohd Razali Moksim selaku Pengarah projek mengajak dan menggalakkan saya menyertainya. Misi ini dianjurkan oleh Pusat Dakwah Serantau (PDS) iaitu sebuah intitusi pendidikan dan latihan di bawah Yayasan Amal Malaysia (YAM). 

Misi ini disertai 32 orang ahli dan bukan ahli YAM yang menjadi sukarelawan amal melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada kepada kumpulan sasar yang memerlukan. Kami menggunakan tenaga dan peruntukan kewangan sendiri tanpa penajaan mana-mana pihak. Misi seperti ini banyak dilakukan oleh PDS dan YAM bukan sahaja di Sabah dan Serawak malahan di negara-negara ASEAN, Afrika, Australia dan New Zealand.

Dua tahun lepas kumpulan ini telah ke kampung ini mengislamkan beberapa orang penduduk termasuk padri (pastor) yang kemudian berjaya dibawa ke PDS di Sungai Merab Selangor untuk menerima pendidikan Islam dan latihan dakwah selama dua tahun. Setelah menamatkan kursua dan latihan mereka dihantar semula ke kampung masing-

Beberapa siri lawatan susulan telah diadakan ke kampung-kampung yang telah didatangi sebelum itu termasuk Kampung Nahaba.  Mereka telah membuka tadika dan kelas fardhu ain untuk kanak-kanak mualaf. Sekarang terdapat seramai 23 orang kanak2 Islam di dalam kelas tersebut. 

Ada penduduk yg wakafkan tanah untuk surau dan kuburan. Jadi kami adakan ziarah berkala untuk memastikan keislaman mereka berkekalan disamping usaha menarik penduduk lain yg masih kristian. Alhamdulillah sambutan positif. Kami berkunjung ke rumah padri dan jemput dia ke program kami.

Pendidikan Rendah di Malaysia: Masihkah Sejajar dengan Falsafah dan Matlamatnya?

Pendahuluan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang telah bertapak di dalam sistem pendidikan di Malaysia sejak 1983 jelas menunjukkan halatuju pendidikan di Malaysia iaitu untuk memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Tidak cukup dengan itu kita hendak melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Continue reading

Memahami Budaya Hidup Orang Jepun


Banyak telah diceritakan orang tentang sikap dan ciri murni orang-orang Jepun sejak lama lagi. Ada yang mengatakan sikap dan amalan baik mereka jauh mengatasi amalan baik orang-orang Islam. Mereka dikatakan mengamal ajaran Islam yang nulia lebih daripada orang Islam sendiri.
Tulisan ini dikutip daripada Ms Ai yang menjadi pemandu pelancong saya semasa lawatan ke Jepun bersama Rayhar dari 1 hingga 7 Disember 2017. Beliau beasal dari Bandung Indonesia telah tinggal di Osaka Jepun sejak 25 tahun. Beliau bukan sahaja belajar malah bekerja di Jepun sebagai pengajar Bahasa Indonesia, penterjemah dan pemandu pelancong. Beluau sangat memahami  budaya dan cara hidup orang Jepun.

Berikut antara budaya dan sifat murni orang-orang Jepun seperti diceritakan oleh Ai melalui pengalaman hidup beliau bersama keluarga dan masyarakat Jepun selama 25 tahun. Diharap tulisan ini bukan sahaja menjadi panduan kita apabila berada di Jepun malah menjadi pedoman hidup sehari-hari di mana sahaja berada.

Kemajuan Teknologi dan tradisi lama

Walaupun Jepun maju dalam bidang Sains dan teknologi, budaya dan cara hidup tradisional amalan mulia yang kekal turun temurun menjadi kebanggaan mereka. Malahan kemajuan sains dan teknologi, komputer dan dunia cyber diguna untuk mengukuhkan lagi amalan nilai murni dan budaya tradisional mereka. Contohnya, tandas yang dilengkapi pelbagai peralatan elektronik seperti pemanas tempat duduk, pemancut air intinjak selepas buang air kecil dan besar yang berasingan dan muzik hanya didapati di Jepun.

Kemajuan sains, teknologi, komputer dan cyber di Jepun bergerak seiring dengan pengekalan nilai murni seni dan budaya tradisi dalam kehidupan seharian di rumah, tempat kerja atau tempat awam. Contohnya, rumah, pakaian, makanan, permainan, muzik dan seni tradisi lain masih boleh ditemui dengan mudah di mana-mana di Jepun.

Menghormati Orang Lain

Orang Jepun sangat menghormati orang lain tanpa mengira usia, traf sosio ekonomi, sesama mereka atau kepada tetamu dan di mana sahaja berada. Untuk bekerja mereka perlu ada sop. Walaupun bertugas untuk tempoh singkat perlu latihan khusus. Banyak bahasa sapaan dengan mimik muka dan intonasi suara bersopan dan mesra.

Umpamanya cashier di pasaraya atau kedai-kedai yang menjadi tumpuan pelancong atau kedai biasa akan mengucapkan kata-kata yang agak panjang bukan sahaja untuk mengucapkan terima kasih malahan untuk memastikan pembeli puas hati dengan barang yang dibeli dan mendapat wang baki bayaran yang cukup.

Sangat menghormati perempuan

Lelaki Jepun sangat menghormati orang perempuan tanpa mengira usia. Mereka tidak menyentuh perempuan sesuka hati sama ada di khalayak ramai atau sebaliknya. Hal ini kerana perempuan Jepun sangat menjaga kehormatan diri. Apabila di dalam lif atau bas atau keretapi, anda hendaklah menjaga tingkah laku. Jangan sekali-kali biarkan tangan anda terlepas dari pegangan anda sendiri sehingga menyebabkan perempuan Jepun yang berada berdekatan anda terasa seperti disentuh atau diraba. Anda boleh masuk penjara atau didenda apabila dia menjerit.

Perempuan Jepun tidak selesa disentuh mana-mana bahagian badannya terutama oleh orang yang tidak dikenali atau belum biasa dengannya. Mereka dilindungi oleh undang-undang. Maka berhati-hatilah anda apabila berada di Jepun.

Budaya Selamat

Orang Jepun mengamalkan budaya selamat. Negara Jepun dikatakan negara paling selamat di dunia.  Anda boleh berjalan dengan selesa dan selamat di Jepun walaupun di tengah malam. 

Jenayah sangat kurang berlaku di Jepun. Jika ada kejadian jenayah walaupun kecil besar maknanya bagi orang Jepun. Berita mengenainya akan keluar di akhbar dan television. Jika anda mengambil barang yang bukan milik anda secara tidak sah dan ditangkap kemungkinan beritanya keluar di media awam.

Barang tercicir boleh jumpa semula.

Orang Jepun sangat mengambil berat barang, terutama yang berharga, yang tercicir atau tertinggal di mana-mana tempat yang mereka jumpai. Mereka akan sedaya upaya mencari pemilik barang tersebut. 

Jika dompet duit anda tercicir di mana-mana tempat pun kemudian ditemui orang Jepun anda punya peluang besar untuk dapat semula dompet tersebut. Orang Jepun tidak akan mengambil barang yang bukan miliknya.

Mengambil berat orang selepasnya 

Apabila mengguna kemudahan awam atau apa sahaja kemudahan yang diguna secara bersama, orang Jepun selalu mengambil berat kebajikan atau keselesaan orang yang akan menggunakannya selepas itu. Contohnya apabila mengguna tandas awam, orang Jepun pasti mengguna dengan betul, tidak mengambil masa yang lama, membersihkan daripada kotoran, sampah, bau busuk dan basah sehingga boleh menyebabkan orang lain sesudahnya tidsk selesa.

Apabila anda menaiki bas pastikan tiada sampah atau kotoran di tempat duduk anda selepas anda turun daripadanya. Sebagai pelancong anda dibekalkan minuman atau makanzn di dalam bas. Anda juga diberi beg plastik untuk menyimpan sampah anda. Semasa turun daripada bas pastikan anda bawa sendiri sampah-sampah anda keluar daripada bas untuk dibuang

Menghormati  alam sekitar

Mereka bangga dan menghormati alam sekitar seperti tumbuh-tumbuhan,  sungai, bukit, gunung dan laut. Pokok-pokok sama ada yang ditanam atau yang tumbuh melata dijaga dengan baik terutama pokok sakura. 

Pernah berlaku seorang pelancong sebuah negara yang tidak dinamakan oleh Ai memanjat pokok sakura untuk mengambil gambar telah menyebabkan dahan pokok itu patah. Orang Jepun sangat kecewa dengan sikap buruk kebanyakan pelancong negara berkenaan. Berita mengenai perkara tersebut telah keluar di tv.

Apabila menanam pokok sama ada untuk makanan atau hiasan seperti bonsai mereka akan membuatnya bersungguh-sungguh. Mereka sanggup berbelanja besar dan mengambil masa yang lama mengerjakannya. Mereka bukan sahaja mengharap hasil yang lumayan malah kepuasan hati yang mendalam.

Sifat sayang terhadap Makhluk

Makhluk hidup atau mati sangat disayangi oleh orang Jepun. Contohnya anjing peliharaannya dikasihi seperti anak sendiri. Mereka berbelanja besar untuk memeliharanya seperi makan, minum, ubat-ubatan, pakaian, tempat tinggal dan pram seperti kita menjaga anak kecil.

Sebab itu kesetiaan haiwan peliharaan kepada tuannya sangat luar biasa. Misalnya, Hachiko seekor anjing yang sangat setia sanggup menunggu tuannya seorang profesor balik dari universiti di stesen keretapi selama hampur 10 tahun kerana menyangka tuannya masih hidup telah menjadi cerita lagenda di Shibuya Jepun. Kusah tersebut diabadikan dalam bentuk monumen dan filem.

Binatang sekecil cengkerik yang hanya dapat didengar bunyinya pada musim panas dihormati dengan cara ibu bapa dan guru sama ada di rumah atau di sekolah menggalakkan kanak-kanak untuk aktiviti mendengar dan mengkaji haiwan tersebut. Bagi orang-orabg Jepun benda hidup dan mati di bumi adalah anugerah Tuhan yang mesti dijaga dan dihormati. Mereka tidak membunuh atau memusnahkan sewenang-wenangnya.

Penutup

Banyak lagi budaya dan nilai murni masyarakat Jepun yang boleh dipelajari. Jika kita boleh mengambil dan mengamal dalam budaya dan ajaran Islam alangkah baiknya. Sememangnya itulah juga ajaran Islam.

Namun sebagai orang Islam diharap kesan negatif pengamalan budaya dan fahaman melampau boleh mendatangkan keburukan. Contohnya stress dan murung di Jepun adalah tertinggi di dunia terutama menjelang bulan Mei apabila musim panas tiba.

Cuaca panas menyebabkan badan mudah berpeluh dan fikiran menjadi rimas. Hari yang panjang menyebabkan mereka penat dan mudah mengantuk. Jalan lebih kerap menjadi sesak. Hal ini menyebabkan kesukaran dan mereka perlu mengejar masa untuk sampai ke pejabat. Lambat sampai ke pejabat kerana jem tidak boleh dijadikan alasan sama sekali di Jepun.

Selain mengejar masa, mengejar kesempurnaan dan terlalu mengambil hati orang lain juga menyebabkan stress orang-orang  Jepun. Kejadian bunuh diri di Jepun adalah tinggi di Jepun. Sama keadaannya di Korea.

Tokyo 5 Disember 2017

Ayam Kampung Pak Hud: Tuku Arep Adol Gelem

Dua hari semalam saya balik kampung bersama isteri dengan niat untuk ziarah ibu sambil nak berbuka puasa denganya, ziarah kubur, ziarah saudara mara dan solat terawih di masjid kampung.

Sebelum sampai rumah ibu kami singgah rumah Pakcik Suhud, adik ibu satu-satunya yang sudah berusia 90 tahun tapi masih mampu berbasikal ke masjid atau ke rumah ibu. Mereka berdua memang rapat dan jelas saling kasih serta hormat menghormati antara satu sama lain.

Niat saya singgah ke rumahnya selain ziarah adalah untuk memberi sedikit duit ramadhan sambil membeli ayam kampung daripadanya. Saya tahu dia memelihara ayam kampung kerana satu hari di masjid saya nampak Suhaimi Ketua Kampung bertanya kepadanya untuk membeli ayam kampung. Ketua Kampung itu adalah sepupu isteri Pak Suhud, Makcik Baayah.

Saya bertanya Makcik Baayah “Banyak ke pelihara ayam kampung, saya teringin nak makan untuk berbuka puasa atau sahur bersama mak”. Demikian saya menutur kata supaya sopan dan manis terhadap ibu saudara di hadapan suaminya Pak Suhud saya. 

Dia bertanya balik kepada saya berapa ekor yang saya nak. “Kalau seekor dua untuk kamu makan adalah. Tapi sekarang ni tak ada. Entah ke mana perginya”. Saya tidak berapa faham sebenarnya maksud pernyataan yang diungkapkannya. Namun saya katakan “Kalau begitu malam nantilah saya datang balik” dengan anggapan apabila ayam-ayamnya dah masuk ke reban, mudah ditangkap dan disembelih. Saya  tangguhkan dulu pemberian duit Ramadhan kepada Pak Hud ke malam nantinya bersama duit pembelian ayam.

Tujuan saya menangguhkan pemberian wang itu adalah supaya mereka tidak terbeban menyediakan ayam kampung mengikut nilai wang yang saya nak beri sebagai sedeqah. Setelah berbual ala kadar saya pun bersalam untuk minta diri.

Malamnya selepas solat terawih 20 rakaat di Masjid Kampung Tebuk Mufrad Sabak Berrnam kampung saya, isteri saya mengingatkan tentang ayam tersebut. Kami terus ke rumah Pak Hud. Isteri saya tak masuk sebab sudah agak lewat malam.

“Nak ambik ayam Mak Yah” ujar saya sejurus Mak Yah muncul dari dalam pintu. “Kena tangkap dulu la, kamu nak berapa ekor?” Jawabnya. “Mak Yah cuma ada tiga ekor. Semalam si Nor nak juga tapi tak tahu berapa dia nak” sambungnya tanpa menunggu jawapan saya berapa saya nak. Saya tak pasti sebenarnya berapa saya nak beli. Niat saya lagi banyak saya beli lagi banyak duit mereka berdua dapat untuk bulan puasa dan persiapan hari raya.

Mendengar ucapannya saya jadi serba salah kerana bimbang saya akan membeli sesuatu yang telah ditempah oleh orang lain yang hukumnya berdosa. “Patutlah siang tadi dia seperti agak keberatan untuk memberi ayamnya kepada saya”. Fikur saya sejenak sebelum memutuskan, “Kalau begitu tak apalah Mak Yah. Lain kalilah saya beli ayam kampung Mak Yah” ujar saya kemudian bersalam dengan Pak Hud sambil memberinya sejumlah wang. 

Pak Hud yang sedari tadi berbaring di atas sofa lama kerana sakit kepala dan kurang sihat katanya terus bangun sambil meminta lampu suluh daripada Mak Yah. Keadaannya yang kurang sihat tampak daripada kedua keningnya yang bertampal koyok. Dengan lampu suluh besar dan terang dia terus berjalan ke belakang rumah di mana reban ayamnya terletak. Saya mengikut dari belakang. Seekor ayam kampung jantan lingkungan dua kilo setengah berjaya ditangkap. 

Anak sulung Pak Hud bernama Buang yang tinggal di sebelah rumah Pak Hud keluar rumah mendapatkan kami apabila mendengar bunyi ayam ditangkap. Saya yang memegang lampu suluh terus sahaja meminta Buang sepupu saya yang bertugas sebagai bilal masjid untuk menyembelih ayam yang ditangkap Pak Hud mengguna pisau yang telah berada di tangan Mak Yah bersama plastik karung beras. Setelah sah mati ayam yang disembelih Buang, Pak Hud memasukkannya ke dalam plastik karung beras untuk saya bawa balik Shah Alam malam itu juga. 

Sampai di rumah pukul satu setengah malam terpaksalah saya mencabut bulu ayam kampung sebelum menjadi bangkai. Telah berpuluh tahun saya tidak buat kerja yang selalu saya buat masa remaja dahulu. Tidak mudah rupanya buat kerja yang telah lama tidak dibuat. Itupun tidak siap sehingga dipotong kecil untuk dimasak masa sahur kerana jam sudah 2.30 pagi. Perlu tidur untuk bangun semula sebelum tahajud dan sahur. 

Sedikit penilaian

Pak Hud bapa saudara saya telah mengamalkan prinsip orang Jawa “Tuku Arep Adol Gelem” seperti ditulis oleh Profedor Doktor Noriah Muhamad dalam bukunya Jawa Di Balik Tabir. Prinsip “Beli hendak jual mahu” ini bermaksud jual beli sesuatu barang berlaku dengan harmoni apabila yang membeli berkehendak kepada barang itu dan yang menjual mahu menjualnya. Tanpa kehadiran kehendak pembeli untuk membeli dan kemahuan penjual untuk menjual sesuatu barangan, jual beli sukar dilaksanakan. Jika dilaksanakan jua, sudah tentu suasana tidak harmoni berlaku. Selalunya, terutama dalam masyarakat Jawa, prinsip tuku arep adol gelem diikuti dengan masing-masing cuba sedaya upaya untuk memuaskan hati antara satu sama lain. Penjual akan memastikan barang yang hendak dijual yang paling baik agar pembeli seronok dan puas hati mendapat apa yang dihajatinya. Pembeli pula cuba sedaya upaya memastikan agar penjual menerima keuntungan yang besar dari jualannya atau sekurang-kurangnya penjual tidak rugi.

Untuk itu Pak Hud telah memilih ayam kampung jantan yang terbaik untuk saya dan keluarga makan. Ayam tersebut tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda tapi cukup besar untuk disembelih dan dagingnya enak dimakan. Lebih-lebih lagi saya adalah anak saudaranya dan anak-anak saya seperti cucunya juga, sudah tentu tidak rugi dia pilih ayam terbaik daripada tiga ayam yang ada.

Sayapun tidak mahu kalah dengannya. Sambil bersalam dengan Mak Yah masa minta diri nak balik hampir 11.00 malam itu saya sertakan sejumlah wang yang sama dengan yang saya beri kepada Pak Hud di tapak tangannya. Dia terkejut “Kan tadi dah bagi”, saya jawab, “Gunakan duit ni untuk beli anak ayam biar banyak lagi pelihara ayam kampung” dalam nada gurau. Sudah tentu gurauan saya semata-mata gurauan kerana nak raya takkan nak beli anak ayam untuk dipelihara. Namun guruan itu ada makna yang saya sembunyikan di sebaliknya agar tidak menampakkan bahawa mereka terdesak wang bagi keperluan puasa dan hari raya. Mereka bukan orang miskin dan bukan juga orang kaya. Anak-anaknya bekerja walaupun bukan dengan pendapatan yang besar. Saya lihat kesemua anaknya hidup bahagia dalam kesederhanaan.

Dalam kereta saya bukan sahaja berbual dengan isteri saya tentang kebaikan Pak Hud untuk menghilang rasa mengantuk sambil memandu malah berdoa dalam hati agar muamalah kami dengan Pak Hud diberkati Allah. Memang benar bila kami berbuka puasa petang  semalam, cucu saya kata “Atok, Aufa makan kekenyangan”. Saya tersenyum kerana dia bukan sahaja suka makan ayam kampung dari kampung malahan saya yakin ada keberkatan pada daging ayam kampung walaupun hanya digoreng semata.

Semoga Pak Hud dan Mak Yah terus diberi kesihatan yang baik hidup bahagia dunia akhirat. Diampunkan dosanya dan dimurahkan rezekinya. Dialah satu-satunya saudara kandung ibu saya yang masih ada di dunia. Rumahnya sentiasa saya ziarahi setiap hari raya idul fitri setiap tahun. 

12 Ramadhan 1438

The Quest for Radovan Karadzic oleh Nick Hawton

Satu lagi buku yang saya sedang baca ialah The Quest for Radovan Karadzic oleh Nick Hawton. Buku ini sebenarnya sebuah novel yang digarap daripada catatan pengalaman penulisnya sendiri yang juga seorang jurnalist berbangsa British. Beliau telah ditugaskan oleh kerajaan Great Britain untuk mendapatkan maklumat tentang kesan perang saudara di Bosnia 1993 -1996. 

Nick Hawton telah tinggal beberapa kali di Balkan, negara-negara bekas Persekutuan Yugoslavia, selepas perang sehingga lebih satu dekad. Beliau juga telah diarah untuk menjejaki bekas President Bosnian Serb iaitu Radovan Karadzic yang telah diarahkan untuk ditangkap dan dibicarakan tetapi Karadzik telah melarikan diri dan menyamar dalam negaranya sendiri dan negara jiran. 

Anehnya selama lebih satu dekad dunia melihat Karadzic berjaya melarikan diri tanpa dapat dikesan dan ditangkap walaupun pelbagai pihak yang terdiri daripada agensi perisikan barat, kumpulan pengaman NATO, penyiasat the Heague dan maverick bounty hunters telah menjejakinya.

Karadzic sebaliknya dapat hidup bebas dengan menyamar sebagai orang lain yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain malah muncul di tv dengan personaliti lain sebagai guru dalam perubatan alternatif. Sememangnya dia adalah seorang doktor sebelum berkecimpung dalam politik dan menjadi president. Dia telah mengubah bukan sahaja profesion daripada seorang pemimpin negara dan ahli politik malahan muka dan penampilan diri supaya tidak dapat dikesan.

Pihak dan orang lain seperti telah give up untuk mencari dan menangkap Karadzic kerana licik dan pandainya dia menyamar dan melarikan diri  daripada pengetahuan orang yang mencarinya. Ada teori yang mendakwa pihak barat sengaja tidak mahu menangkap dan menghukum Karadzic yang dianggap sebagai penjenayah kerana kekejamannya membunuh lebih 8000 muslim Bosnia dan lebih dua juta kehilangan keluarga serta tempat tinggal. Barat dikatakan srngaja melambat-lambatkan usaha mencari Karadzic supaya kehadiran mereka di Balkan dalam tempoh lama menghalalkan mereka untuk memantau perkembangan Islam di Eropah.

Pelbagai alasan diberi Karadzic dan pemerintahannya untuk menutup kesalahan membunuh secara kejam rakyatnya sendiri yang  beragama Islam. Dia mendakwa hanya 2000 orang terbunuh dalam persengketaan sesama sendiri.

President Clinton yang mengarahkan Milosevic dan Karadzic ditangkap telah mendapat sanjungan ràkyat Islam Bosnia yang sememangnya memohon simpati atas penderitaan yang mereka tanggung daripada kekejaman dua orang pemimpin itu. Kebencian mereka kepada kekejaman dua orang pemimpin ini sangat jelas terzahir hingga sekarang. Pada gambar muka Karadzic telah diletak tanda X berwrna merah oleh perempuan muda cantik bertudung dan berpakaian sopan penjual buku yang saya beli di hujung jembatan di Mostar yang terkenal itu. Anak Karadzic sendiri telah membunuh diri kerana tidak sanggup menanggung malu atas kekejaman bapanya.

Dalam menjejaki Karadzic, Hawton telah berjalan beratus batu ‘doggedly followed his trail, travelling from the snow-capped mountains of Montenegro to the killing fields of eastern Bosnia to the corridors of power in Belgrade, in search of the man accused of some of the most horrific crimes committed in Europe since the Second World War‘. 

On his journey into the dark heart of Balkan politics and crime, Nick Hawton met secret intelligence agents who tried to recruit him, got to know the Karadzic family in their home in Bosnia and interviewed the Serbian politicians who held the levers of power. And he met the widows who had lost everything in the maelstrom of the Bosnian war that Radovan Karadzic had helped to spark.

He uncovered a tale of intrigue, murder, betrayal, spies, dirty deals, international politics and innocent victims. It was a quest that brought him face to face with the personal tragedy of others and the black humour that so often accompanied it. Ultimately, it was to make him question the whole nature of his profession.

Demikian secebis coretan biography penulis di belakang buku ini. Membaca buku ini kita seperti turut sama dalam pengembaraan Hawton menjejaki Karadzic sehingga Karadzic berjaya ditangkap di dalam bas nombor 73. Begini Hawton menulis dalam prologue di awal bukunya:

The doors to the number 73 bus shuddered to a close and he settled himself down in a seat near the front. An old lady kindly offered to stamp his ticket in the machine. He was laden with bags; the white plastic one with the newspapers and CDs, the hoversack with his laptop and the raffia bag with his other staff. But it was not a long jurney and he would be there soon. He was behind schedule, but there was no need to worry. They would not mind. He glanced out of the window, turned back, pulled out some reading glasses and openedhis religious book.

Begitulah sedikit prologue bagaimana Hawton menggambarkan suasana di dalam bas yang dinaiki Karadzic semasa dia hendak ditangkap. Hawton menulis seolah-olah dia bukan sahaja mengetahui seluruh pergeraman Karadzic malah dapat menyelami perasaannya ketika itu. Hal dapat dikesan melalui satu para dalam prologue bukunya selerti berikut:

He was going away for a few days’ relaxation. He had felt under preasure for some time. There had been moments in the past when had felt jumpy, but this time it was different. He felt the net might be closing. He remembered the time a police van had stopped in front of him  and a group of officers had jumped out. They had run towards him and, just as he thought they were about to seize him, continued past in pursuit of sone other wanted man. He had smiled to himself at the time, though the fear had been real enough. 

Begitu agaknya yang dikehendaki En Kahar Harun Ketua Unit Komunikasi Koperat KPM supaya saya menulis. Beliau menyarankan ‘Saya kira ia jadi lebih menarik jika diselitkan ketegangan emosi apabila berbeza nilai, persepsi dan budaya. Ini boleh membantu mereka yg berminat sebagai persiapan psikologi, bukan hanya setakat menceritakan laluannya’. Saya mengucapkan terima kasih atas saranannya itu. Saya masih punya kekurangan kepakaran dan pengalaman untuk menulis sebegitu baik seperti Nick Hawton. Namun saya berjanji untuk terus belajar. Mudah-mudahan dengan membaca buku Hawton ini saya bukan sahaja dapat mengetahui sejarah umat Islam di Bosnia, malahan dapat belajar cara menulis berdasarkan catatan sebuah perjalanan atau pengembaraan.